KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 23 Oktober 2013

FAM Jangan Toleh Ke Belakang Lagi!

Annuar Musa
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya tidak lagi menoleh ke belakang ketika membangunkan sukan bola sepak di negara ini.
Supremo bola sepak Kelantan itu berkata, sudah sampai masanya FAM memandang jauh ke depan dan tidak lagi menjadikan masa-masa silam sebagai subjek utama mereka dalam usaha memulihkan sukan itu.
“Kalau melihat kepada bola sepak negara, kita dapati ada yang positif dan negatif. Positifnya kita agak berjaya menarik minat perhatian masyarakat untuk melihat bola sepak sendiri malah kalau kita lihat di Stadium Pasir Gudang di mana satu ketika
dahulu agak lengang dan hanya beberapa stadium sahaja meriah. Tapi sekarang kita lihat di stadium Terengganu, Johor dan lebih-lebih lebih lagi Kelantan kita dapati kehadiran di stadium jauh lebih tinggi.
“Jadi, kalau ditanya dari umum perkembangan bola sepak sudah berada di tahap yang lebih baik. Namun jika dilihat pula industri bola sepak itu sendiri kita mendapati wujud ketidakseimbangan dan kepincangan dalam pembangunan bola sepak Malaysia iaitu perkembangan yang positif ini belum diuruskan dengan baik oleh badan induk bola sepak FAM. Saya merasakan FAM masih hilang punca dan tidak cukup pantas dalam menangani semua ini.
“Saya rasa banyak kelompangan dalam FAM di mana FAM tak cukup agresif, lambat membuat keputusan dan oleh kerana sukan hari ini berlumba-lumba,  kita lembap tapi orang lain bergerak pantas. Jadi bila kita buat perubahan itu maknanya kita sudah out of date (ketinggalan zaman). Itu bezanya kita dengan Korea Selatan dan Jepun. Jika 20 tahun dulu mereka menyertai Pestabola Merdeka, bersama dengan kita, kadang-kadang mereka menang, kadang kita menang.
“Tapi dalam tempoh itu, macam-macam kita buat di Malaysia. Apa yang kita dapat. Namun oleh kerana mereka buat lebih daripada kita, mereka sudah jadi pasukan dalam liga berlainan berbanding kita. Saya bukan bercakap sebagai orang luar, saya orang dalam. Saya timbalan FAM, saya tidak dipecat, saya digantung daripada aktiviti bola sepak, bukan digantung sebagai jawatan timbalan,” katanya.
Tambah Annuar, FAM sepatutnya bergerak pantas dengan menumpukan program corak baru dan terkini lebih serius, bukannya terus dengan sikap membandingkan bola sepak masa lampau Malaysia dengan masa kini.
“Maaflah, saya tahu ia akan dianggap salah kerana mengkritik FAM. Tapi saya tidak peduli kerana kalau tidak buat seperti ini mereka tidak akan membuat perubahan. Sejujurnya saya cakap FAM ini terlalu slow (lembab), mereka tidak membuat perkara sepatutnya dibuat. Saya tidak kata mereka tidak buat, tapi mereka tidak buat sebaiknya. Terlalu perlahan dan sebab itu kerana FAM tidak dipimpin seratus peratus oleh orang bola, minta maaf saya katakan. Kita mempunyai seorang presiden yang cukup komited, tetapi kita tidak boleh bergerak ikut tuanku. Beliau adalah sultan dan bola bergerak lebih pantas dari itu.
“Maka jentera kerja yang bekerja di bawah tuanku mesti bersedia bergerak pantas, tapi nampaknya itu tidak berlaku sebab itu kemajuan  industri bola di negara ini masih mundur. Sepatutnya kita membuat sesuatu lonjakan yang cepat untuk meletakkan kita pada pesaing yang wajar. Tapi sekarang ini kita hanya sibuk tentang Sukan Sea padahal kita tidak tahu yang Malaysia terlalu jauh ke belakang.
“Bagi saya  menang tujuh kali berturut-turut pingat emas di sukan Sea di bawah bimbingan Ong Kim Swee pun tiada apa-apa, tiada guna. Kemenangan itu hanya melambangkan kita berlari di atas trek sahaja. Tujuh kali pingat emas tetap membuatkan kita hanya setanding Vietnam, Thailand dan Singapura.
“Sedangkan bagi saya, Malaysia sepatutnya jauh lebih baik dari Vietnam, Myanmar, apatah lagi Singapura. Tapi sekarang kita masih terkial-kial dan kadang kala dengan Singapura kita tak dapat kalahkan.
“Jangan tunggu 30 tahun baru nak maju ke depan. Pada saya kita boleh buat, saya bukan bercakap kosong, malah saya sudah menguji dan saya tahu bola sepak Malaysia boleh diangkat ke peringkat seperti Korea, Jepun. Tapi kalau mahu dapatkan seperti itu kita mesti bersedia buat seperti mereka. Jangan hanya cakap tapi hasilnya tiada,” ujar Annuar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular