DUA peledak import Kelantan – Mohammed Ghaddar dan Francis Forkey Doe perlu bersaing sesama sendiri jika mahu membarisi kesebelasan utama bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengendali Kelantan, Steve Darby berkata, beliau masih belum membuat keputusan, siapakah di antara kedua-dua pemain itu yang bakal menjadi pilihan untuk mengetuai jentera serangan The Red Warriors.
Menurutnya, baik Ghaddar mahupun Forkey Doe, mereka mempunyai kelebihan masing-masing sehingga menyukarkan beliau untuk membuat keputusan.
“Hanya Obinna Nwaneri dan Mohammed Shawky hampir pasti berada dalam senarai utama pasukan selepas kedua-duanya memperagakan aksi mantap sepanjang aksi persahabatan sebelum ini.
“Cuma untuk jentera serangan, Ghaddar dan Forkey Doe perlu berentap untuk merebut tempat. Ini kerana saya mahu pemain tempatan bergandingan dengan salah seorang daripada mereka,” katanya.
Darby berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat aksi persahabatan antara Kelantan dengan Phattalung FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Kelantan beraksi cemerlang apabila menang 4-0 menerusi jaringan hatrik Ghaddar selain satu gol sumbangan Ahmad Fakri Saari.
Darby memberitahu, Forkey Doe tidak dapat diturunkan pada perlawanan itu selepas mengalami kecederaan ketika pertemuan dengan Perlis minggu lalu.
“Bagaimanapun, Darby berharap dia akan pulih sebelum pertemuan sulung Liga Super menentang Sime Darby di gelanggang sendiri Sabtu ini,” jelas Darby.
Darby turut berpuas hati dengan persembahan barisan pemain yang mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan tersebut.
Katanya, gandingan antara Amar Rohidan bersama kapten, Mohd. Badhri Radzi dan Shawky di jentera tengah bertambah baik.
“Apa yang dapat saya lihat sepanjang aksi persahabatan ini, semua pemain bekerja keras dan tahap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik. Ia merupakan sesuatu yang baik buat pasukan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan