KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 15 September 2012

Laporan Perlawanan Piala Malaysia 2012 : Kijang Mengamuk di Kota Bharu.

The Red Warriors mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2012 apabila garang membelasah Terengganu 6-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.


Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong setia, Kelantan tidak menunggu lama untuk melakukan asakan apabila percubaan Afiq Azmi pada minit ke-8 berjaya diselamatkan Sharmiza.

Namun Afiq membalas kegagalan tersebut dengan jaringan dari jarak dekat selepas menerima hantaran cantik Nurul Azwan Roya pada minit ke-13.

Kelantan hampir menambah jaringan pada minit ke-16 namun tandukan Indra Putra Mahayuddin ke dalam jaring dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside.

Pada minit ke-29, Norfarhan meletakkan Sang Kijang selesa dengan dua gol apabila sepakan kencang dari luar kotak penalti terus menerjah jaring.

Terengganu hampir merapatkan jurang pada pertengahan babak pertama selepas Ismail Faruqi yang tidak dikawal melepaskan satu rembatan kencang dari jarak 30 meter namun palang gol menjadi penghalang.

Begitu juga dengan rembatan Norfarhan dari jarak dekat turut terkena palang untuk menutup separuh masa pertama dengan Kelantan mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua, Sang Kijang mengganas dengan jaringan ketiga setelah Norfarhan bijak memanfaatkan bola muntah Sharmiza pada minit ke-47.

Jaringan tersebut nyata mematahkan semangat Terengganu untuk melawan seterusnya membuka beberapa lagi peluang kepada tuan rumah untuk melakukan asakan.

Mohd Badri Radzi menambah derita pelawat dengan jaringan keempat pada minit ke-76 setelah lintangan yang dilakukan oleh Obinna Nwaneri gagal dibaca dengan baik Sharmiza memudahkan ketua pasukan Kelantan menanduk masuk dari jarak dekat.

Terengganu yang sekali sekala melancarkan serangan akhirnya berjaya membolosi gawang Sang Kijang apabila Hasmizan yang tidak dikawal dalam kotak penalti menanduk masuk hantaran daripada Shukor Jusoh pada minit ke-78.

Tuan rumah bagaimanapun meneruskan pesta gol pada minit ke-81 apabila Badri Radzi bijak menyepak masuk ke gawang terbuka luas menewaskan penjaga gol Terengganu buat kali kelima.

Indra Putra Mahayuddin melengkapkan malam gemilang Kelantan pada minit ke-84 selepas melakukan sepakan kencang dari jarak dekat ke dalam gawang Terengganu setelah menerima hantaran Badri Radzi.

Dengan kemenangan yang diraih, The Red Warriors mengungguli carta kumpulan B dengan 11 mata selepas ATM yang turut memungut mata sama selepas seri 2-2 dengan Kedah terpaksa berpuas hati di tangga kedua kerana perbezaan gol. 

Kesebelasan Utama

Kelantan : Bojan Hodak.
Khairul Fahmi (Gk), Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Shakir Shaari (Zairul Fitree Ishak), Norfarhan Mohamad (khairul Izuan Rosli), Nurul Azwan Roya, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Badri Radzi (Kp), Mafri Balang dan MOhd Afiq (Norshahrul Idlan Talaha).

Terengganu : Peter Butler
Mohd Sharmizal (Gk) (Mohd Saifuddin), Erison Da Silva, Ismail Faruqi, Abdul Manaf Mamat, Joseph Kalang Tie, Abdul Hadi Yahya, Marlizam Ahmad, Zubir Azmi, Ahmad Nordin, Shukur Jusoh (Mohd Fakhrurazi) dan Mohd Faizal (Kp) (Hasmizan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular