KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 9 Disember 2011

Aksi Kelantan, T-Team Malam Esok


Turut perkenalkan pemain, hadiah bola kepada penyokong bertuah

KOTA BHARU – Kerinduan peminat setia bola sepak untuk menyaksikan kehebatan barisan bintang skuad The Red Warriors ditempat sendiri akhirnya tercapai apabila Kelantan akan turun bertemu dengan T-Team dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua bagi skuad kendalian Peter Butler di Kota Bharu setelah kesemua pemain termasuk empat pemain import menyertai skuad Kijang. Terbaru ialah pemain import dari Beirut, Lebanon iaitu Zacharia Charara yang sudah menyertai Kelantan tiga hari lalu.

Malah penampilan pertama kali pemain antarabangsa Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud juga ditunggu-tunggu oleh penyokong setia Kelantan untuk melihat sejauh mana kehebatan beliau digandingkan dengan pemain yang merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh musim ini, Norshahrul Idlan Talaha.

Selain Mohammed Ghaddar, tumpuan penyokong Kelantan juga sudah pasti terarah kepada pemain import dari Ghana, Denny Antwi yang semakin ‘menggila’ memburu jaringan sejak menyarung jersi Kelantan. Antwi meledakkan lima gol termasuk hatrik ketika Kelantan mengadakan persiapan pra-musim di ibu negara baru-baru ini.

Lebih menarik, perlawanan ini juga menyaksikan pertembungan antara tiga bekas tonggak utama pasukan T-Team musim ini, iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose menentang rakan sepasukannya sebelum ini.

Pasukan T-Team yang masih mengekalkan Yunus Aliff selaku pengendali pasukan tersebut untuk musim ketiga sudah pasti akan menampilkan barisan terkuatnya termasuk menurunkan penyerang import dari Zambia yang pernah beraksi bersama Perlis musim 2005 hingga 2007, Zachariah Simukonda.

Malah perlawanan persahabatan ini mungkin menjadi medan kepada Yunus untuk menguji beberapa pemain baru seperti Mohd Fadzli Shaari dan Mohd Iqbal Suhaimi (kedua-duanya Selangor) dan tiga bekas pemain Terengganu iaitu Wan Mohamad Aliff Jasmi, Mohd Zharif Hasna, Mohd Hassan Basri Ahmad Redzuan yang memilih untuk menyarung jersi pasukan berstatus kelab ini.

Sebelum sepak mula perlawanan ini juga, satu majlis memperkenalkan barisan pemain skuad The Red Warriors akan diadakan di dalam stadium. Setiap pemain akan menendang sebiji bola yang ditempah khas dengan logo Kafa kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan ini.

Tiket perlawanan bagi menyaksikan ini berharga RM10 (terbuka), RM15 (astaka dua) dan RM20 astaka utama dan dijual bermula jam 10 pagi esok di kaunter tiket stadium.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular