KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 23 Februari 2014

TRW: Sukar Sebelum Mara

Sokongan pemain ke 12 TRW tidak dapat dinafikan.

PENYANDANG juara, The Red Warriors mengharungi detik sukar sebelum mengesahkan slot empat pasukan terbaik yang akan berentap pada perlawanan separuh akhir Piala FA musim ini.
Jaringan penyamaan bintang import sensasi Kelantan, Mohamad Ghaddar memusnahkan impian PKNS FC ketika pasukannya mengikat keputusan seri 3-3 pada aksi suku akhir kedua sekali gus mara dengan agregat 6-5.
Apa pun, pujian seharusnya diberikan kepada skuad The Red Ants yang mempamerkan semangat juang tinggi serta tidak mudah menyerah kalah ketika menyedari Kelantan bertandang ke gelanggang mereka dengan bekalan tipis.
PKNS FC sedikit pun tidak gentar beraksi di hadapan hampir 8,000 penyokong Merah Putih yang membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malah mereka lebih bersemangat untuk memberi tekanan kepada anak buah Steve Darby sepanjang perlawanan tersebut.
SAINGAN SENGIT
Skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan mengotakan janji mereka untuk bangkit memberi saingan sengit, biar pun tersingkir namun sekurang-kurangnya menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lain betapa mereka mampu menjadi antara pencabar utama Liga Malaysia musim ini.
Apa pun, tiga gol terhasil menerusi awang import iaitu Patrick Ronaldinho Wleh, Karlo Primorac dan Hamka Hamsah masih tidak cukup buat PKNS FC untuk memadamkan kelebihan awal dimiliki Kelantan yang menang 3-2 pada aksi suku akhir pertama yang lalu.
Jelas nasib tidak menyebelahi PKNS FC dan mereka sebenarnya tidak perlu kecewa di sebalik penyingkiran pada kempen Piala FA. Dalam erti kata lain, mereka tidak kalah dalam perlawanan tersebut.
PENANGAN GHADDAR
Kehadiran penyerang Lubnan itu memberi impak yang cukup besar ketika Kelantan kehilangan Francis Forkey Doe akibat kecederaan, dan jaringan Ghaddar hadir tepat pada masanya ketika pasukannya kini berada di landasan mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga.
Begitu pun, peningkatan prestasi ditunjukkan beberapa pemain tempatan seperti Ahmad Shakir Md Ali dan Ahmad Fakri Saarani membuktikan Kelantan tidak lagi bergantung harap sepenuhnya kepada penyerang import untuk meledakkan jaringan.
Malah sumbangan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi dan Mohamed Shawky Aly yang sanggup bermain selaku pemain gantian meski pun mengalami kecederaan turut membantu kejayaan Kelantan mencatatkan keputusan seri pada perlawanan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular