Kota Bharu: Kelantan menyifatkan pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di separuh akhir Piala Malaysia sebagai pertemuan lebih hebat berbanding aksi dengan Johor Darul Takzim (DT) di suku akhir.
Perkara itu dinyatakan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya, semalam apabila mengingatkan The Red Warriors supaya lebih berwaspada dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pertembungan dengan ATM di separuh akhir pertama dan kedua pada 18 dan 25 Oktober ini.
Walaupun meletakkan ATM sebagai pasukan yang bakal menjadi penghalang Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, Annuar menegaskan TRW sudah diasuh untuk berjuang.
“Kami perlu melupakan dulu kejayaan menewaskan Johor DT kerana menanti kita di separuh akhir adalah pasukan ATM yang lebih hebat. Malah ATM yang merampas Piala Sumbangsih daripada kami. Mereka juga yang menewaskan kami di Stadium Sultan Muhammad IV selepas hampir tiga tahun tidak pernah tewas di gelanggang sendiri.
“ATM penghalang utama. Kami tahu satu sama lain, justeru, perlu tumpukan minda terhadap aksi separuh akhir di tempat lawan dan seterusnya hari penentuan pada separuh akhir kedua nanti.” “Tiada yang mudah, namun TRW diasuh untuk berjuang. Jika kita bukan yang terbaik, pastikan kita mampu menewaskan yang terbaik,” katanya.
Kelantan mengenepikan Johor DT pada suku akhir dengan agregat 8-5 selepas mencipta kemenangan besar 6-1 pada suku akhir kedua di Kota Bharu, Sabtu lalu.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Kelantan bakal diperkuat empat pemain import termasuk pemain dari Asia Barat bagi menghadapi Liga Malaysia dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.
Katanya, Kelantan sedang mempersiapkan pasukan untuk musim depan termasuk sudah mempunyai semua penaja utama untuk skuad kijang.
“Persiapan untuk musim 2014 MSL (Liga Malaysia) dan Piala AFC berjalan lancar. Musim ini penuh mencabar dan kita sudah memperoleh semua penaja utama 2014 dan reka bentuk jersi juga sudah siap.
“Kita bakal dibarisi empat pemain import termasuk seorang dari Asia Barat. Hanya tiga atau empat saja lagi slot pemain tempatan yang bakal dilengkapkan secara strategik dan disesuaikan dengan keupayaan jurulatih bertaraf antarabangsa. Justeru tiada rehat bagi kami bermula dari sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan