KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 11 Januari 2014

Piya: Jangan Perkecilkan TRW


Piya (tengah) percaya TRW masih mampu menjadi pencabar utama dalam saingan Liga-M, musim ini.
KETUA Pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi melaungkan amaran pasukannya masih mampu menjadi antara pencabar terkuat biarpun membariskan ramai pemain baharu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya pada 17 Januari ini.
Mohd Badhri atau dikenali panggilan Piya berkata, meski pun Kelantan kehilangan lebih separuh tonggak utama musim lalu, namun kehadiran jurulatih berpengalaman dari England, Steve Darby berjaya membina semula keruntuhan dialami pasukannya dalam tempoh sebulan lalu.
Menurutnya, keupayaan Kelantan tidak boleh diperkecilkan biar pun Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat antara pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan pada musim ini.
“Saya akui mungkin orang lihat Kelantan tidak lagi sekuat musim lalu. Dahulu kita ada ramai pemain tonggak seperti Indra Putra (Mahayuddin) Mohd Norfarhan (Muhammad), Mohd Shakir (Shaari) dan boleh dikatakan semua posisi dalam pasukan ini cukup mantap.
“Namun, berlainan musim ini, apabila Kelantan dibarisi ramai muka baharu termasuk pemain-pemain muda. Tetapi ini adalah bola sepak, jika kami mengamalkan semangat berpasukan dan mengetepikan kepentingan individu, tak mustahil kami boleh mengalahkan mana-mana pasukan kuat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta produk Kopi Super Jantan di Kafe TRW Station, malam kelmarin. Hadir sama Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise, Mohd Zulkifli Harun dan Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Md Zuki Deraman.
Piya yang turut terkenal dengan jolokan ‘Kapten Marvel’ memberitahu, persiapan rapi JDT, Terengganu dan ATM dengan membawa masuk deretan pemain import terkemuka sedikit pun tidak menerbitkan rasa gentar bagi pasukannya untuk bersaing dalam liga domestik itu.
Menurutnya, selaku juara bertahan Piala FA, beliau dan rakan lain akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kejuaraan tersebut kekal milik pasukannya selain memasang impian memburu trofi Liga Super dan Piala Malaysia.
“Saya menaruh keyakinan lebih 100 peratus, Kelantan boleh pergi jauh pada musim ini. Kami telah berlatih lebih sebulan dan semua pemain nampaknya boleh menerima corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih. Terpulang kepada beliau untuk menggunakan formasi 3-5-2 atau 4-4-2,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah menemui keserasian beraksi bersama Amar Rohidan dan bekas pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Shawky sekali gus membentuk gandingan terbaik bagi menghidupkan enjin tengah pasukannya.
“Kehadiran penyerang import, Mohammed Ghaddar dan Francis Forkey Doe melengkapkan pasukan ini. Kedua-dua pemain ini mungkin belum menemui ketajaman penyudah tetapi saya percaya mereka mampu menggegarkan pintu gol sedikit masa lagi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular