Shakir (depan) diasak pemain Yangon dalam aksi yang berkesudahan, TRW tumpas, 3-5, petang semalam. |
TURUN tanpa kelibat trio import, Kelantan memulakan langkah sumbang dalam saingan Piala Konfenderasi Bola Sepak Asia (AFC) 2014 selepas tewas 3-5 ditangan Yangon United dalam aksi sulung Kumpulan G, di Pusat Latihan Belia Yangon, semalam.
Hadir di tempat lawan tanpa menyenaraikan Francis ForKey Doe, Mohd Ghaddar dan Mohd Shawky yang dihantui kecederaan, corak permainan berat sebelah jelas kelihatan apabila tuan rumah memulakan serangan memburu gol sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan, Lee Min Hu.
Hanya menurunkan benteng kental The Red Warrios (TRW) Obina Nwaneri dan baki selebihnya digalas pemain tempatan Khairul Fahmi Che Mat tidak menunggu lama mengutip bola dalam gawang sendiri apabila Emerson Reis Luiz memastikan gol pertama tuan rumah pada minit ke-8.
Belum sempat anak didik Steve Darby memperkemaskan corak permainan, tuan rumah terus melancarkan serangan memburu gol kedua dan berhasil apabila penyerangnya, Kyaw Ko Ko meledak gol kedua (m-28) sebelum sekali lagi Luiz melebarkan jurang gol ketiga seminit sebelum babak pertama berakhir.
Tempoh rehat sebelum memulakan aksi kedua dimanfaatkan sepenuhnya Darby menurunkan ilmu dan perancangan bagi mengimbangi corak permainan lawan dan ia berhasil apabila gol sulung Kelantan hadir (m-46) melalui pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
Namun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila, Ko Ko sekali meledak gol keempat buat pasukan dan kedua dirinya selang enam minit kemudian meletakkan skuad bimbingan Kyaw Lin Htwe selesa di depan.
Enggan menyerah kalah, semangat juang Pahlawan Merah jelas kelihatan di kalangan pemain Kelantan yang memberi tentangan dan berjaya memperolehi gol kedua (m-63) melalui Ketua Pasukan Mohd Badhri Radzi yang berjaya merancakkan permainan.
Kebangkitan corak permainan Kelantan tersentak seketika pada minit 74 apabila Ahmad Shakir Ali dilayangkan kad merah dan kelebihan beraksi seorang pemain digunakan sepenuhnya Yangon untuk terus melebarkan jurang dengan gol kelima melalui ledakan hatrik Ko Ko (m-90) sebelum Badhri sekali lagi merapatkan kedudukan dengan gol ketiga (m93) namun sudah terlambat untuk menafikan tiga mata penuh tuan rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan