Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Steve Darby bercadang mengekalkan formasi 4-4-2 selepas pasukan bimbingannya menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.
Justeru, harapan penyokong Kelantan untuk melihat perubahan corak permainan akhirnya ditunaikan jurulatih berusia 58 dari England itu, malah persembahan mereka menampakkan perubahan lebih baik.
Darby berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk menggantikan formasi 3-5-2 kepada 4-4-2 ketika berdepan pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan dan menyifatkan setiap perlawanan memerlukan percaturan berlainan untuk mengelirukan lawan.
Katanya, kehadiran pemain pertahanan, Nazri Ahmad yang pulih daripada kecederaan memberikannya pilihan untuk menukar corak permainan dan terbukti berkesan walaupun sekadar menang tipis.
“Saya mungkin mengekalkan formasi 4-4-2 dalam perlawanan timbal balik 18 Februari ini namun akan ada perbezaan percaturan kerana bergantung kepada kekuatan lawan.
“Saya boleh menggunakan empat pemain di bahagian pertahanan kerana pemain yang cedera sudah pulih dan ia memberi saya banyak pilihan untuk membuat percaturan,” katanya.
Darby berpuas hati dengan kemenangan itu, namun tidak menafikan laluan sukar menunggu juara bertahan itu dalam perlawanan kedua kerana PKNS akan bangkit di gelanggang sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan