KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 23 April 2010

Kijang Muda Catat Kemenangan Tipis

Kelantan bernasib baik mengutip tiga mata penuh apabila mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, petang tadi.

Bermain dengan 10 pemain, Kelantan berjaya mengekang asakan bertali arus saat akhir Negeri Sembilan seterusnya pulang ceria dengan mata penuh di arena sendiri.

Namun Sang Kijang dikejutkan dengan gol seawal minit pertama apabila pemain Negeri Sembilan, Mohd Khairul Ridhwan memanfaatkan kesilapan awal Mohd Faiz Suhaimi untuk gol pembukaan pasukan pelawat.

Tidak menunggu lama, Kijang Muda berjaya menyamakan kedudukan seminit kemudian setelah Zamri Ramli menanduk masuk bola lantunan hasil sepakan percuma Mohd Izuan Salahuddin untuk menceriakan 250 penyokong Kelantan.

Gol tersebut tidak mematahkan semangat pemain Negeri Sembilan apabila mereka melancarkan serangan kilat sejurus selepas itu untuk menjarakkan kedudukan namun percubaan Norfaizzal Faroqq tersasar.

Tidak lama kemudian, penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put tenang menangkap kemas bola sepakan percuma Negeri Sembilan berjarak 20 meter dari pintu gol melegakan pihak pengurusan dan penyokong Kelantan.

Pada minit ke-21, Zamri melepaskan peluang keemasan apabila menyepak keluar walaupun tidak dicabar pemain pertahanan Negeri Sembilan.

Mohd Nazrul Mazelan pula hanya mampu menyepak tinggi bola hantaran Somchai Sinuai pada minit ke-23 walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol Negeri sembilan, Akkashah Kadar.

Kelantan akhirnya memperoleh gol pendahuluan setelah Mohd Aris Zaidi menanduk masuk bola hantaran jauh Mohd Izuan Salahudin pada minit ke-30.

Enam minit kemudian, Zamri Ramli membuktikan sentuhan jaringan setelah menyudahkan hantaran lintang Mohd Aris Zaidi untuk gol ketiga tuan rumah.

Minit ke-39, Kelantan terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah ketua pasukan, Mohd Izuan Salahudin dilayangkan kad merah apabila mengutip dua kad kuning.

Kekurangan pemain memberi kesan kepada jentera tengah Kelantan dan kesempatan tersebut digunakan Negeri Sembilan untuk menyerang bagi merapatkan kedudukan.

Hasilnya, mereka hampir menjaringkan gol namun percubaan ketua pasukan Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif tinggi melepasi palang gol pada minit ke-40.

Tidak berputus asa, anak didik Rosli Haji Omar terus mencuba untuk menjaringkan gol namun sepakan Mohd Khairul Ridhwan pada saat akhir terus kedakapan Judtanna.

Bersambung babak kedua, Kelantan hampir menambah gol pada minit ke-49 melalui Mohd Nazrul Mazelan tetapi pemain ini memilih menyepak tinggi ketika berseorangan didalam kotak penalti.

Minit ke-55, Nazrul sekali lagi melepaskan peluang terbaik setelah menyepak lemah bola hantaran Azrol Ali tidak mengancam penjaga gol pelawat.

Negeri Sembilan dikurniakan satu sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-58 namun sepakan Mohd Faiezol Roslan tinggi meliar.

Aris Zaidi turut kecewa apabila sepakan leretnya ditampan penjaga gol Rusa walaupun sebelum itu bijak memperdayakan empat pemain pertahanan Negeri Sembilan minit ke-62.

Negeri Sembilan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan apabila Zairul Azwan menggunakan kealpaan pertahanan Kelantan untuk gol kedua pasukan pelawat. Gol berpunca dari lontaran kedalam Faid Shamsudin terus ke kaki Zairul Izwan yang hanya menyepak masuk kedalam gawang menewaskan sama sekali Judtanna Eh Put.

Selepas gol tersebut, perlawanan dikuasai sepenuhnya pemain Negeri Sembilan namun pemain Kelantan bijak bertahan untuk mengelakkan dari dibolosi lawan.

Setelah tambahan masa tiga minit, akhirnya pengadil perlawanan Suhaimi Mat Hassan membunyikan wisel dengan keputusan penuhnya, Kijang gah menewaskan Negeri Sembilan 3-2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular