KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 4 Disember 2013

Shakir Tekad Kembalikan Reputasi


Ahmad Shakir Ali
KOTA BHARU – Penggempur baharu Kelantan, Ahmad Shakir Ali bertekad mengembalikan semula reputasinya sebagai penyerang berbisa dengan membantu The Red Warriors meraih kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Ahmad Shakir berkata, dia sudah bersedia untuk menggalas tugas mengemudi jentera serangan Kelantan untuk saingan musim depan sekiranya diberikan peluang oleh ketua jurulatih.
Menurutnya, kecederaan yang dialaminya sebelum ini sehingga memaksa dia berehat panjang pada musim lalu sudah pulih sepenuhnya dan akan bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Saya bersyukur dan gembira diberikan peluang untuk beraksi bersama Kelantan yang merupakan sebuah pasukan yang cukup hebat.
“Peluang beraksi bersama Kelantan akan dimanfaatkan oleh saya untuk mengembalikan sentuhan sebagai penyerang terbilang di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.
Ahmad Shakir antara sepuluh muka baharu yang dibawa masuk bagi memperkemaskan pasukan untuk menghadapi saingan Liga M musim depan selepas kehilangan penyerang terbilangnya, Mohd. Norfarhan Muhammad.
Sembilan lagi muka baharu yang dibawa masuk ialah Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Mohammad Ghaddar, Mohammad Shawky, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Brandan Gan, Amar Rohidan, Ahmad Shakir Ali, Famirul Asyraf Sayuti dan Forkey Doe.
Bekas penyerang Negeri Sembilan itu menjaringkan sembilan gol daripada 16 penampilan yang dibuat sepanjang dua musim beraksi bersama pasukan berkenaan pada 2012 hingga 2013, namun terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
Ahmad Shakir memberitahu, dia tidak kekok untuk beraksi bersama Kelantan memandangkan sudah mengenali beberapa tonggak utama seperti Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Badhri Razdi dan beberapa lagi pemain lain.
Katanya, untuk saingan musim hadapan dia meletakkan sasaran untuk muncul penjaring terbanyak Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shakir berkata, dia menganggap harapan menggunung yang diberikan oleh penyokong Kelantan untuk melihatnya menjadi penggempur berbisa Red Warriors sebagai satu cabaran.
“Saya tidak tertekan dengan pekara tersebut sebaliknya mahu menjadikan ia sebagai cabaran untuk terus bekerja lebih keras membantu Red Warriors,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular