KELANTAN naik ke tempat kedua dalam Liga Super selepas menewaskan T-Team 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Pelawat telebih dahulu menguji kubu pertahanan Kelantan menerusi percubaan Azrul Hazran pada minit ke-24 namun rembatan pemain itu didalam kotak penalti ditangkap kemas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Selang seminit kemudian, Kelantan melakukan serangan balas menerusi Ahmad Shakir Ali yang membuat larian solo dan melepasi tiga pertahanan T-Team sebelum melepaskan rembatan namun sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol yang dikawal Mohd Shahril Shaari.
Minit ke-32, Kelantan mula bertindak garang apabila pemain tengah dari Mesir, Mohamed Shawky bijak menolak masuk bola hantaran lintang Ahmad Shakir untuk meletakkan The Red Warriors (TRW) di depan.
Jaringan itu ternyata memberi semangat kepada Kelantan untuk terus melancarkan serangan dan hasilnya, pada minit ke-44 menerusi kapten, Mohd Badhri Radzi yang merembat kencang bola hantaran lintang Ahmad Fakri Saarani ke gawang T-Team untuk gol kedua TRW.
Kira-kira 17,000 penyokong TRW terus ceria selepas pemain gantian, Mohamad Ghaddar menambah jaringan ketiga Kelantan apabila pemain itu membuat larian solo sebelum merembat kencang ke gawang T-Team pada minit ke-84.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan