KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 4 Oktober 2012

RM125,000 JIKA BERJAYA SINGKIR SELANGOR

RM125,000 JIKA BERJAYA SINGKIR SELANGOR


http://s18.postimage.org/5z7hnfd9l/Annuar_Musa_l.jpg

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawarkan bonus RM125,000 kepada pemain Red Warriors jika menewaskan Selangor dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012.
Kelantan dijadual menentang Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa (gambar) menjelaskan, pihaknya turut memberikan bonus RM75,000 kepada pemain selepas Kelantan layak ke separuh akhir menewaskan Felda United secara agregat 4-3 kelmarin.
“
Jika mereka berjaya menjulang kejuaraan Piala Malaysia, KAFA akan menyediakan satu lagi bonus buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Pembahagian Hasil Padi dan Zakat Projek Ladang Merdeka Jabil Musim II/2011 di Ketereh dekat sini, semalam.

Dalam saingan suku akhir kedua kelmarin, Kelantan terpaksa berhempas-pulas sebelum layak ke separuh akhir dengan agregat 4-3 setelah mengikat Felda United 2-2.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kelantan di laman sendiri.
Sementara itu, Annuar menolak tuduhan pihak tertentu bahawa prestasi turun naik Red Warriors kebelakangan ini berpunca daripada kegagalan pihaknya membayar bonus kepada pemain.

Sebaliknya, beliau memberitahu, sehingga kini KAFA telah membayar bonus melebihi RM500,000 kepada pemain dan pegawai pasukan.
“
Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding dengan apa yang telah dibayar sepanjang musim lalu,” tegas beliau.
Annuar yang kecewa dengan tuduhan tersebut menjelaskan, pemberian bonus bergantung kepada budi bicara kelab dengan mengambil kira sumbangan pemain dan ia bukan wajib.

“Isu ini sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan pasukan. Saya ingin tekankan kepada pemain dan pengurusan supaya tidak terlibat dalam isu ini,” ujarnya.

Rabu, 3 Oktober 2012

Laporan Ringkas : Kelantan Cemas Sebelum Mara.

Kelantan bangkit dari ketinggalan dua jaringan untuk mengikat Felda United 2-2 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu seterusnya mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2012 hasil kemenangan agregat 4-3.
Beraksi di kandang sendiri, Kelantan longlai pada awal babak apabila seringkali menerima ancaman dari pasukan pelawat sebaik wisel dibunyikan pengadil perlawanan.
Meletakkan gandingan serangan Afiq Azmi dan Ghaddar, tidak banyak percubaan berjaya diatur kecuali satu percubaan dari Mohd Badri Radzi dari jarak dekat meleret keluar pada pertengahan babak pertama.
Felda United pula dilihat lebih menyerlah apabila tindakan E.Elevarasan meletakkan empat pemain serangan membuahkan hasil lumayan dengan pelbagai corak serangan berjaya diatur ke arah kubu The Red Warriors. 
Usaha mereka berhasil selepas Mickael Antoine Curier menyambar hantaran rendah dari sebelah kanan untuk jaringan pertama perlawanan pada minit ke-41 .
Kedudukan mereka semakin kukuh pada minit ke- 55 setelah gerakan dari kawasan tengah Nidzad Ayub membuka laluan kepada Farderin Kadir melakukan satu sepakan leret tertampan kaki Mafry Balang seterusnya menerjah jaring.
Tertekan dengan dua jaringan pelawat, Sang Kijang cuba mengatur serangan balas untuk mencari jaringan pertama.
Selepas melakukan asakan bertubi-tubi, Kelantan akhirnya merapatkan kedudukan pada minit ke-72 melalui jaringan Norfarhan Mohamad selepas memanfaatkan keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Felda.
Ketika perlawanan hampir menuju masa tambahan, Mohamad Ghaddar muncul wira apabila gerakan yang dicipta bersama Nurul Azwan Roya disepak kencang dari sudut sukar untuk menyamakan kedudukan.
Dengan kemenangan ini, The Red Warriors akan bertemu Selangor pada saingan separuh akhir nanti selepas Gergasi Merah tersebut berjaya menewaskan Johor FC dengan agregat 5-2

Selasa, 2 Oktober 2012

Hodak Mahu Kelantan Buru Gol Awal

                                                         
    ghaddar dimasukkan pada babak kedua


KOTA BHARU – Juara Piala FA dan Liga Super, Kelantan melaungkan keyakinan tinggi mampu menyingkirkan cabaran Felda United FC, apabila kedua-dua pasukan turun berentap dalam aksi suku akhir kedua kempen Piala Malaysia edisi ke-86 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Keyakinan itu disuarakan pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak yang menyifatkan pasukan berstatus kelab berpangkalan di Lembah Kelang itu, tidak berupaya menyekat kemaraan mereka mara ke separuh akhir, sekali gus mencerahkan peluang memburu kejuaraan treble pertama musim ini.

“Kami mempunyai kelebihan segala-galanya. Dua gol di tempat lawan dan  puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium malam ini, sudah cukup bagi kami untuk memburu slot ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kami adalah pasukan pilihan ke saingan seterusnya. Mana mungkin perjalanan kami akan berakhir di sini (suku akhir). Ini gelanggang keramat Kelantan, dan kami tahu bagaimana cara untuk menunjukkan jalan keluar kepada Felda United FC.

Justeru Hodak, menuntut anak buahnya berjuang habis-habisan dan memburu gol seawal mungkin, bagi memastikan skuad bimbingan E Elavarasan itu terus dihimpit tekanan berganda.

“Pemain saya tahu apa yang perlu mereka dilakukan malam ini. Dapatkan gol awal dan itu kunci untuk kita menyingkirkan Felda United. Jangan biarkan pemain lawan bergerak bebas walaupun seinci.

Pada masa sama, Hodak mengakui pasukannya sekali lagi bakal berdepan dengan corak permainan bertahan yang diterapkan Felda United FC, sesuatu yang cukup dibenci jurulatih dari Croatia setiap kali bertemu dengan pasukan tersebut.

“Saya menjangkakan situasi yang sama berulang. Sembilan atau 10 pemain berkampung, macam letak bas di depan pintu gol mereka. Ia memang sukar menjaringkan gol, tetapi kami harap tidak terperangkap lagi dengan situasi seperti itu malam ini.

Dalam perkembangan sama, Hodak turut membayangkan bakal melakukan rombakan kecil terhadap kesebelasan utama Kelantan yang akan diturunkan pada pertemuan malam ini.

“Ada satu atau dua pemain yang tidak beraksi perlawanan lalu, saya akan kembali senaraikan. Namun saya tidak boleh dedahkan lebih awal. Esok (hari ini) baru saya akan kenal pasti barisan terkuat Kelantan.

“Mohamad Ghaddar saya letak di bangku simpanan dahulu. Dia belum bersedia beraksi untuk tempoh 90 minit. Jadi, seperti biasa dia akan diturunkan pada babak kedua,” katanya.

Ahad, 30 September 2012

Piala Presiden 2013 : Kelantan Bersiap Awal

Pihak pengurusan Piala Presiden Kelantan akan mengadakan satu sesi pemilihan untuk mencari pemain muda berbakat besar bawah 21 tahun untuk diserapkan bagi saingan musim 2013.
Menurut pengurus pasukan, Encik Yusri, mereka bercadang membuat sesi pemilihan pada awal Oktober depan setelah melihat beberapa pasukan negeri lain ketika ini sudah melakukan persediaan rapi untuk kejohanan musim baru.
Pada pemilihan kali ini, kita akan memberi tumpuan mencari pemain dari luar bandar seperti dari Gua Musang kerana kita yakin banyak pemain berbakat ada disana namun tidak diberi peluang untuk menonjolkan bakat.
Kita yakin sesetengah kawasan luar bandar memiliki ramai pemain yang mampu mencapai misi pasukan untuk mencabar kembali dalam saingan Liga Presiden Malaysia nanti.
Kita belum menetapkan tarikh sebenar dan tempat untuk sesi pemilihan nanti dan kita akan membuat pengumuman akan perkara ini dalam masa terdekat, jelasnya.

SUKU AKHIR PERTAMA : KELANTAN CIPTA KEMENANGAN BERHARGA

                                 Nurul Azwan Roya

Kelantan The Red Warriors mencipta kemenangan berharga selepas berjaya menumpaskan pasukan kelab Felda United 2 – 1 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan harus menunggu sehingga minit ke 56″ untuk memecah kebuntuan hasil jaringan pemain sayap iaitu Nurul Azwan Roya.

Indraputra Mahyuddin menceriakan lebih 5000 penyokong pelawat apabila dengan tenang menolak masuk bola ke gawang gol Felda United untuk jaringan kedua pasukan The Red Warriors.

Bekas pemain Kelantan iaitu Khairan Ezuan berjaya merapatkan jurang gol apabila menanduk masuk bola menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke 80″ namun gol tersebut tidak cukup untuk menghalang Kelantan mencipta kemenangan di tempat lawan.
Tamat Perlawanan Felda 2 – 1 Kelantan.

Sabtu, 29 September 2012

Skuad Melayu Kelantan Dalam Kumpulan D.

Skuad Melayu Kelantan diundi dalam kumpulan D bagi saingan Piala Emas Raja-Raja 2012 yang akan berlangsung bermula pada 9 November depan.
Diundi bersama Sang Kijang ialah seteru dari negeri jiran, Terengganu serta Perlis dan Polis Di Raja Malaysia.
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu akan menjadi gelanggang pertandingan peringkat kumpulan selama tiga hari tersebut.
Sementara itu, juara bertahan, Pahang yang dipilih selaku tuan rumah diundi dalam kumpulan C bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pulau Pinang dan Perak.
Kedah pula akan menjadi tuan rumah kepada Kuala Lumpur, Johor dan Singapura dalam kumpulan A di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Naib juara 2011, Melaka turut dipilih menjadi tuan rumah dan diundi sekumpulan dengan Negeri Sembilan, Selangor dan MASUM di Stadium Hang Jebat.
Pada pertandingan kali ini, pihak Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia yang bersidang telah melakukan beberapa perubahan dimana setiap pasukan yang mahu menggunakan mana-mana pemain dari Liga Super atau Liga Perdana perlu mendapatkan surat pelepasan dari majikan masing-masing.
Selain itu, mereka juga turut membenarkan enam pemain diambil untuk memperkuatkan pasukan namun hanya memberikan kebenaran kepada empat pemain profesional berada diatas padang pada satu-satu perlawanan.
Dua pasukan dari setiap kumpulan layak ke suku akhir yang akan diadakan secara timbal balik pada 17 dan 24 November.
Pasukan yang layak ke separuh akhir akan beraksi pada 1 dan 8 Disember manakala perlawanan akhir akan berlangsung di venue yang akan ditetapkan oleh PBSMM pada 22 Disember 2012.

sumber redsfc news

KAFA Dapat Tawaran Jalin Kerjasama Dengan Juara Liga Brazil.

The Red Warriors menerima berita baik apabila juara Liga Brazil, SC Corithians menawarkan kerjasama jangka panjang untuk pembangunan kedua-dua pasukan pada masa depan.
Menurut Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, pihak persatuan telah menerima jemputan secara rasmi tersebut baru-baru ini.
Mereka jelas berminat untuk menawarkan kerjasama kepada KAFA dan kita akan menjawab tawaran yang dikemukakan itu dalam masa terdekat.
SC Corinthians sudah menghantar jemputan dan kemungkinan besar kita akan ke sana dari 8 sehingga 15 November depan untuk melihat akademi yang telah diwujudkan.
Pada kunjungan itu, KAFA turut akan menandatangani MOU membabitkan pemain, jurulatih serta kerjasama dalam program sains sukan, jelasnya.
Pasukan tersebut merupakan juara Liga Brazil dan akan bersaing dalam kejohanan Piala Dunia Kelab di Jepun tidak lama lagi


sumber;redsfc news

Jumaat, 28 September 2012

Annuar: Saya tak mahu bola sepak Kelantan mati



Annuar Musa
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa
MESKIPUN sedang menjalani penggantungan selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak April lalu, namun Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tidak pernah berhenti bekerja demi untuk memajukan industri bola sepak negeri ini ke satu tahap pencapaian yang boleh dibanggakan.
Bermula dengan usaha keras Annuar untuk memastikan sebuah stadium bola sepak dibina di negeri ini, terbaharu beliau juga menzahirkan hasrat mahu mewujudkan mini stadium dan perkampungan bola sepak The Red Warriors (TRW) di Kok Lanas, Ketereh Kota Bharu dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, supremo bola sepak Kelantan itu juga turut menjelaskan kekeliruan mengenai status terkini mengenai jawatan yang disandangnya ketika ini.
Selain itu, beliau juga mahu berkongsi pandangan menjadikan Kafa, sebuah persatuan bola sepak negeri yang berdaya maju bagi membentuk TRW menjadi lebih mantap menghadapi saingan Liga Malaysia 2013.

Ikuti wawancara eksklusif Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abdul Rahman bersama wartawan sukan, Mazram Idzam Ridzal Mahmud dan jurufoto, Khiru Shaleh Abdullah bersama beliau di pejabat Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) baru-baru ini.

Sejauh mana perkembangan terkini status stadium bola sepak The Red Warriors sejak ia dilancarkan secara rasmi pada 25 Februari lalu.

Kita tahu stadium merupakan satu keperluan yang mendesak ketika ini.  Perkara ini kita sudah bentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau memang menyokong sepenuhnya idea ini.

Malah, beliau mahu menjadikan pembinaan stadium ini sebagai projek nombor satu sekiranya rakyat Kelantan memberi mandat kepada Barisan Nasional kembali memerintah negeri ini.

Stadium ini untuk rakyat dan mereka harus memberikan kepercayaan agar ia bertukar menjadi satu realiti. Tetapi, bagi Kafa, apa jua situasi daripada sudut politik sekali pun, stadium ini harus menjadi satu kemestian.

Sebab itu kita ambil langkah proaktif dengan mereka bentuk lakaran stadium, menilai kos pembinaan selain melakukan kajian teknikal. Kita masih ingin buat rayuan kepada kerajaan supaya stadium ini menjadi satu projek yang tetap dilaksanakan.

Sekarang ini, rayuan sudah disampaikan secara lisan dan bertulis kepada Kerajaan Pusat. Kita percaya ia akan mendapat reaksi positif.  Sementara menunggu kelulusan muktamad, kita sendiri kena ambil inisiatif tertentu...dapatkan perkenan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk menggunakan tanah baginda.

Selagi tidak ada tapak, nak berunding dengan kerajaan pun tak boleh malah nak buat apa-apa pun tak boleh. Sekarang dengan perkenan baginda, kita ambil langkah awal seperti yang saya sebutkan tadi. Kita tidak mahu membuang masa, dan boleh katakan kajian yang kita lakukan hampir siap sekarang.

Bunyinya seperti stadium ini akan mengambil masa yang lama untuk dibina. Apakah Kafa mempunyai alternatif tertentu bagi merealisasikan impian ini.

Pada masa sama, kita ambil langkah dengan berusaha mewujudkan sebuah mini stadium. Kafa akan beli sebidang tanah di Kok Lanas, Ketereh untuk bina akademi sendiri di tanah tersebut.

Kita bina mini stadium dengan kapasiti sekitar 10,000 hingga 15,000 tempat duduk penonton sesuai dengan perlawanan yang tidak berskala besar. Saya fikir selepas proses membentuk pasukan yang mantap sudah berjaya, sekarang kita kena fikir jangka masa panjang pula.

Sudah pasti mini stadium itu bukan milik persatuan...ia akan dibina oleh kerajaan. Kita kena akui Kafa memang tak mampu untuk bina stadium sendiri pada masa sekarang. Tetapi, pada masa sama kita fikir mesti ada padang latihan sendiri.

Saya sedang memikirkan kaedah termasuk mendapatkan sokongan daripada pihak swasta. Misalnya di England, Nike boleh bina stadium sendiri, begitu juga Emirates dengan stadiumnya.

Syarikat saya, Al-Hambra akan mengetuai usaha membina mini stadium ini. Kalau 100 peratus diserahkan kepada Kafa pun tak mampu juga, nak bagi 100 peratus ke swasta pun tak boleh juga. Tapi, memang kita hendak buat serta-merta dan sekarang kita sedang berunding dengan tuan tanah.

Apa yang istimewanya mengenai pembinaan mini stadium ini. Mungkin Tan Sri boleh berikan gambaran awal mengenai pelaksanaan projek terbaru ini.

Kita hendak bina sebuah perkampungan bola sepak berkonsepkan The Red Warriors Villa.  Ia meliputi keluasan tanah keseluruhan 26 hektar dengan 1.6 hektar daripadanya dibina padang-padang latihan.

Tidak semestinya mahal tapi berteraskan pembangunan bola sepak dengan harapan seluruh komuniti akan tertumpu di situ. Mungkin kita fikir akan letak nama-nama jalan (di kawasan tersebut) seperti Jalan Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA atau Piala Presiden.

Kita cuba jual idea ini kepada tuan tanah dan pada masa sama kita sendiri ambil bahagian memajukan akademi ini. Saya seorang townplanner (perancang bandar), jadi saya suka fikir perkara-perkara seperti itu. Mungkin beberapa bangunan di situ kita guna nama bintang-bintang bola sepak yang tersohor suatu ketika dahulu. Saya fikir ia satu projek yang menarik.

Saya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya sebahagian fasiliti di Kolej Matrikulasi Kok Lanas (KMKL) dengan Akademi Al-Hambra boleh diguna sama antara satu sama lain.

Antaranya kita minta supaya padang utama di kolej tersebut dibina jenis astroturf supaya boleh digunakan untuk perlawanan antarabangsa.

Jadi, kita boleh guna kemudahan di KMKL secara bersama. Kalau kita tak guna, mereka boleh guna padang tersebut. Mungkin jika hostel mereka kosong, kalau pemain kita hendak menjalani latihan pusat boleh tinggal di situ.

Idea ini kita cuba ketengahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya tak semua fasiliti perlu ada dalam sebuah akademi. Ia lebih berkonsep sharing fasility. Kita jangka sekurang-kurangnya enam pasukan meliputi skuad senior, Piala Presiden dan skuad elit bawah 14 dan 16 tahun boleh jalani latihan serentak di situ.

Tan Sri mempunyai visi dan misi yang cukup jelas memajukan bola sepak Kelantan. Tetapi pada masa sama, Tan Sri masih berdepan hukuman penggantungan 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Adakah hukuman ini memberi impak terhadap kerja keras memajukan bola sepak di negeri ini.

Sebenarnya ramai yang salah tafsir mengenai penggantungan saya. Saya hanya digantung daripada menjalankan aktiviti bola sepak anjuran FAM sahaja. Itu daripada segi undang-undang mereka.

Kalau saya buat kerja akademi, nak pergi tengok bola, anjur bola atau main bola sekali pun...mereka tak boleh gantung saya. Jadi penggantungan saya hanya merujuk kepada aktiviti FAM sahaja. Kalau bukan aktiviti berkaitan FAM, mereka tak ada kuasa nak melarang saya.

Sebab hukuman ke atas saya, jawatan saya pun tak terjejas...FAM hukum saya berdasarkan jadual penggantungan. FAM tak gantung saya pada jawatan (Timbalan Presiden). Jawatankuasa Disiplin tidak ada kuasa untuk menggantungkan saya daripada jawatan. Sebab dalam perlembagaan FAM, yang ada kuasa untuk gantung saya hanyalah kongres.

Ramai yang keliru, panggil saya Penasihat Kafa dan anggap saya bukan lagi Timbalan Presiden FAM. Hatta (dalam isu penggantungan ini), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sendiri pun tidak boleh buat apa-apa.

Saya menjalankan tugas sebagai presiden di mana tempat yang saya tafsir bukan merupakan aktiviti bola sepak. Sekarang pentafsiran pun belum jelas, sebab itu saya pergi ke mahkamah.

Bila pergi ke mahkamah, perkara ini belum ditentukan lagi. Sekarang pentafsiran pun belum jelas, apakah yang dimaksudkan dengan aktiviti bola sepak ? Kalau saya tandatangan cek Kafa boleh atau tidak?

Apakah itu ditafsirkan sebagai aktiviti bola sepak? Rutin seorang presiden persatuan bola sepak negeri. Kalau belum ditentukan, kenapa saya harus berhenti... Saya bekerjalah seperti biasa.

Saya tahu tak akan masuk penjara kerana penggantungan itu. Penggantungan yang dibuat oleh FAM tetap saya hormati. Sebab itu saya tak pergi mesyuarat FAM. Kalau ikutkan pandangan peguam, saya masih boleh cabar. Saya masih boleh hadir mesyuarat agung.

Sebab dalam jadual mengatakan penggantungan hanya untuk pemain dan jurulatih. Tapi, FAM tafsir saya sebagai pegawai. Pandangan pihak peguam, Jawatankuasa Eksekutif pun bukan pegawai. Pegawai hanya dimaksudkan jurulatih sahaja.

Jadi kesamaran (dalam kes itu) masih berlaku, sementara mahkamah putuskan biarlah saya ikut tafsiran saya sendiri. Dulu bila orang kena hukum, kita hulur kepala, seolah-olah akur sahaja hukuman yang dikenakan ke atas kita.

Saya masih hormat penggantungan ini, tetapi saya tidak akan biarkan bola sepak Kelantan yang saya bina bertahun-tahun mati kerana hukuman ini. Saya akan terus bekerja untuk bola sepak negeri ini.

Adakah dalam tempoh penggantungan selama 30 bulan ini, bermakna Tan Sri tidak boleh dicalonkan semula pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kafa yang dijadualkan berlangsung penghujung tahun depan?

Kalau digantung memang saya tak bolehlah (dicalonkan). Tapi kita tak tahu bila pemilihan tersebut...belum tahu lagi bila ia akan berlangsung. Sampai masanya kita akan putuskan.

Mungkin peraturan berubah, kepimpinan berubah atau keputusan mahkamah berubah. Jadi perkara itu tak perlu dibincangkan sekarang. Secara prinsipnya selagi saya digantung, memang saya tak boleh bertanding apa-apa jawatan.

Saya pun tahu orang hukum saya sebab itulah (tak benarkan bertanding). Tapi saya tengok masa masih panjang lagi. Mohammad Hamman (Presiden AFC) kena hukum tapi bila beliau pergi ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland, hukuman ke atasnya ditarik balik.

Tapi kita tak pergi ke situ (CAS) lagi, ini baru sedikit. Ini baru peringkat hendak mendapatkan pentafsiran mahkamah atas beberapa perkara yang saya rasa disalah tafsir. Kalau mahkamah putuskan perkara itu, pun tak abis di situ juga. Saya akan pergi ke pelan seterusnya.

Saya cabar sebab dalam proses perbicaraan tempohari, saya tidak diberi hak di bawah keadilan yang saksama. Saya tidak diberi surat tunjuk sebab, tak dibenarkan lantik peguam dan tak diberi peluang untuk merayu.

Maka pentafsiran saya, itu dianggap melanggar prinsip keadilan sejagat. Kalau mahkamah putuskan itu kes tersebut berlandaskan lunas undang-undang yang benar, saya terimalah. Tapi kalau mahkamah putuskan seperti yang saya rasa, mungkin proses tersebut terbatal.

Sesetengah orang ingat saya mahu mencabar badan induk bola sepak kebangsaan. Tidak sebenarnya, saya hanya mahukan kebenaran menerusi penjelasan undang-undang.

Kafa kini dilihat sebuah persatuan bola sepak negeri yang paling berjaya di negara ini. Adakah Tan Sri terfikir mahu menjadikan Kafa ini sebagai sebuah entiti yang berorientasikan perniagaan.

Sebenarnya jauh lagi mencapai sasaran itu, banyak aspek kalau kita bercakap tentang Kafa. Salah satunya, macam mana kita hendak jadikan Kafa sebagai sebuah entiti yang boleh berdikari.

Di situ timbul persoalan macam mana Kafa mesti diurustadbir secara komersial. Ertinya, kita kena tahu duit nak keluar berapa, kena ada usaha duit kena masuk berapa agar kita tidak menjadi sebuah persatuan yang suka meminta-minta.

Nilai itu mestilah lebih daripada nilai pasukan bola sepak kita. Kalau pasukan kita bagus, kita pun akan mendapat sumber kewangan yang tinggi daripada penaja. Bukan bermaksud bila hendak menghadapi musim depan, berapa (nilai) orang hendak bagi geran kepada kita.

Zaman bergantung kepada geran tahunan sudah lama kita tinggalkan. Itu salah satu aspek terpenting dalam mengurus pentadbiran Kafa ketika ini. Sebab itu kita wujudkan therredwarriors.com, sebuah syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Segala aspek yang berkaitan dengan unsur komersial, misalnya pada tahun depan, soal jersi kita buka tender buat pertama kali. Saya dengar Umbro, Lotto dan Warrior yang taja pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool pun hendak masuk tender.

Itu hanya contoh jersi. Banyak lagi perkara yang kita boleh buat duit. Seperkara lagi, kita kena pastikan prestasi pasukan juga berjalan seiring. Jersi laku, kita akan selalu ke Bukit Jalil.
Kalau prestasi pasukan merudum, perniagaan juga boleh merosot.

Nak jaga bidang komersial senang nak jaga pasukan bola sepak memang susah. Kita juga kena ingat pasukan lain pun ada cara tersendiri tingkatkan prestasi mereka.

Liga Malaysia 2012 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Mungkin Tan Sri sudah ada perancangan untuk membentuk pasukan The Red Warriors bagi menghadapi musim yang lebih mencabar pada tahun depan.

Kecuali pemain import, yang lain kita sudah selesai semua urusan pemain tempatan. Cuma untuk pemain tempatan baru belum selesai lagi sebab tak ada pemain kita yang ada sekarang hendak keluar.

Kalau hendak ada pemain tempatan baru masuk, perlu ada pemain lama keluar. Masalahnya, sekarang tak ada pemain pun yang hendak keluar. Mungkin kita terpaksa cadangkan beberapa pemain keluar mencuba nasib dengan pasukan lain.

Namun, perkara itu kita belum kaji lagi setakat ini. Matyo (Norshahrul Idlan Talaha), Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Indra Putra (Mahayuddin) kekal bersama dengan Kelantan.

Kita boleh buat dua cara, iaitu pemain mengikat kontrak dengan kita tetapi dipinjamkan kepada pasukan lain atau pun lakukan pemindahan seperti Mohd Nizab (Ayub) yang kita pinjamkan kepada Felda United FC musim ini.

Sasaran saya adalah tetap pemain-pemain kelahiran negeri sendiri. Sebab saat-saat kritikal, pemain Kelantan mempunyai semangat tinggi. Tapi, 100 peratus pun tak boleh juga. Jadi nisbah 80 : 20 boleh kita guna dalam menentukan skuad 25 pemain Kelantan untuk musim depan.

Khamis, 27 September 2012

KAFA Kecewa Penyokong Tidak Ramai Ke Stadium.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kecewa dengan jumlah kehadiran penyokong pada perlawanan suku akhir kedua Piala AFC melibatkan The Red Warriors melawan Arbil, semalam.
Menurut penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, para penyokong nyata mengalah awal selepas kekalahan besar pada perlawanan pertama tempoh hari.
Mereka tidak mengiringi pasukan beraksi di gelanggang sendiri malah ini merupakan kehadiran terendah yang dicatatkan pada tahun ini.
Sejumlah 3000 sahaja hadir ke stadium dan mereka ditakrifkan sebagai penyokong setia The Red Warriors.
Terasa sedikit malu kepada pihak AFC dan Arbil kerana sebelum ini saya menjanjikan kepada mereka suasana yang meriah dengan kehadiran ramai penyokong.
Mujurlah para pemain tidak turut mengalah awal apabila menampilkan persembahan hebat seterusnya mencipta keputusan seri 1-1.
Pada perlawanan semalam, Kelantan ketinggalan hasil jaringan Sola Matovu pada separuh masa pertama namun bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir hasil sepakan penalti Mohamad Ghaddar namun gagal untuk ke separuh akhir kerana ditundukkan 1-5 pada perlawanan pertama di Arbil minggu lalu


sumber:redsfc news

Catatan Popular