KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 5 September 2012

Piala Malaysia 2012 : Kelantan Terikat Dengan Kedah.

Kelantan gagal mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia lebih awal apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.


Beraksi di gelanggang lawan, Sang Kijang bagaimanapun tidak banyak melakukan asakan ke kubu Kedah kecuali satu percubaan libas Indra Putra Mahayuddin yang tepat kepada penjaga gol pada minit ke-7.

Pada minit ke-10, kubu mereka pula diancam melalui percubaan Khyril Muhaimeen yang menerima hantaran lintang dari Sabree Abu namun penyerang Kedah itu gagal menyempurnakan peluang biarpun Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.

The Red Warriors cuba bangkit dengan melancarkan serangan melalui Norshahrul Idlan Talaha dan Afiq Azmi sambil dibantu Indra Putra tetapi benteng tuan rumah ternyata ampuh untuk dibolosi.

Malah Kedah hampir melakar jaringan selepas sepakan percuma Badrol Bakhtiar pada minit ke-39 tertampan kaki Aslam Najmudeen sebelum melambung terkena tiang dan disepak keluar Obinna Nwaneri.

Bersambung babak kedua, Kedah mengandakan asakan bagi mencari jaringan namun kesemua peluang gagal diterjemahkan.

Peluang terbaik yang dimiliki Vedran Gerc selepas berjaya melepaskan diri dari perangkap offside pada minit ke-66 turut diselamatkan Khairul Fahmi.

Kelantan yang sekali sekala melakukan serangan hampa apabila sepakan sudut yang dilakukan oleh Mohd Badri Radzi hanya menyinggahi palang seterusnya dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Kedah.

Hantaran lintang Nurul Azwan Roya pada penghujung babak pula berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah walaupun Norfarhan Mohamad sempat memberikan cabaran.

Tambahan masa yang diberikan gagal digunakan oleh Sang Kijang dan Kenari untuk menjaringkan gol untuk keputusan seri 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan peringkat Kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah, ATM berjaya menewaskan pasukan bermasalah, Terengganu dengan jaringan 2-0.

Dengan kemenangan tersebut, ATM sah ke suku akhir setelah memungut 10 mata manakala Terengganu gagal menepati ramalan dengan tersingkir setelah hanya mampu memungut tiga mata dari lima perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular