• Pemain Kelantan kena deraDarby (kanan) serius memantau latihan kecergasan yang dilakukan pemain Kelantan, semalam.
 1 / 1 
TIADA masa rehat bagi pemain The Red Warriors sekembali mereka dari jelajah persiapan pra musim di utara tanah air minggu lalu, sebaliknya mereka kini dikerah menjalani latihan lebih insentif ketika saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya berbaki sebulan lagi.

Bermula semalam, semua pemain Kelantan ‘didera’ apabila perlu berlatih dua kali sehari dengan tumpuan taktikal pasukan berlangsung pada sebelah pagi manakala penekanan aspek kecergasan pula berlangsung di gimnasium, pada sebelah petang.

Namun pengendali pasukan, Steve Darby menjelaskan ia bukan satu bentuk hukuman angkara keputusan hambar pada aksi persahabatan sebelum ini, sebaliknya proses biasa sebagai persediaan Kelantan menghadapi aksi pembuka tirai Liga-M, bermula 18 Januari depan.

“Keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. Jadi saya terpaksa menukar sistem latihan dengan pemain berlatih di padang pada sebelah pagi kerana kebiasaannya hujan melanda Kota Bharu pada sebelah petang.

“Latihan di gimnasium amat perlu untuk pemain mengekalkan kecergasan mereka. Pemain terbaik dunia seperti Christiano Ronaldo pun perlu melakukan perkara sama dan pemain saya akan menjalani latihan berat ini selama 10 hari,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Pada aksi persahabatan pra musim baru-baru ini, juara Piala FA musim lalu itu sekadar seri 1-1 dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang namun, tewas tiga perlawanan iaitu 0-2 kepada Pulau Pinang, 1-4 (Perak) dan 0-3 (Kedah).

Dalam pada itu, jurulatih berusia 58 tahun itu mempertahankan keputusan buruk yang dicapai Kelantan pada persiapan pra musim tersebut sambil menegaskan ia merupakan sebahagian daripada proses untuk mencuba gandingan pemain baharu dan lama dalam pasukannya.
“Memang keputusan itu tidak masuk akal tetapi, apa yang lebih penting sekarang saya boleh menilai prestasi semua pemain. Saya boleh lawan dengan pasukan bola sepak kampung dan menang 20-0 tetapi adakah ia memberi makna kepada saya?,” katanya.
Pada masa sama, Darby turut lega dengan kehadiran tiga awang importnya iaitu Francis Forkey Doe, Mohammed Ghaddar dan Mohammed Shawky yang turun menjalani latihan buat pertama kali bersama rakan sepasukan, hari ini.

“Saya harap mereka bersedia kerana kita akan bertemu Terengganu (malam ini) dan Sime Darby FC pada penghujung bulan ini. Selepas itu, kita akan ke Indonesia untuk menghadapi satu kejohanan dan saya harap medapat ilham untuk menyenaraikan barisan bayangan terkuat Kelantan musim depan,” katanya.