KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 16 Februari 2010

Kritikan menjadi pencetus semangat Norshahrul


NORSHAHRUL menjadikan kritikan peminat sebagai senjata untuk meningkatkan prestasinya.


MENJADI bintang bola sepak adakalanya tidak semanis seperti yang dianggap oleh peminat bola sepak tanah air, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Jika tersilap langkah hamburan kata-kata yang kurang enak pastinya akan memanaskan cuping telinga pemain yang berstatus bintang ini.

Namun, itu semua asam garam yang terpaksa dilalui oleh pemain bola sepak apabila segunung harapan diletakkan di bahu mereka.

Bagi bintang Kelantan, Nurshahrul Idlan Talaha, aksi awal musimnya yang agak goyah menyebabkan ada sesetengah pihak cuba mempersoalkan kewibawaannya.

Sebagai penggempur pasukan kebangsaan dengan reputasi sebagai antara pemain skuad emas Sukan SEA di Laos baru-baru ini, bakatnya ditagih peminat The Red Warriors.

Berdepan masalah keserasian, aksi beliau di awal musim sedikit tenggelam dan beliau juga seperti 'hanyut' dek beberapa masalah yang menghantui pasukan Kelantan.

Bagaimanapun, hatrik ketika turun menentang Pulau Pinang dalam kempen Liga Super di Kota Bharu, bulan lalu menutup mulut pengkritik beliau.

Menggalas cabaran turun menentang Kedah pada pusingan kedua Piala FA di Kedah pastinya bisa beliau sekali lagi ditagih peminat Kelantan.

Berdepan pertahanan Kedah yang sememangnya kental, Nurshahrul bersama rakan-rakannya perlu lebih kreatif untuk merobek kubu lawan.

Menurutnya, beliau kini sudah bersedia untuk menjadi salah seorang penyerang yang disegani lawan dalam dunia bola sepak tempatan.

"Ada beberapa pemain Kedah pernah menjadi rakan sepasukan ketika menyarung jersi kebangsaan dan ini sedikit sebanyak memberi kelebihan.

"Bagi saya kritikan daripada peminat tidak pernah melemahkan semangat tetapi ia menjadi tonik untuk saya memperbaiki persembahan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, keserasian antara beliau dan rakan sepasukan semakin menunjukkan peningkatan dan memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk mencapai tahap sebenar.

Jelasnya, sebagai finalis Piala FA musim lalu, tekanan pastinya berpihak kepada Kelantan namun, sedikit melegakan apabila perlawanan kedua akan berlangsung di Kota Bharu.

"Kayakinan sudah ada tetapi perlu berhati-hati kerana Kedah juga bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan.

"Kita pernah tewas di Kota Bharu dalam kempen Liga Super dan ini adalah peluang untuk menebus kembali kehampaan itu," ujarnya.

Penyerang kelahiran Besut, Terengganu dan dibesarkan di Tanah Merah, Kelantan itu juga mensasarkan satu gol setiap perlawanan bagi memastikan The Red Warriors mencapai impian membawa balik sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular