KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 12 Februari 2013

Red Warriors Intai Aristide Bance



Aristide Bance
EKORAN prestasi hambar jentera serangan The Red Warriors (TRW), Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terus mengorak langkah memburu seorang lagi penyerang import berprofil tinggi bagi pasukannya.
Terbaharu, penyerang kebangsaan Burkina Faso, Aristide Bance disebut-sebut berada dalam radar Kelantan bagi memperkuatkan pasukan juara tiga piala itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Ini perkukuhkan lagi menerusi kenyataan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, yang membayangkan kesediaan beliau mendapatkan seorang lagi penyerang import daripada benua Afrika apabila jendela pendaftaran pemain dibuka awal April nanti.
“Pemain ini masih mempunyai kontrak bermain dengan sebuah kelab. Saya baru mendapat laporan daripada ‘scouting’ dua hari lalu dan rundingan awal juga sudah pun dilakukan. Jika ini menjadi kenyataan, kita akan susun semula pemain import yang akan bermain untuk Liga-M dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Malah sumber dalaman Kafa turut mendedahkan nama penyerang yang berketinggian 1.93 meter itu turut dibincangkan dalam satu mesyuarat tertutup pihak pengurusan Kafa di Kota Bharu, baru-baru ini.
“Kita masih belum membuat keputusan mengenai Aristide Bance kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi jika mahu membawa pemain ini ke Kelantan. Yang pasti namanya disebut dalam mesyuarat tersebut,” katanya.
Annuar sebelum ini menerusi laman sosialnya pernah menyatakan minat terhadap pemain kebangsaan Togo, Moustapha Salifou, 29 yang kini menyarung jersi Saarbrucken yang beraksi dalam Divisyen Tiga Jerman.
Bance dilahirkan di Abidjan, Ivory Coast sebelum berhijrah ke Burkina Faso dan abang iparnya juga merupakan pemain bola sepak profesional, Aruna Dindane. Beliau pernah mewakili kelab Al-Ahli Dubai dan FSV Mainz 05 (Jerman) antara tahun 2008 hingga 2010 dan beraksi sebanyak 72 perlawanan.
Beliau baharu sahaja menamatkan tugasan bersama Burkina Faso dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Negara Afrika 2013 yang menyaksikan negaranya muncul naib juara setelah tewas 0-1 kepada Nigeria dalam perlawanan akhir, pagi semalam.
Pemain berusia 28 tahun itu kini beraksi dengan kelab FC Augsburg dalam Bundesliga, Jerman dan difahamkan mengikat kontrak selama dua tahun sehingga 30 Jun 2015 dengan bayaran RM2.6juta.

Annuar Tuntut Aksi Senior



Annuar Musa beramah mesra dengan pemain kebangsaan, Mohamad Fadhli Mohd Shas dan Effa Liyana Affandi pada majlis pertunangan kedua-duanya di Pengkalan Chepa, semalam.
KOTA BHARU – The Red Warriors tidak akan menyerahkan mahkota Liga Super dengan mudah kepada pasukan lain apatah lagi mahu menyerah kalah terlalu awal biarpun menerima hakikat persembahan mereka hambar pada permulaan musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, persediaan awal musim yang tidak lengkap menjadi punca kemerosotan pasukannya.
Namun, beliau percaya pemain yang ada sekarang adalah pejuang yang mampu menaikkan kembali pasukan itu ke puncak liga.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap pemain supaya menunjukkan semangat melawan dan berpasukan yang tinggi dalam pertemuan menentang Selangor, Jumaat ini.
“Kita kena akui masih belum dapat atasi masalah teknikal, soal taktikal tidak apa sebab ia adalah percaturan jurulatih jadi bila bertemu Selangor memang ada masalah teknikal.
“Jadi untuk atasi kelemahan ini, pemain kita kena sedar kita ada kekurangan yang harus ditampung iaitu semangat melawan dan semangat sepasukan kita mesti melebihi segalanya,” katanya di sini, semalam.
Kelantan selaku juara treble musim lalu kini berada di tangga ke tujuh carta liga selepas hanya mampu menang sekali dalam lima perlawanan pertama menyebabkan tercicir enam mata daripada pendahulu, Pahang.
Kehilangan dua tonggak musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ghaddar ternyata memberi penangan kepada jentera serangan pasukan yang hanya mampu menjaringkan tiga gol setakat ini.
Kehadiran pemain import berpengalaman, Keita Manjou ke dalam pasukan sehingga kini masih belum membuahkan hasil dan pemain itu sendiri bergelut dengan masalah kecederaan.
Sementara itu, Annuar menagih khidmat semua pemain senior dalam pasukannya supaya menunjukkan contoh yang lebih baik dalam perlawanan dan meningkatkan lagi prestasi masing-masing.
‘Masalah pasukan kami ada banyak pemain senior jadi bila dia rasa OK dia masih relaks. Main secara relaks ini yang jadi masalah tidak boleh menjaringkan gol.
“Kita tengok bila lawan Johor Darul Takzim kita main tahap tinggi, bila lawan Felda United tahap lain jadi kenapa berubah-ubah. Kita perlu sentiasa bekerja keras sepanjang masa,” tegas beliau.

Ahad, 10 Februari 2013

Aristide Bance: Sasaran Terbaru TRW?


Aristide Bance
Tarikh Lahir : 19 September 1984
Umur : 28 tahun
Tinggi : 1.93m
Kelab sekarang : FC Augsburg (Bundesliga)
Warganegara : Burkina Faso

Sabtu, 9 Februari 2013

Nwakaeme, Salim memukau



Nwakaeme, Salim memukau
Diturunkan hanya 30 minit, namun impak Nwakaeme dibahagian depan jelas ketara.
Nwakaeme, Salim memukau
Kehadiran Salim bersama TRW memberi petanda positif.
ADAKAH Dickson Nwakaeme bakal menyarung jersi Kelantan ? Masih terlalu awal untuk diperkatakan namun kehebatan pemain import dari Nigeria itu jelas cukup dikagumi
penyokong The Red Warriors (TRW).

Yang nyata persembahan dua pemain import baharu yang sedang diuji, Nwakaeme dan Salim Arrache dari Perancis tidak mengecewakan ketika juara tiga piala musim lalu, Kelantan terikat seri 1-1 dengan juara Liga Premier Indonesia (IPL) dalam aksi persahabatan antarabangsa di Kota Bharu minggu lalu.

Meski pun hanya beraksi selama 30 minit dalam perlawanan tersebut, namun aksi bertenaga Nwakaeme selain kelincahan beliau memperdayakan dua pemain pertahanan lawan sebanyak dua kali membuktikan pemain berusia 27 tahun ini mampu menjadi penggempur berbisa TRW.

Dalam pada itu, penampilan Salim selama 45 minit selaku pemain sayap kiri juga turut cemerlang apabila beliau mempunyai kebolehan melakukan hantaran tepat kepada rakan selain mampu mencipta gerakan berbahaya menerusi posisi tersebut.

TERPILIH

Jika diberi pilihan antara Kieta Mandjou atau Nwakaeme, rata-rata peminat mahukan penyerang yang pernah beraksi dengan Song Lam Nghe An FC itu didaftarkan selaku pemain import baharu dalam saingan Liga Super ketika jendela pendaftaran kedua pemain dibuka bermula 8 hingga 22 April nanti.

Itu persoalan menarik di kem Kelantan. Namun pengendali pasukan, Bojan Hodak masih mempunyai masa dua bulan sebelum memuktamadkan keputusan. Malah, nama Dimitrios Pertratos yang kini ‘berguru’ bersama Blackburn Rovers tidak boleh diketepikan untuk tersenarai beraksi dalam liga domestik.

Begitu pun, jika dibuat perbandingan, posisi penyerang yang disifatkan bermasalah buat Kelantan pada musim ini hanya menjadi rebutan antara Mandjou dan Nwakaeme memandangkan Pertratos sebenarnya beraksi di bahagian sayap.

MUNGKIN

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Rozamri Mohd Ali berkata, pemilihan Nwakaeme mungkin menjadi jawapan kepada kemelut jentera serangan Kelantan yang tumpul dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Nada sama disuarakan Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood yang menyifatkan Nwakaeme dilihat calon pilihan menggantikan Mandjou memandangkan pemain tersebut mempunyai pakej lengkap selaku penggempur baharu Kelantan.

Jumaat, 8 Februari 2013

Nwakaeme Pukau Penyokong TRW



Dickson Nwakaeme


KELANTAN 2
Salim Arrache (m-33)
Indra Putra Mahayuddin (m-72)
FELDA UNITED FC 0
KOTA BHARU – Penyerang import yang sedang diuji, Dickson Nwakaeme terus mempamerkan aksi memukau apabila membantu Kelantan menewaskan Felda United FC 2-0 dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.
Meski pun tidak menjaringkan gol, namun kelincahan pemain kelahiran Nigeria itu yang kerap kali memperdayakan pemain pertahanan lawan selain keupayaan beliau membuka ruang kepada rakan sepasukannya mencipta gerakan berbahaya cukup menghiburkan sekali gus menjadi calon import paling sesuai untuk menamatkan konflik ketumpulan jentera serangan Kelantan.
Keghairahan Nwakaeme untuk membuktikan kehebatannya dihadapan hampir 7,000 penyokong setia hadir seawal minit keempat menerusi gerakan menarik satu dua bersama Kapten, Indra Putra Mahayuddin namun rembatan leretnya itu tidak menepati sasaran.
Selang lapan minit kemudian, penyerang bertubuh sasa itu mempamerkan sikap tidak tamaknya  apabila bijak melakukan ‘dummy’ hasil hantaran lintang Salim Arrache namun rembatan pemain sayap, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin pula tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat.
Malah Nwakaeme mempunyai peluang kedua untuk menjaringkan gol pada minit ke-21 hasil umpanan Mohd Daudsu Jamaluddin namun rembatannya tersasar disebelah kiri gawang Felda United FC.
Dua minit kemudian, giliran Salim pula mensia-siakan peluang terhidang apabila memilih untuk menampan tinggi bola di depan gawang Felda United FC berpunca hantaran lintang Muhammad Izuan.
Pasukan pelawat yang turun tanpa penyerang import Lubnan, Mohammad Ghaddar yang kembali menyarung jersi negaranya pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 dan hanya mempertaruhkan Razali Umar Kandasamy dan Rudie Ramli bagaimana pun hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-29 perlawanan.
Sepakan penjuru bekas pemain Johor FC dan Perlis, Mohd Syazwan Zainon pantas ditanduk tepat Shafizan Hashim namun tiang gol menjadi penghalang ketika Muhammad Syazwan Yusoff sudah tertewas di posisinya.
Namun Nwakaeme kembali mempamerkan kegarangan sebenarnya apabila mudah melepasi kekangan dua pemain pertahanan dua minit kemudian namun percubaan Zairo Anuar Zalani hampa apabila gagal menembusi pintu gol Felda United FC.
Begitu pun, Salim, pemain yang pernah beraksi bersama kelab Marseille di Perancis membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol pembukaan perlawanan menerusi rembatan kencang yang gagal diselamatkan Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-33 untuk meletakkan Kelantan mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Felda United FC bagaimana pun bermula garang sebaik sahaja tiga minit babak kedua bersambung apabila hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh pemain tengah, Wan Khairul Faiz Kamaruddin namun sekadar menggegarkan tiang gol Kelantan.
Percaturan Devan yang mencuba formasi baharu dengan menggandingkan Wan Khairul Faiz bersama Azi Shahril Azmi di bahagian tengah begitu berkesan apabila kedua-dua pemain tersebut dilihat sering kali menjana serangan buat pasukan mereka.
Dua minit kemudian, kelincahan Nwakaeme di dalam kotak penalti sekali lagi membuatkan pemain pertahanan lawan sesak nafas apabila beliau bertindak bijak melakukan hantaran lintang kepada Muhammad Izuan namun rembatan bekas pemain Harimau Muda A itu pula tinggi melewati pintu gol.
Nwakaeme, penyerang yang pernah menyarung jersi Song Lam Nghe An FC dalam Liga Vietnam musim lalu terus memberi masalah kepada benteng pertahanan skuad kendalian K Devan lima minit kemudian.
Menerusi gerakan yang sama, tiga pemain Felda United FC mudah dilepasi beliau namun rembatan susulan bekas pemain T-Team, Zairo Anuar pula jauh meliar daripada gawang pasukan pelawat.
Indra Putra terus mempamerkan aksi berkualiti selaku pemain tengah terbaik negara apabila rembatan kencangnya hasil tolakan ke belakang pemain gantian, Mohd Subri menggegarkan palang sekali gus bola melantun masuk untuk gol kedua pada pada minit ke-72 perlawanan.
Anak buah Bojan Hodak bagaimana pun buntu menggandakan jaringan apabila percubaan Nwakaeme pada minit ke-76 mudah diselamatkan Mohd Helmi Eliza sementara rembatan Mohd Haris Safwan Mohd Kamal pada minit ke-84 yang gagal ditangkap kemas penjaga gawang  Felda United FC itu juga gagal menghasilkan gol.
Sebaliknya pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘The Settlers’ hampir memperolehi gol sagu hati mereka tiga minit sebelum perlawanan berakhir namun rembatan jarak jauh Shafizan berjaya ditepis keluar  Norhadi Ubaidillah untuk keputusan 2-0 kekal milik Kelantan.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN – Muhammad Syazwan Yusoff (Norhadi Ubaidillah), Mohd Daudsu Jamaludin (Mohamad Zamri Ramli), Obinna Nwaneri (Lek Kcira), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak, K Nanthakumar (Azizi Matt Rose), Zairo Anuar Zalani (Mohd Badhri Radzi), Salim Arrache (Khairul Izuan Rosli), Muhammad Izuan Mohd Salahuddin (Mohd Faiz Subri), Indra Putra Mahayuddin (KP) (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal) dan Dickson Nwakaeme.
FORMASI : 4-4-2
FELDA UNITED FC – Mohd Helmi Eliza Elias (Rozaimie Rohim), Mohd Rahman Zabul (Mohd Nizam Abu Bakar), Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain (KP), Carlos Junior Pereira, Mohd Syazwan Zainon, Mohd Akmal Mohd Noor (Mohd Khairul Anuar Jamil), Azi Shahril Azmi, Wan Khairul Faiz Kamaruddin, Shafizan Hashim, Rudie Ramli (Mohd Fazli Zulkifli) dan Razali Umar Kandasamy (Mohd Rizal Ahmad).
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (6) Felda United FC (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (11) Felda United FC (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (3) Felda United FC (8)
Sepakan percuma : Kelantan (13) Felda United FC (8)
Ofsaid : Kelantan (1) Felda United FC (3)
Kekasaran : Kelantan (6) Felda United FC (9)
Kad kuning : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Felda United FC (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Ku Alaudin Ku Mohamad
Penolong Pengadil 1: Mohd Rahimi Mohd Nor
Penolong Pengadil 2: Hairol Azman Azmen
Pegawai Keempat : Mohd Fazrul Izwan
Kommissioner Perlawanan : Abd Ghani Omar
General Koordinator : Arif Hassan

Ahad, 3 Februari 2013

Kelantan, Semen Padang Terikat 1-1



Pemain Kelantan, Dimitrios Petratos dikepung pemain Semen Padang dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
KOTA BHARU – Impian juara Liga Perdana Indonesia Semen Padang untuk menjinakkan jagoan Liga Super, Kelantan tidak kesampaian apabila 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Beraksi di hadapan 7,000 penyokong setia, Kelantan menggunakan perlawanan itu dengan menguji dua tonggak import iaitu Salim Arrache dari Perancis dan Dickson Nwakaewe dari Nigeria.
Kelantan, yang turun tanpa beberapa tonggak utama terlebih dahulu menguji benteng pelawat pada minit ke-11 menerusi rembatan pemain import jemputan Arrache, namun melewati palang gol.
Pasukan tuan rumah dikejutkan oleh jaringan pelawat menerusi Nur Iskandar pada minit ke-29, yang menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan.
Usaha tuan rumah untuk mendapatkan jaringan penyamaan tidak berhasil apabila jentera serangan yang diketuai Keita Mandjou gagal menemui sentuhan penyudah, menyaksikan keputusan kekal sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Arrache dan Mohd. Izuan Solahuddin dan digantikan Indra Putra Mahyuddin serta Mohd. Faiz Subri.
Aksi longlai Mandjou memaksa pengendali Red Warriors, Bojan Hodak mengeluarkan pemain tersebut dan digantikan oleh Nwakaewe pada minit ke-57.
Usaha tuan rumah untuk memburu gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-60 menerusi seorang lagi tonggak importnya Dimitrios Petratos, apabila rembatan padu pemain itu gagal diselamatkan oleh Jandia Eka Petra di gawang gol Semen Padang.

Sabtu, 2 Februari 2013

Kelantan Nilai Kemampuan Jumpa Semen Padang


 

Mohd. Daudsu Jamaluddin (dua dari kiri) bersalam dengan Ellie Aiboy pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam sempena perlawanan persahabatan di antara Kelantan dan Semen Padang, hari ini.
KOTA BHARU – Kelantan mahu menggunakan aksi persahabatan antarabangsa bertemu Semen Padang di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini sebagai kayu pengukur sebelum saingan Liga Super kembali bersambung pada 16 Februari nanti.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, meskipun turun tanpa beberapa tonggak utama yang mengalas tugas bersama skuad negara, ia tetap tidak akan mengambil mudah pertemuan itu.
Menurutnya, perlawanan ini amat penting buatnya dalam usaha memperkasakan pasukan selepas mempamerkan aksi kurang bertenaga dalam lima saingan Liga Super sebelum ini.
“Perlawanan ini merupakan pentas terbaik buat saya untuk mencongak strategi awal sebelum bertemu dengan Selangor pada 16 Februari nanti.
“Tempoh rehat selamat tiga minggu memberi ruang terbaik buat saya untuk menambah sengat bahagian serangan serta mencari kombinasi terbaik untuk perlawanan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar perlawanan persahabatan tersebut di sini semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah pemain pertahanan Kelantan, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Ketua Pengarah Semen Padang FC, Erizal Anwar, Ketua Juruatihnya, H.Suhatman Iman dan Ketua Pasukan, Ellie Aiboy.
Dalam pada Hodak memberitahu, perlawanan hari ini merupakan peluang terbaiknya untuk menilai kemampuan pemain muda yang baru pulih dari kecederaan iaitu Izuan Salahuddin dan Mohd. Faiz Subri serta dua tonggak pertahanan Azizi Mat Rose dan Mohd. Farisham Ismail.
“Perlawanan ini akan menjadi medan ujian bagi saya dan pemain. Saya memerlukan penyerang yang mampu melakukan penyudah dan menilai pemain yang baru sembuh dari kecederaan.
“Walaupun tidak mempunyai perlawanan dalam masa kira-kira tiga minggu ini, The Red Warriors perlu terus berusaha untuk memastikan kita bangkit selepas rehat tamat,” ujarnya.
Tambahnya, melalui perlawanan persahabatan itu juga, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan, (KAFA) mengarahkan supaya menguji dua pemain import iaitu Salim Arrache dari Perancis dan Dickson Nwakaeme dari Nigeria.

 

Hodak mahu uji semua pemain



KOTA BHARU - Juara treble musim lalu, Kelantan mahu menggunakan aksi persahabatan antarabangsa bertemu Semen Padang FC di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini, sebagai platform menguji pemain untuk disenaraikan sebagai kesebelasan utama sebelum saingan Liga Super depan.

Ketua Jurulatihnya, Bojan Hodak berkata, kesemua termasuk dua pemain import, yang baru tiba ke Kelantan, Salim Arrache dari Perancis dan Dickson Nwakaeme dari Nigeria turut mendapat peluang beraksi pada perlawanan itu.

Katanya, bagaimanapun, beliau belum memutuskan perkara itu sepenuhnya berikutan masih perlu menilai dan melihat keadaan fizikal kedua-dua pemain itu.

“Mereka baru tiba ke negara ini. Salim terutamanya yang melalui perjalanan 24 jam dari Eropah, sudah tentu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca, sama seperti Dickson," katanya pada sidang media di Hotel Grandriver View di sini, semalam.

Menurutnya, beliau kini memerlukan penyerang yang mampu melakukan penyudah, dan perlawanan itu adalah medan terbaik untuknya menilai serta terbaik juga kepada pemain membuktikan layak disenaraikan dalam kelompok ke Hotel Grandriver View di sini, semalam.

Menurutnya, beliau kini memerlukan penyerang yang mampu melakukan penyudah, dan perlawanan itu adalah medan terbaik untuknya menilai serta terbaik juga kepada pemain membuktikan layak disenaraikan dalam kelompok kesebelasan utama.

“Walaupun tidak mempunyai perlawanan dalam masa tiga minggu ini, The Red Warriors perlu terus berusaha bangkit bagi menghadapi saingan Liga Super bertemu Selangor pada 16 Februari ini,” katanya.

Pemain Kelantan Berguru Di England



Faizul Nazlin Sayuti
PENYERANG muda Australia, Dimitrios Petratos yang beraksi bersama The Red Warriors dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 secara rasminya akan berangkat ke England pada 4 Februari ini bagi menjalani latihan dengan pasukan Blackburn Rovers.
Berita gembira itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu semalam.
Annuar berkata, ketua pasukan Piala Presiden Kelantan, Faizul Nazlin Sayuti akan pergi bersama Petratos bagi menjalani latihan tersebut dan akan kembali semula ke pangkuan pasukan pada bulan Mac untuk menghadapi saingan Piala AFC.
Menurutnya, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara KAFA dengan kelab berkenaan sebagai langkah untuk memantapkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan liga musim ini.
“Pemergian kedua-dua pemain ini akan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TheRedWarriors.com iaitu Kelvin Ramalingam.
Sepanjang berada di sana, Petratos bakal menjalani sesi latihan dan ujian yang dikendalikan oleh pihak Blackburn Rovers.
“KAFA berharap, latihan tersebut akan meningkatkan lagi tahap kemahiran Petratos sebelum dia kembali bersama pasukan untuk saingan Piala AFC nanti.
“Begitu juga dengan Faizul Nazlin, kita mahu memberikan pendedahan awal kepada pemain muda ini dalam usaha untuk memantapkan corak permainan dan kemahirannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar perlawanan Piala Permai di Stadium Sultan Muhammad IV semalam mengenai pertembungan antara juara Liga Super Malaysia, Kelantan dengan juara Liga Super Indonesia, Simen Padang FC esok.
Pada majlis tersebut, Annuar turut memperkenalkan seorang pemain import dari Perancis yang akan membantu The Red Warriors dalam perlawanan tersebut iaitu, Salim Aracche.
Selain Aracche, Kelantan turut diperkuatkan dengan seorang lagi tonggak import dari Nigeria, iaitu Dickson Nwakaeme yang bergandingan bersama Obinna Nwaneri, Lek Kecira di posisi pertahanan.
Annuar memberitahu, jika ada perkembangan semasa mengenai kedua-dua pemain itu, ia akan memaklumkan perkara tersebut dari semasa ke semasa.
“KAFA akan menjalinkan kerjasama ini di masa akan datang melibatkan pertukaran pemain dan jurulatih,” ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan Piala Permai itu, Annuar memberitahu, ia adalah kesinambungan perlawanan sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini.
“Perlawanan ini merupakan medan terbaik buat kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan pasukan. Saya akui ia bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Kelantan.
“Mereka sebuah pasukan yang hebat, dan kita pernah tunduk kepada mereka 1-3 dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu,” tegasnya.

Catatan Popular