Kemeriahan Baju Merah Dikagumi, Dicemburui dan Digeruni | emel |
Kehebatan sokongan penyokong The Red Warriors sememang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana penyokong pasukan dari pantai barat mahupun pantai timur walaupun dilabelkan terlalu fanatik, ganas, miskin, mundur dan kurang hiburan, penyokong The Red Warriors tidak ambil peduli tentang apa yang dilabelkan pada mereka kerana apa yang penting kemeriahan ini dilakukan dengan ikhlas dan semangat yang jujur. DIKAGUMI: Kemajuan dan kehebatan penyokong The Red Warriors bukan sekadar di stadium malah di ruang siber, sekiranya dilihat pada jumlah ahli Facebook di semua kelab penyokong ternyata Kelantan masih mendahului. Selain itu terdapat kemajuan yang belum pernah diusahakan oleh pasukan lain di Malaysia iaitu kemajuan dalam menerajui siaran langsung melalui internet yang diusahakan KAFA sejak 5 perlawanan Kelantan di luar Kelantan mendapat respon yang baik dari peminat walaupun kualiti masih diperingkat percubaan dan menghadapi masalah kelajuan internet di Malaysia yang masih dalam lingkungan 1 mbps kerana kualiti untuk siaran langsung melalui internet memerlukan capaian kelajuan lebih daripada 4 mbps. Kelemahan ini tidak menjadi masalah untuk skuad TRWC memberi laporan secara langsung kepada peminat yang berada diluar stadium seluruh dunia. Percubaan berani ini telah menjadikan laman web ini adalah web rasmi pasukan bolasepak pertama yang mempunyai liputan secara langsung melalui video dan audio di web di Malaysia dan tidak mustahil ianya akan menjadi ikutan web-web pasukan bolasepak negeri lain melalui respon yang diperolehi konti TRWC dari panggilan pasukan-pasukan dan kelab negeri lain. Keluaran lebih 50 jenis produk sendiri berjenama WARRIORS mendapat sambutan hangat di kalangan penyokong setia Kelantan. Sambutan hangat ini mengatasi jumlah produk yang dikeluarkan sehingga ada yang terpaksa membuat tempahan awal dan sanggup membeli dengan harga yang mahal. Di kala peminat bolasepak dihebohkan dengan produk keluaran piala dunia 2010, produk KAFA tetap dihati dan menjadi pilihan utama. Hal ini juga menjadi buah mulut penyokong negeri lain yang hanya sekadar berbangga dengan produk seperti jersi, mafla, topi dan beberapa item sahaja. Pihak KAFA telah mencuba mengeluarkan pelbagai variasi jenis produk demi mencapai kepuasan semua peminat The Red Warriors. Disamping itu KAFA sedang berusaha untuk membuka kafe rasmi The Red Warriors di ibu negara dalam waktu terdekat ini. DICEMBURUI: Ada juga perkara yang dibuktikan penyokong The Red Warriors setaraf penyokong liga eropah dicemburui peminat lain yang memberi penilaian jakun dan sempit dengan mengatakan penyokong Kelantan tiada hiburan, tiada ASTRO dan pelbagai lagi telahan yang dilemparkan. Untuk pengetahuan masyarakat luar Kelantan, kami di Kelantan memiliki segala kemudahan yang ada termasuk kemudahan internet tanpa wayar yang disediakan oleh bukan syarikat telekomunikasi utama negera dan kalau setakat ASTRO ianya dilanggani oleh kebanyakan rumah di Kelantan. Sekiranya dinilai dari jumlah kumpulan penyokong Kelantan di Facebook, penyokong Kelantan memiliki lebih dari satu kumpulan selain Kumpulan The Red Warriors yang mana kesemuanya telah mencecah lebih 10 ribu pengikut. Penilaian-penilaian yang hendak diberikan kepada masyarakat Kelantan perlu diteliti dan dikaji sedalamnya sebelum membuat kenyataan kerana bagi masyarakat Kelantan dari fesyen hinggalah bolasepak, mereka tidak pernah menjadikan masyarakat di Malaysia sebagai ikutan dan pasti akan cuba mendahului lain dari yang lain serta meninggalkannya setelah apa yang dihasilkan menjadi ikutan atau tiruan masyarakat luar Kelantan. Dengan tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka juga melabelkan peminat bolasepak negeri lain sudah mengambil perkara yang ditinggalkan seperti bermain mercun di stadium.
DIGERUNI: Keberanian dan semangat kesatuan yang utuh dikalangan penyokong telah menimbulkan kegerunan penyokong luar Kelantan untuk hadir ke stadium Kota Bharu mahupun memulakan provokasi terhadap penyokong Kelantan. Namun sikap ini tidak boleh terus menjadi igauan ngeri penyokong lain dengan sentiasa meletakkan tanggapan negatif sebagai imej penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan perlu mengekalkan imej sekarang sebagai jaminan kepada penyokong lain untuk turut serta memeriahkan kancah liga super ini. Biarlah penyokong lain gerun dengan semangat dan kemeriahan kita bukannya kerana sikap gedebe dan pencetus huru-hara. Ketika berbual-bual dengan masyarakat luar Kelantan sekarang mereka mula menyatakan seronok ke stadium melihat skuad Kelantan beraksi dan suasana kemeriahan malah ada yang bergurau tidak sanggup melihat skuad kita membelasah lawan dengan jaringan yang besar.
Walauapapun tanggapan atau pujian yang diberikan, kami menyeru semua penyokong terus memberikan sokongan setia yang tidak berbelah bagi kepada skuad kita dan berusahalah untuk memeriahkan diri di stadium mahupun di laman web ini. Hanya sorakan padu "Gomo Kelate Gomo" yang dapat mengekalkan momentum kemenangan dan sebagai bakal juara. Keunggulan kita hanya datang dari jiwa kita. Kehebatan skuad hanya datang dari pulangan yang berbaloi untuk mereka.
Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Biar Bijak..Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo Sertai sekarang program kami. |