Krisis yang berbangkit kepada skuad Kelantan sebelum ini dianggap selesai dan kesemua pemain kembali fokus untuk mendapat kemenangan, kata ketua jurulatih skuad bola sepak Kelantan, B. Sathianathan.
Menurutnya, inisiatif yang diambil oleh Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berjaya menyelesaikan masalah berbangkit sekali gus meningkatkan kembali moral pemain untuk terus berjuang.
“Kita akui beberapa masalah wujud sebelum ini, bagaimanapun pendekatan yang diambil oleh Tan Sri Annuar telah menjernihkan kembali, kita kini berada dalam landasan yang terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, Sathia yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan mencetuskan keadaan cemas kepada skuad Kelantan apabila beliau menyatakan bahawa terdapat individu tertentu yang mahu menyingkirkannya dari skuad Red Warriors.
Katanya, individu tersebut mahu mengambil alih peranannya dalam skuad Red Warriors walaupun tidak memiliki kelayakan sewajarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan Piala FA, Sathia berkata pihaknya sudah melakukan persiapan untuk menentang pemenang antara Kedah dan Sabah.
Katanya, Kelantan yang sebelum ini mendapat bye di pusingan pertama bersedia bertemu sesiapa sahaja namun beliau menjangkakan Kedah bakal menjadi lawan kepada Kelantan setelah menilai situasi semasa.
“Dalam keadaan ini, Kedah dijangka menjadi lawan kita, jika menjadi realistik kita sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan mereka. Kekalahan sebelum ini menjadi pengajaran berguna kepada kita,” katanya.
Katanya, semua pemainnya bebas dari kecederaan kecuali ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin yang mengalami kecederaan kecil, namun dijangka mampu pulih sepenuhnya menjelang perlawanan. -Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan