SELAYANG – Kelantan berada pada landasan terbaik untuk memenangi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut apabila berjaya membenam PKNS dengan agregat 6-5 selepas mencatat keputusan seri 3-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Selayang malam tadi.
Lawan juara 2012 dan 2013 itu pada separuh akhir nanti adalah pasukan dari Liga Perdana, Felda United yang mengejutkan Sarawak dalam satu lagi perlawanan.
Hadir di Selayang berbekalkan kemenangan 3-2 di Kota Bharu, Kelantan sempat resah apabila The Red Ants hanya memerlukan dua minit sahaja untuk mendapatkan gol pertama melalui Patrick Ronaldinho yang bijak memanfaatkan hantaran Mohd. Nazmi Faiz Mansor.
Namun, kelebihan yang dimiliki oleh PKNS tidak bertahan lama apabila Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan pada minit ke-19 setelah menanduk masuk bola sepakan bebas ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi sekali gus kembali meletakkan Kelantan di hadapan secara agregat 4-3.
Kesilapan Mohd. Fauzan Dzulkifli yang menghantar bola ke dalam kawasan penalti sendiri diambil kesempatan oleh Badhri yang membuka ruang kepada Ahmad Shakir Ali untuk mendapatkan gol kedua melalui rembatan leret pada minit ke-26.
Anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan tidak cepat mengalah dan tindakan Obinna Nwaneri menjatuhkan Ronaldinho di dalam kotak penalti membuka ruang kepada PKNS mendapatkan gol penyamaan.
Ronaldinho mudah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-43 bagi menjadikan kedudukan terikat 2-2 sebelum rehat.
Situasi permainan bertambah menarik apabila bersambung di babak kedua dengan PKNS berjaya memimpin perlawanan sekali lagi menerusi tandukan kencang Hamka Hamsah pada minit ke-71 setelah dia menyambut sepakan bebas Fauzan.
Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun hanya bertahan dua minit apabila Mohamad Ghaddar yang menerima hantaran silang Shakir memadamkan kelebihan yang dimiliki PKNS setelah melepaskan rembatan yang menewaskan Remezey Che Ros di gawang gol untuk menyamakan kedudukan 3-3.
Jaringan itu ternyata membunuh api perjuangan PKNS yang memerlukan dua gol untuk mara ke suku akhir dan pada baki 17 minit permainan, bola hanya berlegar di tengah padang tanpa sebarang gerakan mampu dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan