KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 11 Disember 2013

FAS Sedia Berlembut

NAZRI (kiri) cetus kontroversi apabila membuat pusingan ‘U’ menyertai Kelantan.

Bukit Jalil: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sedia berlembut bagi menyelesaikan kes perebutan bekas pemain pertahanan Johor Darul Takzim (DT), Mohd Nazri Ahmad yang membuat pusingan U dengan menyertai Kelantan biarpun didakwa sudah menandatangani kontrak awal dengan Selangor.

Menurut Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim, pihaknya bersedia menarik balik kes itu daripada dibicarakan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok selepas menerima surat permohonan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan masalah itu secara bersama.
“KAFA sudah menghantar surat semalam (kelmarin) untuk menyelesaikan kes ini ‘di luar’. FAS sedia menimbang permohonan ini dan saya rujuk kepada Timbalan Presiden (Datuk Mokhtar Ahmad) mengenai kes ini.
“Saya tidak boleh beritahu sekarang (keputusan) kerana perlu menunggu arahan Timbalan Presiden tapi ‘tengok gaya’ kita nak selesai kes ini di luar. Kita nak lupakan masalah ini dan memberi tumpuan kepada persiapan pasukan.
“Memang kita ingin bawa kes ini ke FAM untuk beri kesedaran kepada pemain tapi akan melalui banyak proses sedangkan sekarang sibuk dengan pendaftaran pemain yang berakhir 17 Disember ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala AFC 2014 semalam
Rosman berkata, pihaknya sudah menghantar segala dokumen sebagai bukti pendakwaan kepada FAM sebelum ini dan jika mahu meneruskan kes itu mereka perlu mengemukakan afidavit kepada badan induk itu hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim yang turut ditemui pada majlis sama mengharapkan keputusan positif daripada FAS bagi mengelakkan Nazri, 23, didakwa dan kemungkinan bakal digantung jika didapati bersalah melanggar kontrak bersama Selangor.
“Kami sudah menghantar surat rasmi untuk menyelesaikan kes ini secara bersama dan kini menunggu keputusan FAS. Kami berharap kes ini dapat diselesaikan secara persahabatan tanpa perlu dibawa ke Jawatankuasa Status,” katanya
Sementara itu undian Piala AFC 2014 yang berlangsung semalam menyaksikan juara Piala FA, Kelantan bakal beraksi dalam Kumpulan G bersama Yangon United dari Myanmar, XM Vissai Ninh Binh (Vietnam) serta pemenang playoff antara South China dan Pegasus (Hong Kong).
Selangor yang beraksi atas tiket naib juara Liga Super pula diundi dalam Kumpulan F bersama Maziya S&R (Maldives), Arema Indonesia (Indonesia) dan pemenang playoff antara Ha Noi T&T dengan SHB Da Nang (Vietnam).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular