Walaupun merekodkan kemenangan 2-1 dalam aksi menentang Sime Darby, Jurulatih Kelantan, Steve Darby melihat masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki skuad The Red Warriors.
Darby berkata kemenangan tersebut cukup bermakna dan ia menjadi suntikan semangat buat semua pemain. Namun, Darby menjelaskan masih ada sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki untuk terus mencipta kemenangan dalam perlawanan akan datang.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, penyerang import dari Lubnan, Mohamad Ghaddar menjadi wira Kelantan apabila dua jaringannya membantu pasukan itu memulakan langkah kanan dalam saingan Liga Super musim ini.
Kemenangan ke atas Sime Darby FC itu bagaimana pun tidak mudah dicapai apabila skuad kendalian Steve Darby itu terpaksa menunggu hampir sejam untuk menyamakan kedudukan setelah Mohd Fadzli Shaari meletakkan pasukannya berada di depan seawal minit ketujuh perlawanan.
Kelantan dilihat agak cemas apabila perancang tengahnya, Mohamed Shawky Aly terpaksa diusung keluar pada minit ke-23 sekali gus menyaksikan enjin tengah Kelantan lumpuh buat seketika. Jelas, ketiadaan bekas pemain kebangsaan Mesir itu begitu dirasakan.
Ramai bersetuju jika mengatakan, Kelantan mampu beraksi lebih baik dan mereka perlu mempertajamkan lagi jentera serangan jika mahu kekal menjadi pasukan digeruni.
Melihat kepada sebahagian besar tonggak utama yang baharu, jadi skuad itu perlu terlebih dahulu mencari persefahaman dengan kadar segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan