KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 19 Disember 2013

FAM patut malu dengan Annuar


  • FAM patut malu dengan AnnuarMohd Yahya Jamada (tengah), Mohd Izani (kiri) dan Rozamri pada sidang media di Kafe TRW Station, semalam.
 1 / 1 
"PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya berasa malu dengan langkah diambil bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatannya."

Itu pandangan Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) yang melontarkan cabaran kepada pihak FAM supaya melakukan rombakan pengurusan tertinggi jika benar-benar mahu atau ikhlas untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negara.

Pengerusi KPBSK, Mohd Yahya Jamada Ali berkata, tindakan Annuar melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Kafa sepatutnya diikuti individu yang gagal melaksanakan tugas biar pun gah memegang jawatan penting dalam badan induk bola sepak kebangsaan itu.

“Bezanya, Annuar berundur kerana tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan pihak FAM. Tetapi kami menghormati keputusan beliau berundur biar pun sedar negara sebenarnya kehilangan seorang pemimpin bola sepak yang berkaliber.

“Kita harap pegawai FAM yang gagal menjalankan tugas dengan baik, berundur dan beri laluan kepada orang lain yang lebih berkelayakan.
"Mereka harus bertanggungjawab (melepaskan jawatan) supaya satu perubahan besar dapat dilakukan dalam arena bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kafe The Red Warriors (TRW) Station, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusinya, Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan dan Setiausaha, Rozamri Mohd Ali.

Menurutnya, keputusan Annuar melepaskan jawatan membuktikan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dan sanggup berjuang ‘dari luar’ semata-mata mahu memajukan sukan bola sepak negara.

Annuar menerusi kenyataan media baru-baru ini membuat keputusan mengejut apabila melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Kafa berkuat kuasa daripada tarikh penggantungan yang dikenakan ke atas beliau, pada 4 April 2012.

Dalam pada itu, Mohd Yahya Jamada memberitahu, kelab-kelab penyokong TRW akan berdiri teguh di belakang Annuar setelah pemimpin berusia 57 tahun itu berjanji akan bekerja di sebalik tabir bagi memastikan bola sepak Kelantan terus berada di puncak kemasyhuran.

“Bagi kami, kenyataan Annuar tiga hari lalu yang mengumumkan akan terus bekerja untuk Kafa melenyapkan keresahan penyokong Kelantan sejak kebelakangan ini.

“Kita  juga berharap pemain lebih bertanggungjawab dan menunjukkan prestasi terbaik dengan mengambil kira pengorbanan dilakukan Annuar itu,” katanya.

Rabu, 18 Disember 2013

Pemain Kelantan kena dera


  • Pemain Kelantan kena deraDarby (kanan) serius memantau latihan kecergasan yang dilakukan pemain Kelantan, semalam.
 1 / 1 
TIADA masa rehat bagi pemain The Red Warriors sekembali mereka dari jelajah persiapan pra musim di utara tanah air minggu lalu, sebaliknya mereka kini dikerah menjalani latihan lebih insentif ketika saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya berbaki sebulan lagi.

Bermula semalam, semua pemain Kelantan ‘didera’ apabila perlu berlatih dua kali sehari dengan tumpuan taktikal pasukan berlangsung pada sebelah pagi manakala penekanan aspek kecergasan pula berlangsung di gimnasium, pada sebelah petang.

Namun pengendali pasukan, Steve Darby menjelaskan ia bukan satu bentuk hukuman angkara keputusan hambar pada aksi persahabatan sebelum ini, sebaliknya proses biasa sebagai persediaan Kelantan menghadapi aksi pembuka tirai Liga-M, bermula 18 Januari depan.

“Keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. Jadi saya terpaksa menukar sistem latihan dengan pemain berlatih di padang pada sebelah pagi kerana kebiasaannya hujan melanda Kota Bharu pada sebelah petang.

“Latihan di gimnasium amat perlu untuk pemain mengekalkan kecergasan mereka. Pemain terbaik dunia seperti Christiano Ronaldo pun perlu melakukan perkara sama dan pemain saya akan menjalani latihan berat ini selama 10 hari,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Pada aksi persahabatan pra musim baru-baru ini, juara Piala FA musim lalu itu sekadar seri 1-1 dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang namun, tewas tiga perlawanan iaitu 0-2 kepada Pulau Pinang, 1-4 (Perak) dan 0-3 (Kedah).

Dalam pada itu, jurulatih berusia 58 tahun itu mempertahankan keputusan buruk yang dicapai Kelantan pada persiapan pra musim tersebut sambil menegaskan ia merupakan sebahagian daripada proses untuk mencuba gandingan pemain baharu dan lama dalam pasukannya.
“Memang keputusan itu tidak masuk akal tetapi, apa yang lebih penting sekarang saya boleh menilai prestasi semua pemain. Saya boleh lawan dengan pasukan bola sepak kampung dan menang 20-0 tetapi adakah ia memberi makna kepada saya?,” katanya.
Pada masa sama, Darby turut lega dengan kehadiran tiga awang importnya iaitu Francis Forkey Doe, Mohammed Ghaddar dan Mohammed Shawky yang turun menjalani latihan buat pertama kali bersama rakan sepasukan, hari ini.

“Saya harap mereka bersedia kerana kita akan bertemu Terengganu (malam ini) dan Sime Darby FC pada penghujung bulan ini. Selepas itu, kita akan ke Indonesia untuk menghadapi satu kejohanan dan saya harap medapat ilham untuk menyenaraikan barisan bayangan terkuat Kelantan musim depan,” katanya.

Selasa, 17 Disember 2013

TRW tidak lepaskan Brendan Gan


  • TRW tidak lepaskan Brendan GanBrendan (kanan) antara pemain baharu diperkenalkan Kafa untuk saingan musim depan namun gagal didaftarkan sebagai pemain import.
 1 / 1 
MESKIPUN gagal untuk mendaftarkan pemain tengah kelahiran Australia, Brendan Gan sebagai pemain tempatan pada pendaftaran pemain hari ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali melepaskan bekas pemain Sydney FC itu.

Ini kerana supremo bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan berusaha mendaftarkan pemain itu pada jendela kedua perpindahan pemain Mac ini.
Minggu lalu, Annuar membuat keputusan mengejut melepaskan kesemuanya jawatannya dalam bola sepak termasuk Presiden Kafa.

"Saya terima dengan baik keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana bagi saya mereka membuat keputusan berdasarkan peraturan semasa dan tidak dinafikan, peraturan semasa bagi persatuan yang ingin daftar pemain tersebut kena ada kad pengenalan (IC) atau pasport.

"Begitu pun, saya tidak mempunyai masalah kerana apa yang FAM buat ikut peraturan semasa dan saya tidak hak untuk membantah," katanya ketika ditemui selepas pelancaran TRW the Movie di Petaling Jaya, semalam.

Dalam perkembangan sama, Annuar turut mempersoalkan latar belakang Junior Eldstal yang boleh didaftar sebagai pemain tempatan berbanding Brendan.

"Cuma apabila kita tengok Junior yang tidak mempunyai latar belakang sekuat Brendan tapi boleh didaftarkan dan beraksi dengan Sarawak," katanya.

Tidak berputus asa di situ, Annuar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan menjelaskan Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah meluluskan permohonan Brendan untuk memegang pasport Malaysia.
"Menteri setuju kerana tiada sebarang keraguan cuma disebabkan memakan sedikit masa kerana ada proses tertentu yang perlu dibuat maka kita tak sempat untuk membuat pendaftaran pada hari ini.

"Tapi peluang tetap ada dan Insya-ALLAH Brendan akan bermain sebagai pemain tempatan apabila pendaftaran kedua dibuka pada Mac ini. Saya juga yakin tempoh masa yang ada cukup untuk mendapatkan pasport Malaysia buat Brendan memandangkan dia sendiri bersetuju untuk melepaskan pasport Australia," katanya.

Sebelum ini, hasrat Kelantan untuk menggunakan khidmat Brendan musim depan musnah apabila permohonan untuk mendaftarkan pemain tengah kelahiran Australia itu sebagai pemain tempatan tidak diluluskan FAM.

Difahamkan, badan induk itu menolak permohonan Kafa bagi mendaftarkan Brendan sebagai pemain tempatan kerana lebih memilih taraf kewarganegaraan seseorang pemain berbanding taraf kerakyatan.

Ini kerana walaupun benar adanya peruntukan dalam peraturan Statut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membolehkannya bermain, namun FAM berpendirian status taraf kewarganegaraan menjadi syarat utama.

Jumaat, 13 Disember 2013

Penyokong Kelantan terkejut, Kafa tutup mulut



  • Annuar MusaAnnuar Musa
 1 / 1 
KOTA BHARU - Tindakan drastik Tan Sri Annuar Musa yang membuat keputusan melepaskan semua jawatan dalam persatuan bola sepak, termasuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa serta-merta, mengejutkan para penyokong dan peminat sukan di Kelantan.

Bagi mereka, jika benar Annuar bertekad melepaskan semua jawatannya itu, ia merupakan satu kehilangan besar kepada negara terutama kepada Kelantan yang beliau disifatkan sebagai 'Bapa Pembangunan' bola sepak Kelantan.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, tindakan Annuar itu sesuatu yang sangat mengejutkan kelab berkenaan.

"Jika Tan Sri (Annuar) sudah tekad untuk berundur, ini satu kehilangan besar bagi sukan bola sepak tanah air terutama Kelantan sendiri. Kita harap pengundurannya tidak menjejaskan pasukan TRW," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tindakan Annuar itu juga berkemungkinan akibat terlalu bosan dengan sikap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap dirinya selama ini.

"Itu mungkin niat jujur Tan Sri kerana tidak mahu isu ini berpanjangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pengurusan Kafa mencari pengganti yang setanding dengan kehebatan Annuar yang telah menjadi Presiden Kafa sejak penghujung 2007.

Beberapa pemimpin Kafa yang dihubungi bagaimanapun enggan memberikan komen mereka mengenai pengunduran Annuar itu.

Seorang penyokong The Red Warriors (TRW), Hazrul Hamidi, 42, meminta Annuar memikirkan semula hasratnya itu demi mahu melihat pasukan Kelantan terus berada di kemuncak.

"Saya khuatir pengundurannya akan menyebabkan kemerosotan semula TRW yang hilang semangat kerana Tan Sri Annuar adalah kekuatan mereka," katanya.

Annuar dalam kenyataannya berkata beliau akan turut melepaskan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula dari tempoh penggantungan beliau sejak 4 April 2012, selain menarik diri daripada mengganggotai Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara bagi memastikan FAM mempunyai wakil dalam jawatankuasa berkenaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ketereh berharap tindakan itu dapat menjernihkan semula hubungan dingin antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dengan FAM berikutan perlantikan beliau dalam jawatankuasa itu yang mendapat bantahan daripada FAM.

Sebelum ini, FAM memutuskan bahawa pelantikan Annuar sebagai anggota jawatankuasa program itu sebagai tidak sah kerana beliau masih dalam tempoh penggantungan sehingga 4 Oktober 2014.

Annuar digantung pada April tahun lepas selama dua tahun setengah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang berunsur negatif terhadap skuad bola sepak kebangsaan, sekali gus melanggar Artikel 88 Statut FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. - Bernama

Rabu, 11 Disember 2013

FAS Sedia Berlembut

NAZRI (kiri) cetus kontroversi apabila membuat pusingan ‘U’ menyertai Kelantan.

Bukit Jalil: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedia berlembut bagi menyelesaikan kes perebutan bekas pemain pertahanan Johor Darul Takzim (DT), Mohd Nazri Ahmad yang membuat pusingan U dengan menyertai Kelantan biarpun didakwa sudah menandatangani kontrak awal dengan Selangor.

Menurut Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim, pihaknya bersedia menarik balik kes itu daripada dibicarakan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok selepas menerima surat permohonan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan masalah itu secara bersama.
“KAFA sudah menghantar surat semalam (kelmarin) untuk menyelesaikan kes ini ‘di luar’. FAS sedia menimbang permohonan ini dan saya rujuk kepada Timbalan Presiden (Datuk Mokhtar Ahmad) mengenai kes ini.
“Saya tidak boleh beritahu sekarang (keputusan) kerana perlu menunggu arahan Timbalan Presiden tapi ‘tengok gaya’ kita nak selesai kes ini di luar. Kita nak lupakan masalah ini dan memberi tumpuan kepada persiapan pasukan.
“Memang kita ingin bawa kes ini ke FAM untuk beri kesedaran kepada pemain tapi akan melalui banyak proses sedangkan sekarang sibuk dengan pendaftaran pemain yang berakhir 17 Disember ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala AFC 2014 semalam
Rosman berkata, pihaknya sudah menghantar segala dokumen sebagai bukti pendakwaan kepada FAM sebelum ini dan jika mahu meneruskan kes itu mereka perlu mengemukakan afidavit kepada badan induk itu hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim yang turut ditemui pada majlis sama mengharapkan keputusan positif daripada FAS bagi mengelakkan Nazri, 23, didakwa dan kemungkinan bakal digantung jika didapati bersalah melanggar kontrak bersama Selangor.
“Kami sudah menghantar surat rasmi untuk menyelesaikan kes ini secara bersama dan kini menunggu keputusan FAS. Kami berharap kes ini dapat diselesaikan secara persahabatan tanpa perlu dibawa ke Jawatankuasa Status,” katanya
Sementara itu undian Piala AFC 2014 yang berlangsung semalam menyaksikan juara Piala FA, Kelantan bakal beraksi dalam Kumpulan G bersama Yangon United dari Myanmar, XM Vissai Ninh Binh (Vietnam) serta pemenang playoff antara South China dan Pegasus (Hong Kong).
Selangor yang beraksi atas tiket naib juara Liga Super pula diundi dalam Kumpulan F bersama Maziya S&R (Maldives), Arema Indonesia (Indonesia) dan pemenang playoff antara Ha Noi T&T dengan SHB Da Nang (Vietnam).

Kelantan, Selangor Berdepan Laluan Sukar Saingan Piala AFC


Kuala Lumpur: Tiada tugas mudah buat Kelantan dan Selangor dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim depan apabila dua wakil negara itu diundi bersama lawan berprofil tinggi.
The Red Warriors diundi bersama juara Myanmar, Yangon United, XM Vissai Ninh Binh (Vietnam) dan South China atau Pegasus dari Hong Kong dalam Kumpulan G.
Manakala Selangor pula diletakkan dalam Kumpulan F dan pasti berdepan saingan sengit dengan Arema Indonesia (Indonesia), Ha Noi T&T atau SHB Da Nang (Vietnam) dan wakil Maldives, Maziya S&R yang pernah membelasah Kelantan 6-1 pada saingan musim ini.
Daripada undian hari ini (semalam) kita boleh lihat saingan daripada pasukan lawan, dan Selangor pastinya akan diberikan saingan sengit. Tidak ada laluan mudah buat kami dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan namun peluang semua pasukan boleh dianggap seimbang.
Kami harus tingkatkan kekuatan pasukan dan cuba memberikan saingan bagi memastikan Selangor mampu melangkah jauh berbanding pada penyertaan sebelum ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim, semalam.
Tiada laluan mudah
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim pula berkata: Peluang terbuka namun tidak bermakna kita mendapat undian mudah. Kami belum pernah bertemu lawan yang diundi bersama.
Beraksi di tempat lawan pasti menjadi cabaran hebat kepada Kelantan kerana terpaksa mengharungi perjalanan jauh yang mungkin boleh menjejaskan aksi atas padang, katanya

Khamis, 5 Disember 2013

Amar sahut cabaran


  • Amar RohidanAmar (kiri) sahut cabaran dan bersedia buktikan dia mampu menyumbangkan sesuatu kepada pasukan Kelantan.
 1 / 1 
CABARAN besar menanti pemain tengah, Amar Rohidan bagi menagih kepercayaan penyokong setia The Red Warriors setelah diberi kepercayaan menyarung jersi pasukan tersebut pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sedar prestasi lampaunya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan sering dijadikan perbandingan, Amar berkata, dia memandang positif perkara tersebut dan menegaskan sudah bersedia menyahut cabaran daripada penyokong fanatik Kelantan.

“Memang ini merupakan satu peluang yang sukar ditolak apabila dapat mewakili pasukan hebat seperti Kelantan. Tetapi pada masa sama, saya anggap  perkara ini merupakan satu  cabaran besar yang perlu dihadapi dengan tenang.

“Suka atau tidak, saya kena buktikan kepada penyokong-penyokong Kelantan bahawa kehadiran saya bersama pasukan ini bukanlah sia-sia. Paling penting saya kena bekerja keras untuk mempamerkan persembahan terbaik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah pemain kelahiran Kedah tetapi mencipta nama bersama Perlis pada musim 2005 itu awal-awal lagi menekankan betapa dia perlu berlatih bersungguh-sungguh untuk memikat hati jurulatih kelahiran England, Steve Darby.

Amar, yang beraksi bersama Felda United FC pada musim lalu antara 10 muka baharu yang dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menghadapi Liga-M musim depan selepas Kelantan kehilangan beberapa pemain tengah seperti Zairo Anuar Zalani, Mohd Faiz Subri dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid.

Sembilan lagi pemain baharu ialah Mohammed Ghaddar, Francis Forkey Doe, Mohammed Shawky, Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ahmad Shakir Mohd Ali, Brendan Gan dan Famirul Asyraf Sayuti.

Tambahnya, ketiadaan pemain tengah bertahan, Mohd Shakir Shaari yang mengambil keputusan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim pada musim depan tidak bermakna tempatnya sudah terjamin dalam dalam pasukan Kelantan.

“Ramai lagi pemain lain boleh beraksi di posisi tersebut. Belum tentu ada jaminan, sebaliknya  saya perlu bersaing seperti biasa dengan pemain-pemain lain. Jika saya berusaha keras, mungkin saya menjadi pilihan jurulatih,” katanya.

Rabu, 4 Disember 2013

Shakir Tekad Kembalikan Reputasi


Ahmad Shakir Ali
KOTA BHARU – Penggempur baharu Kelantan, Ahmad Shakir Ali bertekad mengembalikan semula reputasinya sebagai penyerang berbisa dengan membantu The Red Warriors meraih kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Ahmad Shakir berkata, dia sudah bersedia untuk menggalas tugas mengemudi jentera serangan Kelantan untuk saingan musim depan sekiranya diberikan peluang oleh ketua jurulatih.
Menurutnya, kecederaan yang dialaminya sebelum ini sehingga memaksa dia berehat panjang pada musim lalu sudah pulih sepenuhnya dan akan bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Saya bersyukur dan gembira diberikan peluang untuk beraksi bersama Kelantan yang merupakan sebuah pasukan yang cukup hebat.
“Peluang beraksi bersama Kelantan akan dimanfaatkan oleh saya untuk mengembalikan sentuhan sebagai penyerang terbilang di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.
Ahmad Shakir antara sepuluh muka baharu yang dibawa masuk bagi memperkemaskan pasukan untuk menghadapi saingan Liga M musim depan selepas kehilangan penyerang terbilangnya, Mohd. Norfarhan Muhammad.
Sembilan lagi muka baharu yang dibawa masuk ialah Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Mohammad Ghaddar, Mohammad Shawky, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Brandan Gan, Amar Rohidan, Ahmad Shakir Ali, Famirul Asyraf Sayuti dan Forkey Doe.
Bekas penyerang Negeri Sembilan itu menjaringkan sembilan gol daripada 16 penampilan yang dibuat sepanjang dua musim beraksi bersama pasukan berkenaan pada 2012 hingga 2013, namun terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
Ahmad Shakir memberitahu, dia tidak kekok untuk beraksi bersama Kelantan memandangkan sudah mengenali beberapa tonggak utama seperti Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Badhri Razdi dan beberapa lagi pemain lain.
Katanya, untuk saingan musim hadapan dia meletakkan sasaran untuk muncul penjaring terbanyak Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shakir berkata, dia menganggap harapan menggunung yang diberikan oleh penyokong Kelantan untuk melihatnya menjadi penggempur berbisa Red Warriors sebagai satu cabaran.
“Saya tidak tertekan dengan pekara tersebut sebaliknya mahu menjadikan ia sebagai cabaran untuk terus bekerja lebih keras membantu Red Warriors,” ujarnya.

Ahad, 1 Disember 2013

Bisa Import Kelantan


Selamat kembali Mohamed Ghaddar.
DUA penyerang yang tidak asing lagi dalam landskap bola sepak negara. Mohamed Ghaddar dan Francis Forkey Doe kembali mewarnai teraju penggempur utama The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Kemunculan Mohamed Ghaddar, 30, nyata sesuatu yang mengejutkan ketika Kelantan sendiri dilihat berdepan krisis keyakinan untuk menghadapi saingan liga musim depan setelah penghijrahan beramai-ramai tonggak utama mereka baru-baru ini.
Kehadiran Mohamed Ghaddar, penyerang kelahiran Lubnan yang kadang kala boleh membuat penyokong Kelantan benci dan suka angkara sikap tamaknya pasti dirindu kembali terutama ketika pasukan bekas juara tiga piala itu bermain di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad IV.
BISA PREDATOR
Sentuhan berbisa penyerang kebangsaan Liberia, Forkey Doe yang merupakan bekas pemenang Kasut Emas Liga-M musim 2012 turut ditagih bagi menajamkan jentera serangan skuad kendalian Steve Darby itu.
Sesuai dengan gelaran ‘The Predator’ ke atasnya, Forkey Doe diibaratkan ‘binatang cukup buas’ yang mampu menggegarkan pintu gol lawan setelah gagal menyerlah ketika bersama Selangor pada musim ini.
LENGKAP KUOTA
Bekas pemain Middlesbrough, Mohamed Shawky melengkapkan kuota pemain import dari Asia apabila menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi mengisi posisi tengah pasukan tersebut.
Kelantan jelas tidak teragak-agak untuk menyambar Mohamed Shawky memandangkan pemain kebangsaan Mesir ini mempunyai pakej yang cukup lengkap bukan sahaja boleh bertindak selaku pemain tengah bertahan tetapi juga dikatakan mampu beraksi di benteng pertahanan.
MUSIM KETIGA
Keputusan Obinna Nwaneri untuk kekal beraksi bersama Kelantan semusim lagi begitu melegakan kerana benteng pertahanan sebenarnya dikatakan sedikit goyah setelah kehilangan beberapa watak penting di posisi tersebut.
Yang nyata, musim ketiga Nwaneri bersama Kelantan pasti menjanjikan persaingan sengit dalam kalangan mereka kerana peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan hanya tiga pemain import sahaja dibenarkan beraksi dalam satu-satu perlawanan

Catatan Popular