KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 19 Januari 2014

Red Warriors Langkah Kanan


1510690_10152155193749883_387125830_nKelantan 2
Mohamad Ghaddar (m-60 dan pen m-80)
SIME DARBY FC 1
Mohd Fadzli Shaari (m-7)
KOTA BHARU – The Red Warriors memulakan aksi pembuka tirai Liga Super 2014 dengan langkah kanan setelah menewaskan Sime Darby FC 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan ke atas Sime Darby FC itu bagaimana pun tidak mudah dicapai apabila skuad kendalian Steve Darby terpaksa menunggu hampir sejam untuk menyamakan kedudukan setelah Mohd Fadzli Shaari meletakkan pasukannya berada di depan seawal minit ketujuh perlawanan.
Dua gol menerusi penyerang import sensasi, Mohamad Ghaddar pada babak kedua memastikan kelegaan buat Kelantan untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri sebelum menghadapi Sarawak di Kuching pada 25 Februari nanti.
Beraksi di hadapan hampir 25, 000 penyokong setia, Kelantan yang melakukan sepak mula mengasak seawal minit pertama namun percubaan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di dalam kotak penalti sekadar terbias pemain pertahanan Sime Darby FC.
Empat minit berselang, penyerang import, Francis Forkey Doe mencipta gerakan solo setelah menerima umpanan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi namun rembatan leretnya mudah diselamatkan penjaga gol Sime Darby FC, Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Namun dua minit kemudian, penyokong tuan rumah terdiam seketika setelah pelawat mendahului 1-0 menerusi tandukan cantik Mohd Fadzli Shaari berpunca sepakan percuma yang dilakukan Mohd Firdaus Mohd Faudzi.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan mereka namun rembatan Forkey Doe setelah diasak dua pemain pertahanan Sime Darby FC berakhir di atas palang gol pasukan lawan.
Derita terus berpanjangan buat skuad kendalian Steve Darby apabila perancang tengahnya, Mohamed Shawky Aly terpaksa diusung keluar pada minit ke-23 sekali gus menyaksikan enjin tengah Kelantan lumpuh buat seketika.
Jelas, ketiadaan bekas pemain kebangsaan Mesir itu begitu dirasakan apabila jentera tengah pelawat yang diterajui pemain import Iraq, Mahmoud Al Amna dan Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov dari Uzbeksitan bijak memanfaatkan situasi tersebut dengan mendominasi posisi berkenaan.
Menuju minit ke-28, Kelantan dihadiahkan sepakan percuma hampir tetapi rembatan pemenang Kasut Emas Liga Malaysia 2012, Forkey Dore yang membelah pertahanan lawan singgah di tiang gol sebelah kiri sekali gus menggagalkan hasrat tuan rumah untuk mengikat keputusan.
Peluang terbaik tuan rumah hadir lagi pada minit ke-36 setelah gerakan licik Mohd Badhri di sebelah tepi padang berjaya memperdayakan tiga pemain Sime Darby FC namun rembatan Ahmad Fakri Saarani yang merampas bola di kaki Kapten Kelantan itu pula melewati gawang.
Ahmad Fakri terus kempunan untuk mencetak nama selaku penjaring gol apabila rembatannya di dalam kotak penalti hasil umpanan pendek Wan Zaharulnizam ditangkap kemas Kamarul Effandi dua minit kemudian.
Mengakhiri babak pertama, tuan rumah terus hampa untuk mengimbangi kedudukan apabila sepakan penjuru Mohd Badhri yang dirembat Ahmad Fakri tersasar di sebelah kanan untuk membolehkan Sime Darby FC kekal mendahului 1-0.
Memasuki babak kedua, Kelantan terus garang untuk memburu gol penyamaan namun Sime Darby FC terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan penyerang Ghana, Wisdom Agblexo yang sempat ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-50.
Namun situasi cemas itu bersifat sementara, apabila lima minit kemudian, Kelantan kembali memperoleh peluang tetapi tandukan Mohamad Ghaddar berpunca sepakan bebas Mohd Badhri sedikit tersasar di gawang pelawat.
Akhirnya, gol yang dinantikan menjelma juga pada minit ke-60 apabila umpanan pendek Wan Zaharulnizam kepada Forkey Doe membolehkan beliau melintang bola betul-betul di depan gawang sebelum Mohamad Ghaddar yang tidak dikawal tenang merembat masuk untuk memastikan kedudukan terikat 1-1.
Ternyata gol penyamaan itu membakar semangat juang pemain Kelantan, dan dua minit kemudian giliran Mohamad Ghaddar pula membuka ruang buat Forkey Doe menghasilkan jaringan namun tolakan penyerang yang terkenal dengan jolokan The Predator itu hanya sedikit melewati gawang Sime Darby FC.
Gol kemenangan yang memberikan tiga mata berharga buat tuan rumah hadir ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan setelah pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan pertahanan pelawat, Mohd Firdaus di dalam kotak penalti.
Mohamad Ghaddar tenang merembat masuk ke penjuru kanan untuk memastikan kemenangan bermakna Kelantan ke atas pasukan yang sinonim dengan gelaran Giants Killer biar pun sepakan pertamanya dibatalkan oleh pengadil.
Terdesak untuk memburu gol penyamaan, Sime Darby FC yang merupakan naib juara Liga Premier musim lalu memasukkan serentak dua pemain, Azmirul Azmi dan Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-86 namun itu tidak memberi apa-apa hasil setelah penggempur utama mereka, Wisdom Agblexo mempamerkan aksi mengecewakan dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN – Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Obinna Nwaneri, Mohd Farisham Ismail, Tengku Hasbullah Raja Hassan (Zairul Fitree Ishak), Mohd Badhri Radzi (KP), Amar Rohidan, Mohamed Shawky Aly (Mohamad Ghaddar), Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Ahmad Shakir Md Ali), Ahmad Fakri Saarani dan Francis Forkey Doe.
FORMASI : 3-5-2
SIME DARBY FC – Kamarul Effandi Abdul Rahim, Mohd Firdaus Mohd Faudzi, Yosri Derma Raju, Juzaili Samion (KP), K Prabakaran, Fahrul Razi Kamarudin, Mahmoud Al Amna, Dilshod Sharofetdinov, Dzulfahmi Abdul Hadi (Muhd Arif Ismail),Mohd Fadzli Shaari (Azmirul Azmi) dan Wisdom Agblexo (Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri).
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (5) Sime Darby FC (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (10) Sime Darby FC (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (8) Sime Darby FC (1)
Sepakan percuma : Kelantan (20) Sime Darby FC (15)
Ofsaid : Kelantan (3) Sime Darby FC (8)
Kekasaran : Kelantan (12) Sime Darby FC (12)
Kad kuning : Kelantan (Amar Rohidan) Sime Darby FC (Dzulfahmi Abdul Hadi dan Kamarul Effandi Abdul Rahim)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (53%) Sime Darby FC (47%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Muhammad Nazmi Nasaruddin
Penolong Pengadil 1: Mohd Sabri Mat Daud
Penolong Pengadil 2: Mohammad Juhairi Idris
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Mohammad
Kommissioner Perlawanan : Ali Embong
Penilai Pengadil : S Paramasivam
General Koordinator : Arif Hassan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular