PENYERANG import baharu The Red Warriors (TRW), Francis Forkey Doe memasang dua misi peribadi bersama pasukannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang membuka tirainya pada 17 Januari ini.
Ia ibarat serampang dua mata apabila Forkey Doe bukan sahaja mahu memastikan pasukannya merangkul kejuaraan, bahkan meletakkan sasaran peribadi untuk merampas anugerah Kasut Emas yang pernah dimenanginya daripada penyerang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James pada musim lalu.
“Saya adalah pemenang Kasut Emas Liga-M musim 2012 ketika mewakili Terengganu. Memang saya kecewa apabila anugerah ini bertukar tangan kepada penyerang ATM, Alex James tahun lalu.
“Musim ini bersama pasukan baharu, saya bertekad mahu merampas kembali anugerah ini dan membantu Kelantan meraih sebarang kejuaraan dalam Liga-M,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Pemain berusia 28 tahun itu muncul selaku penjaring terbanyak Liga-M musim 2012 apabila menjaringkan 15 gol dan berkongsi anugerah itu dengan penyerang import Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona.
Dalam pada itu, biar pun hanya beraksi selama 45 minit ketika Kelantan menewaskan Perlis 3-1 dalam aksi persahabatan, namun persembahan penyerang kebangsaan Liberia itu ternyata tidak mengecewakan, malah turut membantu Ahmad Fakri Saarani menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, dia berharap penyokong setia gergasi pantai timur memberi peluang kepadanya untuk membuktikan keupayaan sebenar memandangkan itu aksi kompetitif pertamanya sejak menyertai pasukan berkenaan pada 10 Disember tahun lalu.
“Ini satu permulaan ke arah usaha untuk membentuk kombinasi mantap dengan rakan sepasukan lain. Mereka (pemain tempatan) bekerja keras dan saya seorang pemain profesional.
“Kami harap dapat mengekalkan semangat berpasukan bagi mencapai keputusan bagus untuk pasukan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan