KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 21 Februari 2014

Brendan Boleh Wakili Red Warriors

Brendan Gan dijangka boleh beraksi buat Kelantan, April ini.


SELAYANG – Setelah hajat untuk beraksi bersama Kelantan di awal musim Liga Malaysia ini terbantut, Brendan Gan dijangka tiada sebarang masalah untuk menyarung jersi Red Warriors sebaik pintu perpindahan pemain buat kali kedua dibuka pada April nanti.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan perkara itu selepas proses mendapatkan pasport Malaysia buat Brendan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan dia boleh didaftarkan di bawah slot pemain tempatan.
Beliau yang ditemui di Stadium Selayang pada perlawanan PKNS dan Kelantan pada pertemuan timbal balik suku akhir kedua Piala FA, berkata, pemain kelahiran Australia yang berusia 25 tahun itu akan memegang pasport Malaysia selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.
”Brendan baru sahaja selesai menghadiri temuduga dan dia akan didaftarkan sebagai pemain tempatan jika tiada sebarang lagi masalah malahan jika dia hendak bermain untuk Malaysia selepas ini pun di peringkat antarabangsa, tiada sebarang masalah.
”Berdasarkan peraturan baru yang diperkenalkan oleh FAM, kami juga mahu meminjam dua lagi pemain daripada pasukan lain dan kami juga akan melakukan pinjaman dalam beberapa posisi yang difikirkan menjadi kelemahan pasukan Kelantan pada musim ini, ” katanya.
Jelas Annuar, tiada sebarang kekeliruan lagi melibatkan status terbaru Brendan selepas ini memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan peraturan mana-mana pemain yang mahu didaftarkan selaku pemain tempatan perlu mempunyai kad pengenalan atau pasport Malaysia.
”Peraturan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang menetapkan setiap pemain yang mahu mendapatkan kerakyatan perlu tinggal dalam tempoh tertentu adalah untuk mengelakkan supaya mana-mana orang luar diberi kerakyatan begitu sahaja.
”Sedangkan Brendan, kesnya berbeza kerana ayahnya adalah orang Malaysia dan dia memilih untuk memegang kerakyatan Australia sebelum ini malahan peraturan liga kita, FAM telah menetapkan syarat yang jelas iaitu perlu ada kad pengenalan atau pasport, ” katanya.
Brendan yang pernah beraksi dengan pasukan Sabah pada musim 2012 selaku pemain import beraksi di bahagian tengah selain turut menganggotai skuad Sydney FC di Liga Australia pada tahun 2008 hingga 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular