“MAAF saya tak mahu komen banyak, saya cukup kecewa kerana tak dapat beraksi dalam perlawanan akhir.”
Itu jawapan ringkas pertahanan import Kelantan, Obinna Nwaneri ketika ditanya mengenai perasaannya setelah kempunan untuk beraksi bersama pasukannya menentang Pahang pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 3 November ini.
Tidak sukar untuk menggambarkan perasaan kecewa pemain berusia 32 tahun itu, lantaran ini pertama kali beliau terlepas peluang beraksi dalam pentas final sejak menyarung jersi The Red Warriors awal tahun lalu.
“Tidak ada perasaan lain selain kecewa. Saya bertungkus-lumus sejak awal kempen Piala Malaysia dan berjaya membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir tetapi berakhir dengan cara sebegini (digantung perlawanan).
“Ini bukan aksi liga biasa tetapi perlawanan akhir dan semua pemain mahu merasai nikmatnya tetapi saya hanya sekadar menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton. Saya harap Kelantan dapat mengekalkan kejuaraan nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Insiden layangan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abd Wahab setelah Nwaneri mengasari Marlon Alex James ketika permainan hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan pada aksi separuh akhir kedua, Kelantan menentang Angkatan Tentera Malaysia, Jumaat lalu, cukup sukar diterima pemain kelahiran Lagos itu.
Sebelum itu, Nwaneri yang menjaringkan dua gol untuk Kelantan sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini menerima kad kuning pertama pada perlawanan suku akhir kedua ketika pasukannya membelasah Johor Darul Takzim 6-1, 4 Oktober lalu.
Dua kad kuning terkumpul itu, sekali gus meragut impian bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan Nigeria itu untuk berjuang bersama-sama rakan sepasukannya bagi menghadapi Pahang pada perlawanan akhir nanti.
Nwaneri disifatkan antara tonggak import pertahanan terbaik dimiliki Kelantan selepas era Dimitri Kalkanov dari Bulgaria pada 1993 dan Gerry Gomez (1994) serta Jan Necas pada musim 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan