KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 19 September 2012

Kolumnis : Kelantan Mesti Sertai AFC 2013.

Terkadang sedih dengan nasib yang menimpa Sang Kijang apabila cabaran mereka dalam saingan peringkat Asia bagaikan tidak mendapat sokongan padu daripada badan sukan nombor satu negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Apa tidaknya, persatuan tersebut bagaikan tidak menunjukkan minat untuk sama-sama menyokong perjuangan The Red Warriors untuk memasyurkan nama negara ke pentas dunia.

Setakat ini dilaporkan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), banyak perkara yang melibatkan pasukan mereka dalam Piala AFC dipandang sepi FAM malahan sebelum pertandingan suku akhir bermula kelihatan langkah tidak bijak badan induk itu dengan menolak rayuan akan pengecualian pemain Sang Kijang dari kem skuad kebangsaan.

FAM merupakan sebuah badan induk yang menguruskan liga bola sepak Malaysia seharusnya membantu pasukan dari negara kita bertanding ke peringkat tertinggi namun mereka pula kelihatan lepas tangan memaksa pasukan yang layak terkontang kanting meneruskan saingan tanpa bantuan.

Bukan Kelantan sahaja yang menerima nasib itu malah hampir kesemua pasukan yang bukan anak emas sepi menerima bantuan sekurang-kurangnya sokongan di media utama semasa.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang terkilan dengan perkara itu telah menyatakan secara terbuka mahu mengkaji semula sama ada kekal atau menarik diri dari kejohanan tersebut biarpun sudah layak secara merit.

Katanya, dasar dan cara yang telah ditetapkan FAM tidak selari dengan FIFA seterusnya menyebabkan KAFA dalam dilema untuk menghantar pasukan ke kejohanan peringkat Asia buat kali kedua musim depan.

Namun bagi penulis, KAFA tidak sepatutnya mudah mengalah dengan situasi yang tidak membantu biarpun masalah yang menimpa adalah berpunca dari peraturan yang telah digariskan FAM.

Sebenarnya bukan salah badan induk itu 100% jika melibatkan pendaftaran pemain, KAFA juga mesti menerima hakikat bahawa kesilapan mereka yang menukar pemain import sesuka hati menjadi salah satu punca yang perlu diperbaiki segera untuk saingan pada musim hadapan.

Pihak pengurusan Sang Kijang perlu mengambil langkah pantas tanpa memikirkan FAM dengan mencari pemain import terbaik yang berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi bagi mengukuhkan pasukan.

Ini tidak, KAFA tidak konsisten selain memilih pemain berdasarkan laporan ejen menyebabkan banyak pembaziran wang, waktu dan kesilapan pendaftaran sehingga menyebabkan gagal menggunakan sepenuhnya kualiti yang perlu ada pada pemain import.

Benar, kejayaan mengikat Ghaddar dan Obinna adalah satu tindakan terbaik yang berjaya dilakukan oleh KAFA namun pernahkah pihak pengurusan terfikir dengan pengambilan pemain lain seperti Zakaria, Nwoha, Keita dan Mijo selain terburu-buru menandatangani Okinne dan Antwi untuk satu tempoh yang lama adalah satu kerugian jangka panjang kepada pasukan itu sendiri.

Sekarang cuba beritahu kepada umum, dimana sumbangan yang diberikan oleh pemain-pemain yang dinyatakan diatas.

Para penyokong sudah memerhati dan ada yang memberi pendapat agar KAFA mencari import berdasarkan keperluan bukan kemahuan.

Akhirnya, kerugian melanda kerana import tidak dapat digunakan manakala duit terus dikeluarkan untuk membayar gaji dan jika ditamatkan kontrak, terpaksa pula untuk membayar pampasan.

Oleh itu, mahu atau tidak, penyertaan pada Piala AFC mendatang perlu diteruskan dengan syarat KAFA mesti mendapatkan segera pemain berkualiti tempatan dan import serta mengandingkan mereka dalam satu pasukan bermula saingan pada awal musim.

Tiada lagi pengantian, pencarian dan pengumuman pemain baru kerana bila berlaku perkara sebegini lebih dari sekali menyebabkan penyokong yang pandai menilai mengetahui kepincangan pihak pengurusan dan jurulatih mendapatkan sesuatu yang sangat merugikan pasukan di kemudian hari.

Lakukan persediaan awal dengan mengekalkan pemain tonggak, cari pemain tempatan yang berkualiti dan berpengalaman seterusnya mengontrakkan import yang memberi sumbangan bermakna dari awal sehingga ke akhir musim, InsyaAllah Kelantan The Red Warriors akan terus bersinar menggapai kejayaan demi kejayaan seperti sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular