|
KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menegaskan dua tonggak Felda United Indra Putra Mahyudin dan penjaring terbanyak Liga Premier, Edward Junior Wilson perlu diberikan kawalan ketat pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
Mohd. Badhri atau Piya berkata, kedua-dua pemain ini disifatkan cukup berbahaya kepada pasukan Kelantan sekiranya diberikan ruang yang secukupnya pada perlawanan tersebut.
"Seperti yang kita ketahui, Indra cukup bahaya kerana dia bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki selain memiliki kemahiran membawa masuk bola dari sebelah kiri.
"Begitu juga dengan Wilson, seorang penyerang yang mempunyai naluri pemusnah setiap kali memegang bola terutama di dalam kotak penalti,"
katanya.
Tambahnya, dia berharap rakan-rakan sepasukan yang diturun pada perlawanan tersebut dapat memberikan komitmen tinggi.
Piya memberitahu, Kelantan perlu menang dan mencari bekalan selesa pada pertemuan itu bagi mengelak mereka berdepan laluan sukar pada aksi kedua nanti.
Katanya, dia seboleh-bolehnya berharap Kelantan tidak bolos dalam perlawanan itu nanti yang akan menentukan misi hidup mati The Red Warriors mempertahankan Piala FA.
Ujarnya, kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan meledakkan seberapa banyak jaringan untuk dibawa ke ibu kota pada pertemuan kedua nanti.
Piya berkata, setakat ini dia tidak mempunyai masalah dengan corak latihan yang diterapkan oleh George Boeteng sejak mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih daripada Steve Darby.
"Setakat ini saya selesa dengan corak latihan beliau walaupun sedikit penat namun itu bukan alasan.
"Saya tidak tahu lagi taktikal yang beliau akan gunakan pada perlawanan Selasa ini, mungkin pada sesi latihan terakhir kita akan mengetahuinya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan