BARISAN muda Perak melakar kejutan apabila mengecewakan pasukan berstatus elit, Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Pemain gantian Perak, Khairul Asyraf Sahizah muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-79.
Jaringan tersebut terus mematikan langkah Kelantan yang berhasrat untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Ipoh.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan bermula garang dan tidak menunggu lama untuk menguji gawang tuan rumah menerusi sepakan percuma kapten, Mohd. Badri Radzi. namun percubaannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Perak, Razi Effendi.
Pelawat sekali lagi memiliki peluang pada minit kesembilan menerusi Mohamed Shawky, namun Razi sekali lagi bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan tersebut.
Selang dua minit, pemain sayap The Bos Gaurus, Muhamad Ridzuan pula melepaskan percubaan deras namun ia sedikit tersasar.
Tanpa kehadiran ayam tambatan yang merupakan kapten pasukan bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win yang digantung perlawanan, ia tidak merencatkan perencanaan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.
Skuad Seladang akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-12 apabila Ahmad Shukri berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol pertama Perak.
Gol tersebut diperoleh selepas berlaku salah faham antara pertahanan Kelantan yang gagal mengeluarkan bola hasil sepakan penjuru Mohd. Noor Hazrul.
Tersentak dengan jaringan itu Kelantan menggandakan asakan ke kubu tuan rumah dan memperoleh peluang pada minit ke-22 menerusi sepakan gunting Ahmad Fakri Saarani namun Razi tenang menafikannya.
Sebaik babak kedua bermula, kedudukan sudah berubah dan Kelantan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Mohamed Shawky pada minit ke-55.
Gol tersebut melonjakkan semangat pemain Kelantan yang terus mengasak kubu pasukan tuan rumah, namun jentera pertahanan Perak bijak bertahan.
Tuan rumah yang mendapat sokongan kira-kira 20,000 penyokong kembali di depan menerusi jaringan Khairul Asyraf pada minit ke-79 melalui untuk menjadikan kedudukan 2-1 dan ia kekal sehingga tamat permainan, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Perak.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, T-Team mengikat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan seri 2-2.
Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu mempamerkan aksi cukup bertenaga bagi memastikan mereka memperoleh satu mata berharga.
Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan melalui rembatan kencang Azlan Ismail pada minit-12.
Pasukan ATM yang dikemudi bekas pemain Terengganu, Hairuddin Omar mengikat kedudukan melalui jaringan cantik Nor Fazly Alias pada minit ke-38.
Pada minit ke-59, pemain import ATM, Bruno Sebastian Marteloto menambah derita skuad The Titans melalui sepakan deras ke gawang T-Team.
Skuad ATM hampir menambah gol ketiga apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-66.
Bagaimanapun, penjaga gol T-Team menghampakan sepakan penyerang import ATM, Juan Manuel Arostegui.
Pemain tengah T-Team, Khairan Ezuan muncul penyelamat apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-90.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, Lions XII seri tanpa jaringan dengan Terengganu sementara Selangor terus mengukuhkan cengkaman selepas menewaskan Sime Darby 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Selangor kini memimpin kedudukan liga dengan 9 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan