KOTA BHARU – Kepantasan larian serta ketepatan dalam melakukan hantaran yang dimiliki bahagian sayap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menjadi tumpuan utama Kelantan apabila berdepan The Gladiators pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.
Tonggak pertahanan The Red Warriors, Nik Shahrul Azim Ab. Halim percaya, pergerakan ATM akan lebih terbatas seandainya dia serta rakan-rakan berjaya merantai pergerakan dua sayap mereka, Christie Jayaseelan dan Venice Elphi Danny.
Kata Nik Shahrul Azim, kedua-dua pemain ini mampu mengancam gawang Kelantan jika diberi terlalu banyak ruang sepanjang 90 minit perlawanan.
“Bagi saya kekuatan ATM terletak di bahagian sayap mereka, yang dilihat banyak memudahkan tugas Marlon Alex James untuk menghasilkan jaringan.
“Jadi, setiap ruang dan peluang yang dimiliki oleh pemain-pemain ini perlu segera ditutup jika kita tidak mahu berputih mata,” kata Nik Shahrul Azim ketika ditemui semalam.
Nik Shahrul Azim, yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan turut mengakui, dia tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan tersebut.
“Saya serahkan perkara itu (menentukan barisan pasukan) kepada jurulatih. Jika diturunkan dalam perlawanan tersebut, saya bertekad untuk memberi persembahan terbaik kerana ini peluang keemasan buat Kelantan untuk mara ke pentas akhir seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
“Begitupun, kita tidak boleh terlalu yakin dengan kelebihan jaringan yang dimiliki. Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan perlawanan masih berbaki 90 minit untuk menentukan siapa yang akan layak ke pentas final,” ujarnya lagi.
Tambahnya, barisan pemain The Red Warriors masih perlu bekerja keras seandainya mahu melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Dalam perkembangan lain, pemain kelahiran Rantau Panjang itu mengakui ada menerima lamaran daripada tiga buah pasukan yang mahu mendapatkan khidmat untuk saingan musim hadapan.
Bagaimanapun katanya, dia memilih untuk terus kekal bersama Kelantan sehingga kontraknya tamat pada akhir musim 2014 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan