KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 14 November 2012

Tiga Piala Dipersembahkan Kepada Sultan Kelantan 20 November

Sultan Muhammad V


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mempersembahkan ketiga-tiga piala yang dimenangi pada musim ini kepada Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam satu Majlis Santapan Malam yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail berkata, majlis tersebut akan berlangsung di Hotel Renaissance dekat sini bagi meraikan kejayaan membawa pulang tiga kejuaraan ke negeri Kelantan.

“Ketika-tiga piala yang dimenangi iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan pada majlis tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media yang berlangsung di Kafe The Red Warriors dekat sini semalam. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi memberitahu, sejurus sahaja selesai majlis santapan bersama tuanku, KAFA akan mengadakan majlis perarakan ketiga-tiga piala tersebut yang akan bermula di hadapan hotel berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurutnya, perarakan tersebut akan melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Temenggong, Jalan Mahmood dan akan mengelilingi stadium sebelum berakhir di dataran stadium.
Katanya, perarakan tersebut melibatkan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ), kelab-kelab penyokong serta barisan penaja pasukan Red Warriors musim ini.

“Kami jangka perarakan ini akan menarik seramai 10,000 penyokong Red Warriors untuk hadir memeriahkan majlis tersebut.

“Perarakan yang bermula di Hotel Renaissance akan berakhir di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Pelbagai acara menarik telah diatur bagi memeriahkan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 8.30 malam,” ujarnya.

Tambahnya, pada majlis tersebut juga Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dijangka akan membuat kejutan dengan mengumumkan senarai pemain yang akan beraksi bersama Red Warriors pada musim hadapan.

Rosmadi berkata, kesemua pemain utama Red Warriors dijangka memeriahkan majlis tersebut termasuklah yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

“KAFA akan memohon pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membawa pulang pemain tersebut bagi memeriahkan majlis yang cukup istimewa buat peminat Red Warriors.

“Jadi saya menyeru kepada seluruh peminat Red Warriors untuk sama-sama hadir ke majlis berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular