KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 19 Februari 2014

Pahlawan Merah Tepati Ramalan

PERTAHANAN Kelantan, Obina Nwaneri (kanan) dan penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh bersaing pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

KELANTAN menepati ramalan awal apabila mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas menyingkirkan Selangor PKNS.
Bagaimanapun, Kelantan dipaksa bekerja lebih keras sebelum dapat menyambar tiket separuh akhir.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, Kelantan dan PKNS terikat dengan keputusan seri 3-3.
Biarpun sekadar mencatatkan keputusan seri, The Red Warriors tetap berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dengan kemenangan agregat 6-5 selepas menang 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu minggu lalu.
Pada aksi malam tadi, PKNS berjaya mengejutkan Kelantan menerusi jaringan penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh seawal minit kedua.
Begitupun, kelebihan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu tidak bertahan lama apabila Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan buat Kelantan pada minit ke-19.
Skuad The Red Warriors kembali mengasak benteng pertahanan PKNS dan hasilnya, Shakir Ali meledak gol kedua pada minit ke-26.
Pemain kelahiran Kedah itu berjaya memanfaatkan hantaran kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi untuk mudah menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd. Remezey Che Ros.
Kerancakan permainan semakin dirasai apabila penyerang gantian PKNS, Karlo Primorac menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit.
Pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab memberikan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri menjatuhkan Ronaldinho di kawasan kotak penalti.
PKNS kembali menghidupkan peluang mara ke separuh akhir apabila memperoleh gol menerusi jaringan Hamka Hamzah pada minit ke-71.
Namun, Kelantan membalas dengan gol penyamaan hasil jaringan penyerang import, Mohamed Ghaddar berselang seminit kemudian.
PKNS cuba mencari gol tambahan dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan, namun keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Johor Darul Takzim (Johor DT) mengecewakan tuan rumah, Kedah apabila menang 2-0.
Kemenangan itu membolehkan Johor DT mara ke separuh akhir dengan agregat 5-1 selepas Harimau Selatan menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Larkin minggu lalu.
Dalam aksi malam tadi, dua gol Johor DT masing-masing dijaringkan oleh dua penggempur Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular