Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi yakin The Red Warriors (TRW) mampu menjadi pencabar terkuat Liga Super musim 2014 meskipun mengakui pasukannya masih mencari keserasian.
Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, meskipun musim 2014 dianggotai ramai muka baru yang membabitkan pemain muda, namun keadaan itu tidak menghalang pasukan kendalian Steve Darby untuk berada dalam kelas tersendiri.
Bagaimanapun pemain berusia 30 tahun itu berkata, mereka mungkin menghadapi kesukaran di awal musim, tetapi mengharapkan pemain muda akan membalas kepercayaan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan memberikan yang terbaik selain mempelajari sesuatu daripada pemain senior.
“Banyak pasukan bakal menjadi lebih kuat musim ini, namun saya yakin Kelantan masih dapat mengekalkan reputasi sebagai pencabar utama meskipun kami masih mencari keserasian antara rakan sepasukan.
“Tidak dinafikan kita akan menghadapi laluan sukar di peringkat awal, malah saya berharap pemain muda yang bakal menggalas tanggungjawab dapat menyesuaikan diri dengan tekanan sebaik liga bermula,” katanya ditemui selepas menandatangani kontrak menjadi duta produk Kopi Super Jantan selama setahun di Kafe TRW, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan GLE Center Enterprise Mohd Zulkifli Harun. Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, syarikatnya memilih Badhri sebagai duta produk sebagai menghargai kesetiaan pemain berkenaan untuk kekal meskipun banyak menerima tawaran pasukan lain.
“Menerusi perjanjian, syarikat kami akan menaja Piya dan melantiknya sebagai duta produk selama setahun,” katanya yang pernah menaja pemain Terengganu, Ashaari Samsuddin musim lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan