KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 24 Januari 2014

Kecik Tidak Rela TRW Tumbang Di Kuching

Wan Zaharulnizam (kiri) optimis Kelantan mampu meraih satu mata apabila bertemu Sarawak di Kuching, malam esok.
‘SATU mata mungkin memadai buat Kelantan’. Itu kata pemain sayap The Red Warriors, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mengenai peluang pasukannya menentang Sarawak pada aksi kedua saingan Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam esok.
Sedar kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri menjadi milik Sarawak, Wan Zaharulnizam atau dikenali Kecik mengakui Kelantan bakal berdepan saingan sengit mencuri sekurang-kurangnya satu mata, namun tidak mustahil mampu merealisasikan misi itu.
“Sarawak merupakan pasukan yang kuat dan cukup liat dikalahkan apatah lagi jika beraksi di gelanggang mereka. Lebih-lebih lagi, mereka baharu segar dengan kejayaan mara ke pusingan kedua Piala FA setelah mengalahkan Pulau Pinang 2-1 tempoh hari.
“Saya tahu pertemuan kedua-dua pasukan ini dijangka sengit. Tetapi kami tidak mahu terbang ke Kuching semata-mata untuk tewas dan saya optimis Kelantan mampu membawa pulang satu mata ke Kota Bharu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Semangat Wan Zaharulnizam untuk membantu pasukannya menyekat hajat skuad kendalian Robert Alberts meraih tiga mata di Kuching begitu membara setelah penampilannya selama 73 minit pada aksi sulung ketika Kelantan menewaskan Sime Darby FC 2-1 di Kota Bharu minggu lalu nyata tidak mengecewakan.
Beliau yang beraksi di posisi sayap kiri, menggantikan Indra Putra Mahayuddin memberitahu akan mempamerkan prestasi terbaik sekali gus membalas kepercayaan jurulatih, Steve Darby jika tersenarai dalam kesebelasan utama, malam esok.
“Biar pun masih baharu bersama pasukan ini, namun saya tidak akan mensia-siakan peluang diberikan dan mahu beraksi sebaik mungkin. Alhamdulillah, tahap keserasian saya bersama rakan sepasukan juga bertambah baik.
“Sebagai pemain, saya tidak kisah siapa pun menjaringkan gol asalkan Kelantan boleh mengalahkan Sarawak. Tetapi jauh di sudut hati, secara peribadi saya juga tidak mahu ketinggalan untuk mencetak nama bersama negeri kelahiran ini,” katanya.
Menurutnya, ketiadaan pemain import, Mohamed Shawky yang disisih akibat kecederaan pangkal paha tidak menjejaskan persiapan pasukannya dan beliau percaya rakan-rakan lain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan perancang tengah dari Mesir itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular