RM80,000 selesai masalah lampu limpah
Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyelenggarakan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV yang didakwa tidak menepati kadar pencahayaan seperti disyaratkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui peruntukan sebanyak RM80,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, penyelenggaraan itu akan dibuat sebelum bermulanya sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) bulan depan.
"Penyelenggaraan terhadap masalah lampu limpah yang dikatakan tidak mencukupi 900 lux akan dilakukan dalam kadar segera sebelum bermulanya Piala Sumbangsih 7 Januari ini," katanya ditemui di sini semalam.
Beliau berkata, pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) telah mengadakan mesyuarat bagi memutuskan untuk melantik perunding dan kontraktor bagi tujuan perkara berkaitan.
"Dari sembilan point yang diperiksa, perkara itu akan diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.
Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melahirkan kebimbangan berikutan kemungkinan akan beraksi di waktu petang dalam Liga-M musim depan berikutan masalah tersebut.
Pada 2003 pasukan Kelantan pernah beraksi pada sebelah petang selama separuh musim berikutan masalah yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan