KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 7 Mei 2014

Red Warriors Pilih Laluan Berduri

Ahmad Fakri Saarani cuba melepasi pertahanan Felda United, Yaroslav Krushelnitskiy pada perlawanan Piala FA di Stadium Muhamad IV, Kota Bharu malam tadi.
KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan berdepan laluan sukar di Selayang pada 31 Mei ini selepas di­ikat Felda United 3-3 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Muhammad IV, semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setia, tuan rumah bermula perlahan berbanding pelawat yang dilihat lebih banyak menguasai permainan dan mengatur serangan demi serangan.
Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, George Boateng bolos seawal minit ke-17 apabila Edward Junior yang tidak dikawal sesiapa di kawasan kotak penalti menyambut hantaran Zah Rahan Krangar sebelum menolak mudah bola masuk ke dalam gawang.
Kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah dihukum sekali lagi enam minit kemudian apabila tandukan Indra Putra Mahyuddin berjaya mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat, sekali gus menghadiahkan gol kedua Felda United.
Indra Putra sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Kelantan selepas tendangan percuma yang dilakukannya dari sebelah kanan padang dimanfatkan sebaik mungkin Mohd. Khairul Ismail untuk menjaringkan gol ketiga The Settlers pada minit ke-36.
Tersentak dengan tiga jaringan awal pelawat, Kelantan memperkemaskan permainan dengan melakukan asakan bertali arus bagi memecah keampuhan benteng Felda United.
Gol yang ditunggu-tunggu tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-41 menerusi tonggak import, Francis Forkey Doe yang bijak memanfaatkan peluang tidak dikawal sesiapa untuk melakukan rembatan kencang tepat ke pintu gawang.
Selang dua minit, The Red Warriors meledak gol kedua selepas bola yang berpunca daripada tendangan percuma oleh Zairul Fitree ditanduk masuk Fakri Saarani, sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, tuan rumah terus garang mengkucar-kacirkan pertahanan Felda United dan akhirnya berjaya mencari gol penyamaan pada minit ke-51 menerusi rembatan Wan Zaharulnizam Zakaria, hasil hantaran lambung daripada Forkey Doe yang mengelirukan pihak lawan.
Pada minit ke-89, Indra Putra yang telah pun berjaya menewaskan Khairul Fahmi hampir meledakkan jaringan keempat untuk The Settlers, namun Nik Shahrul Azim meluru pantas menyelamatkan gawang yang ternganga luas dengan menyepak bola keluar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular