• Amar RohidanAmar (kiri) sahut cabaran dan bersedia buktikan dia mampu menyumbangkan sesuatu kepada pasukan Kelantan.
 1 / 1 
CABARAN besar menanti pemain tengah, Amar Rohidan bagi menagih kepercayaan penyokong setia The Red Warriors setelah diberi kepercayaan menyarung jersi pasukan tersebut pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sedar prestasi lampaunya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan sering dijadikan perbandingan, Amar berkata, dia memandang positif perkara tersebut dan menegaskan sudah bersedia menyahut cabaran daripada penyokong fanatik Kelantan.

“Memang ini merupakan satu peluang yang sukar ditolak apabila dapat mewakili pasukan hebat seperti Kelantan. Tetapi pada masa sama, saya anggap  perkara ini merupakan satu  cabaran besar yang perlu dihadapi dengan tenang.

“Suka atau tidak, saya kena buktikan kepada penyokong-penyokong Kelantan bahawa kehadiran saya bersama pasukan ini bukanlah sia-sia. Paling penting saya kena bekerja keras untuk mempamerkan persembahan terbaik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah pemain kelahiran Kedah tetapi mencipta nama bersama Perlis pada musim 2005 itu awal-awal lagi menekankan betapa dia perlu berlatih bersungguh-sungguh untuk memikat hati jurulatih kelahiran England, Steve Darby.

Amar, yang beraksi bersama Felda United FC pada musim lalu antara 10 muka baharu yang dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menghadapi Liga-M musim depan selepas Kelantan kehilangan beberapa pemain tengah seperti Zairo Anuar Zalani, Mohd Faiz Subri dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid.

Sembilan lagi pemain baharu ialah Mohammed Ghaddar, Francis Forkey Doe, Mohammed Shawky, Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ahmad Shakir Mohd Ali, Brendan Gan dan Famirul Asyraf Sayuti.

Tambahnya, ketiadaan pemain tengah bertahan, Mohd Shakir Shaari yang mengambil keputusan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim pada musim depan tidak bermakna tempatnya sudah terjamin dalam dalam pasukan Kelantan.

“Ramai lagi pemain lain boleh beraksi di posisi tersebut. Belum tentu ada jaminan, sebaliknya  saya perlu bersaing seperti biasa dengan pemain-pemain lain. Jika saya berusaha keras, mungkin saya menjadi pilihan jurulatih,” katanya.