MISI memulihkan reputasi skuad Kelantan menjadi agenda utama Goerge Boeteng (gambar) sebaik memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih baharu skuad The Red Warriors itu pada Isnin lalu, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Menurutnya, keutamaan adalah untuk membina semula kekuatan pasukan yang dilihat agak terumbang-ambing sepanjang kempen Liga Super musim ini.
"Proses tersebut amat penting dalam usaha mengembalikan reputasi Kelantan bagi menghadapi baki saingan liga musim ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Lota Bharu semalam.
Menurutnya, pembinaan semula itu meliputi aspek kawalan bola bagi memastikan pasukannya mampu mengawal permainan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Saya mahu pemain menguasai perlawanan, ini kerana kita mempunyai ramai pemain yang bagus dan berkualiti sama ada tempatan mahupun import," katanya
Tambahnya, dia menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Kelantan mampu bangkit dalam perlawanan selepas ini walaupun mereka beraksi di bawah keupayaan sebenar sebelum ini.
Jelasnya, dengan ramuan pemain yang ada, beliau optimis Kelantan mampu kembali ke landasan sebenar dalam baki saingan liga selepas ini.
Boeteng dilantik sebagai pengendali baharu The Red Warriors selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak ketua jurulatih sebelum ini, Steve Darby gara-gara prestasi hambar.
Bekas pemain kebangsaan Belanda itu turut memuji komitmen yang dipamerkan oleh pemain Kelantan yang begitu bersemangat ketika menjalani latihan di bawah kendaliannya.
Katanya, semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan yakin mereka akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan selepas ini.
Boeteng bakal menempuh ujian pertamanya apabila Kelantan bakal menentang Felda United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu pada 6 Mei nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan