Kota Bharu: Penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe membulat tekad untuk mengulangi sentuhan berbisa seperti dilakukannya bersama Terengganu pada 2012 sehingga dinobatkan pemenang Kasut Emas meskipun berdepan saingan Mohamad Ghaddar.
Forkey Doe atau lebih dikenali sebagai ‘The Predator’ itu bagaimanapun mengakui agak sukar untuk mendapat sentuhan jaringan ketika perlawanan persahabatan pra-musim berikutan masih mencari keserasian bersama pasukan baru.
Menurutnya, tiada yang mustahil untuk mengulangi kejayaan menjadi penjaring terbanyak Liga Super, tetapi menegaskan usaha itu memerlukan kesungguhan selain perlu mendapat kerjasama rakan sepasukan.
“Saya akui keadaan sedikit mencabar pada permulaan kerana perlu mencari keserasian dan bersaing dengan beberapa pemain tempatan yang berpengalaman. Bagaimanapun, tiada yang mustahil jika saya bersungguh-sungguh untuk melakukannya.
“Saya juga memerlukan bantuan rakan, tetapi apa yang lebih penting fokus kepada kejayaan pasukan daripada sasaran peribadi,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV.
Sebelum ini pemain berusia 28 tahun dari Liberia itu pernah dikaitkan dengan kontroversi bertikam lidah dengan Ghaddar kerana tidak mendapat keserasian ketika perlawanan persahabatan menentang skuad Piala Presiden Kelantan pada 4 Januari lalu tetapi dinafikan jurulatih Steve Darby.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan