KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 28 September 2012

Annuar: Saya tak mahu bola sepak Kelantan mati



Annuar Musa
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa
MESKIPUN sedang menjalani penggantungan selama 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak April lalu, namun Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa tidak pernah berhenti bekerja demi untuk memajukan industri bola sepak negeri ini ke satu tahap pencapaian yang boleh dibanggakan.
Bermula dengan usaha keras Annuar untuk memastikan sebuah stadium bola sepak dibina di negeri ini, terbaharu beliau juga menzahirkan hasrat mahu mewujudkan mini stadium dan perkampungan bola sepak The Red Warriors (TRW) di Kok Lanas, Ketereh Kota Bharu dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, supremo bola sepak Kelantan itu juga turut menjelaskan kekeliruan mengenai status terkini mengenai jawatan yang disandangnya ketika ini.
Selain itu, beliau juga mahu berkongsi pandangan menjadikan Kafa, sebuah persatuan bola sepak negeri yang berdaya maju bagi membentuk TRW menjadi lebih mantap menghadapi saingan Liga Malaysia 2013.

Ikuti wawancara eksklusif Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abdul Rahman bersama wartawan sukan, Mazram Idzam Ridzal Mahmud dan jurufoto, Khiru Shaleh Abdullah bersama beliau di pejabat Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) baru-baru ini.

Sejauh mana perkembangan terkini status stadium bola sepak The Red Warriors sejak ia dilancarkan secara rasmi pada 25 Februari lalu.

Kita tahu stadium merupakan satu keperluan yang mendesak ketika ini.  Perkara ini kita sudah bentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau memang menyokong sepenuhnya idea ini.

Malah, beliau mahu menjadikan pembinaan stadium ini sebagai projek nombor satu sekiranya rakyat Kelantan memberi mandat kepada Barisan Nasional kembali memerintah negeri ini.

Stadium ini untuk rakyat dan mereka harus memberikan kepercayaan agar ia bertukar menjadi satu realiti. Tetapi, bagi Kafa, apa jua situasi daripada sudut politik sekali pun, stadium ini harus menjadi satu kemestian.

Sebab itu kita ambil langkah proaktif dengan mereka bentuk lakaran stadium, menilai kos pembinaan selain melakukan kajian teknikal. Kita masih ingin buat rayuan kepada kerajaan supaya stadium ini menjadi satu projek yang tetap dilaksanakan.

Sekarang ini, rayuan sudah disampaikan secara lisan dan bertulis kepada Kerajaan Pusat. Kita percaya ia akan mendapat reaksi positif.  Sementara menunggu kelulusan muktamad, kita sendiri kena ambil inisiatif tertentu...dapatkan perkenan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk menggunakan tanah baginda.

Selagi tidak ada tapak, nak berunding dengan kerajaan pun tak boleh malah nak buat apa-apa pun tak boleh. Sekarang dengan perkenan baginda, kita ambil langkah awal seperti yang saya sebutkan tadi. Kita tidak mahu membuang masa, dan boleh katakan kajian yang kita lakukan hampir siap sekarang.

Bunyinya seperti stadium ini akan mengambil masa yang lama untuk dibina. Apakah Kafa mempunyai alternatif tertentu bagi merealisasikan impian ini.

Pada masa sama, kita ambil langkah dengan berusaha mewujudkan sebuah mini stadium. Kafa akan beli sebidang tanah di Kok Lanas, Ketereh untuk bina akademi sendiri di tanah tersebut.

Kita bina mini stadium dengan kapasiti sekitar 10,000 hingga 15,000 tempat duduk penonton sesuai dengan perlawanan yang tidak berskala besar. Saya fikir selepas proses membentuk pasukan yang mantap sudah berjaya, sekarang kita kena fikir jangka masa panjang pula.

Sudah pasti mini stadium itu bukan milik persatuan...ia akan dibina oleh kerajaan. Kita kena akui Kafa memang tak mampu untuk bina stadium sendiri pada masa sekarang. Tetapi, pada masa sama kita fikir mesti ada padang latihan sendiri.

Saya sedang memikirkan kaedah termasuk mendapatkan sokongan daripada pihak swasta. Misalnya di England, Nike boleh bina stadium sendiri, begitu juga Emirates dengan stadiumnya.

Syarikat saya, Al-Hambra akan mengetuai usaha membina mini stadium ini. Kalau 100 peratus diserahkan kepada Kafa pun tak mampu juga, nak bagi 100 peratus ke swasta pun tak boleh juga. Tapi, memang kita hendak buat serta-merta dan sekarang kita sedang berunding dengan tuan tanah.

Apa yang istimewanya mengenai pembinaan mini stadium ini. Mungkin Tan Sri boleh berikan gambaran awal mengenai pelaksanaan projek terbaru ini.

Kita hendak bina sebuah perkampungan bola sepak berkonsepkan The Red Warriors Villa.  Ia meliputi keluasan tanah keseluruhan 26 hektar dengan 1.6 hektar daripadanya dibina padang-padang latihan.

Tidak semestinya mahal tapi berteraskan pembangunan bola sepak dengan harapan seluruh komuniti akan tertumpu di situ. Mungkin kita fikir akan letak nama-nama jalan (di kawasan tersebut) seperti Jalan Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA atau Piala Presiden.

Kita cuba jual idea ini kepada tuan tanah dan pada masa sama kita sendiri ambil bahagian memajukan akademi ini. Saya seorang townplanner (perancang bandar), jadi saya suka fikir perkara-perkara seperti itu. Mungkin beberapa bangunan di situ kita guna nama bintang-bintang bola sepak yang tersohor suatu ketika dahulu. Saya fikir ia satu projek yang menarik.

Saya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya sebahagian fasiliti di Kolej Matrikulasi Kok Lanas (KMKL) dengan Akademi Al-Hambra boleh diguna sama antara satu sama lain.

Antaranya kita minta supaya padang utama di kolej tersebut dibina jenis astroturf supaya boleh digunakan untuk perlawanan antarabangsa.

Jadi, kita boleh guna kemudahan di KMKL secara bersama. Kalau kita tak guna, mereka boleh guna padang tersebut. Mungkin jika hostel mereka kosong, kalau pemain kita hendak menjalani latihan pusat boleh tinggal di situ.

Idea ini kita cuba ketengahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya tak semua fasiliti perlu ada dalam sebuah akademi. Ia lebih berkonsep sharing fasility. Kita jangka sekurang-kurangnya enam pasukan meliputi skuad senior, Piala Presiden dan skuad elit bawah 14 dan 16 tahun boleh jalani latihan serentak di situ.

Tan Sri mempunyai visi dan misi yang cukup jelas memajukan bola sepak Kelantan. Tetapi pada masa sama, Tan Sri masih berdepan hukuman penggantungan 30 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Adakah hukuman ini memberi impak terhadap kerja keras memajukan bola sepak di negeri ini.

Sebenarnya ramai yang salah tafsir mengenai penggantungan saya. Saya hanya digantung daripada menjalankan aktiviti bola sepak anjuran FAM sahaja. Itu daripada segi undang-undang mereka.

Kalau saya buat kerja akademi, nak pergi tengok bola, anjur bola atau main bola sekali pun...mereka tak boleh gantung saya. Jadi penggantungan saya hanya merujuk kepada aktiviti FAM sahaja. Kalau bukan aktiviti berkaitan FAM, mereka tak ada kuasa nak melarang saya.

Sebab hukuman ke atas saya, jawatan saya pun tak terjejas...FAM hukum saya berdasarkan jadual penggantungan. FAM tak gantung saya pada jawatan (Timbalan Presiden). Jawatankuasa Disiplin tidak ada kuasa untuk menggantungkan saya daripada jawatan. Sebab dalam perlembagaan FAM, yang ada kuasa untuk gantung saya hanyalah kongres.

Ramai yang keliru, panggil saya Penasihat Kafa dan anggap saya bukan lagi Timbalan Presiden FAM. Hatta (dalam isu penggantungan ini), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sendiri pun tidak boleh buat apa-apa.

Saya menjalankan tugas sebagai presiden di mana tempat yang saya tafsir bukan merupakan aktiviti bola sepak. Sekarang pentafsiran pun belum jelas, sebab itu saya pergi ke mahkamah.

Bila pergi ke mahkamah, perkara ini belum ditentukan lagi. Sekarang pentafsiran pun belum jelas, apakah yang dimaksudkan dengan aktiviti bola sepak ? Kalau saya tandatangan cek Kafa boleh atau tidak?

Apakah itu ditafsirkan sebagai aktiviti bola sepak? Rutin seorang presiden persatuan bola sepak negeri. Kalau belum ditentukan, kenapa saya harus berhenti... Saya bekerjalah seperti biasa.

Saya tahu tak akan masuk penjara kerana penggantungan itu. Penggantungan yang dibuat oleh FAM tetap saya hormati. Sebab itu saya tak pergi mesyuarat FAM. Kalau ikutkan pandangan peguam, saya masih boleh cabar. Saya masih boleh hadir mesyuarat agung.

Sebab dalam jadual mengatakan penggantungan hanya untuk pemain dan jurulatih. Tapi, FAM tafsir saya sebagai pegawai. Pandangan pihak peguam, Jawatankuasa Eksekutif pun bukan pegawai. Pegawai hanya dimaksudkan jurulatih sahaja.

Jadi kesamaran (dalam kes itu) masih berlaku, sementara mahkamah putuskan biarlah saya ikut tafsiran saya sendiri. Dulu bila orang kena hukum, kita hulur kepala, seolah-olah akur sahaja hukuman yang dikenakan ke atas kita.

Saya masih hormat penggantungan ini, tetapi saya tidak akan biarkan bola sepak Kelantan yang saya bina bertahun-tahun mati kerana hukuman ini. Saya akan terus bekerja untuk bola sepak negeri ini.

Adakah dalam tempoh penggantungan selama 30 bulan ini, bermakna Tan Sri tidak boleh dicalonkan semula pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kafa yang dijadualkan berlangsung penghujung tahun depan?

Kalau digantung memang saya tak bolehlah (dicalonkan). Tapi kita tak tahu bila pemilihan tersebut...belum tahu lagi bila ia akan berlangsung. Sampai masanya kita akan putuskan.

Mungkin peraturan berubah, kepimpinan berubah atau keputusan mahkamah berubah. Jadi perkara itu tak perlu dibincangkan sekarang. Secara prinsipnya selagi saya digantung, memang saya tak boleh bertanding apa-apa jawatan.

Saya pun tahu orang hukum saya sebab itulah (tak benarkan bertanding). Tapi saya tengok masa masih panjang lagi. Mohammad Hamman (Presiden AFC) kena hukum tapi bila beliau pergi ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland, hukuman ke atasnya ditarik balik.

Tapi kita tak pergi ke situ (CAS) lagi, ini baru sedikit. Ini baru peringkat hendak mendapatkan pentafsiran mahkamah atas beberapa perkara yang saya rasa disalah tafsir. Kalau mahkamah putuskan perkara itu, pun tak abis di situ juga. Saya akan pergi ke pelan seterusnya.

Saya cabar sebab dalam proses perbicaraan tempohari, saya tidak diberi hak di bawah keadilan yang saksama. Saya tidak diberi surat tunjuk sebab, tak dibenarkan lantik peguam dan tak diberi peluang untuk merayu.

Maka pentafsiran saya, itu dianggap melanggar prinsip keadilan sejagat. Kalau mahkamah putuskan itu kes tersebut berlandaskan lunas undang-undang yang benar, saya terimalah. Tapi kalau mahkamah putuskan seperti yang saya rasa, mungkin proses tersebut terbatal.

Sesetengah orang ingat saya mahu mencabar badan induk bola sepak kebangsaan. Tidak sebenarnya, saya hanya mahukan kebenaran menerusi penjelasan undang-undang.

Kafa kini dilihat sebuah persatuan bola sepak negeri yang paling berjaya di negara ini. Adakah Tan Sri terfikir mahu menjadikan Kafa ini sebagai sebuah entiti yang berorientasikan perniagaan.

Sebenarnya jauh lagi mencapai sasaran itu, banyak aspek kalau kita bercakap tentang Kafa. Salah satunya, macam mana kita hendak jadikan Kafa sebagai sebuah entiti yang boleh berdikari.

Di situ timbul persoalan macam mana Kafa mesti diurustadbir secara komersial. Ertinya, kita kena tahu duit nak keluar berapa, kena ada usaha duit kena masuk berapa agar kita tidak menjadi sebuah persatuan yang suka meminta-minta.

Nilai itu mestilah lebih daripada nilai pasukan bola sepak kita. Kalau pasukan kita bagus, kita pun akan mendapat sumber kewangan yang tinggi daripada penaja. Bukan bermaksud bila hendak menghadapi musim depan, berapa (nilai) orang hendak bagi geran kepada kita.

Zaman bergantung kepada geran tahunan sudah lama kita tinggalkan. Itu salah satu aspek terpenting dalam mengurus pentadbiran Kafa ketika ini. Sebab itu kita wujudkan therredwarriors.com, sebuah syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Segala aspek yang berkaitan dengan unsur komersial, misalnya pada tahun depan, soal jersi kita buka tender buat pertama kali. Saya dengar Umbro, Lotto dan Warrior yang taja pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool pun hendak masuk tender.

Itu hanya contoh jersi. Banyak lagi perkara yang kita boleh buat duit. Seperkara lagi, kita kena pastikan prestasi pasukan juga berjalan seiring. Jersi laku, kita akan selalu ke Bukit Jalil.
Kalau prestasi pasukan merudum, perniagaan juga boleh merosot.

Nak jaga bidang komersial senang nak jaga pasukan bola sepak memang susah. Kita juga kena ingat pasukan lain pun ada cara tersendiri tingkatkan prestasi mereka.

Liga Malaysia 2012 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Mungkin Tan Sri sudah ada perancangan untuk membentuk pasukan The Red Warriors bagi menghadapi musim yang lebih mencabar pada tahun depan.

Kecuali pemain import, yang lain kita sudah selesai semua urusan pemain tempatan. Cuma untuk pemain tempatan baru belum selesai lagi sebab tak ada pemain kita yang ada sekarang hendak keluar.

Kalau hendak ada pemain tempatan baru masuk, perlu ada pemain lama keluar. Masalahnya, sekarang tak ada pemain pun yang hendak keluar. Mungkin kita terpaksa cadangkan beberapa pemain keluar mencuba nasib dengan pasukan lain.

Namun, perkara itu kita belum kaji lagi setakat ini. Matyo (Norshahrul Idlan Talaha), Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Indra Putra (Mahayuddin) kekal bersama dengan Kelantan.

Kita boleh buat dua cara, iaitu pemain mengikat kontrak dengan kita tetapi dipinjamkan kepada pasukan lain atau pun lakukan pemindahan seperti Mohd Nizab (Ayub) yang kita pinjamkan kepada Felda United FC musim ini.

Sasaran saya adalah tetap pemain-pemain kelahiran negeri sendiri. Sebab saat-saat kritikal, pemain Kelantan mempunyai semangat tinggi. Tapi, 100 peratus pun tak boleh juga. Jadi nisbah 80 : 20 boleh kita guna dalam menentukan skuad 25 pemain Kelantan untuk musim depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular