EKORAN ketiadaan tonggak pertahanan, Obinna Nwaneri akibat penggantungan perlawanan, Kelantan terpaksa membuat sedikit rombakan di posisi tersebut bagi menghadapi Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, di Stadium Shah Alam, 3 November ini.
Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, beliau percaya jurulatih, Bojan Hodak mampu menamakan pengganti sesuai bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pemain kebangsaan Nigeria itu.
Menurutnya, ketiadaan pemain berusia 31 tahun itu amat dirasakan memandangkan benteng pertahanan pasti berdepan tugas berat bagi mengekang serangan skuad Tok Gajah diterajui penyerang importnya, Matias Conti dan Azamuddin Mohd Akil.
“Tanpa Nwaneri, mungkin orang anggap benteng pertahanan Kelantan tempang tetapi kami mempunyai ramai pemain yang boleh menggalas tugas beliau. Saya percaya kami tidak berdepan masalah menangani masalah ini.
“Saya tahu semua pemain mahu beraksi dalam pentas final dan siapa yang akan menggantikan tempat Nwaneri pasti akan memberikan komitmen terbaik dalam perlawanan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Penyandang juara itu terpaksa melupakan khidmat Nwaneri pada aksi final setelah digantung perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning pada aksi separuh akhir kedua antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu.
Kelantan layak ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas menundukkan ATM menerusi agregat 4-3, manakala Pahang menamatkan penantian selama 16 tahun untuk mara ke perlawanan akhir setelah menyingkirkan Sarawak
4-2.
4-2.
Mengenai lawan yang menanti di pentas final, Azman berkata, Kelantan tetap menghormati kemampuan skuad Tok Gajah meski pun pernah menewaskan skuad bimbingan Dollah Salleh sebanyak dua kali daripada empat pertemuan sepanjang musim ini.
“Kita kena akui Pahang adalah sebuah pasukan yang kuat. Mereka sudah buktikan apabila menundukkan PKNS FC pada saingan suku akhir, kemudian menyingkirkan Sarawak pula dalam aksi separuh akhir.
“Bukan mudah mengikat keputusan seri dengan Sarawak di Kuching tetapi Pahang berjaya melakukan tugas tersebut dengan baik, jadi kita perlu berhati-hati dengan keupayaan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan