KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 27 Februari 2014

Kelantan kalah perlawanan pembukaan Piala AFC

Kelantan


PASUKAN Kelantan bermula dengan langkah sumbang selepas kalah 3-5 kepada wakil Myanmar, Yangon United pada aksi pembukaan kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.
    
Ketiadaan beberapa pemain import termasuk Mohamed Ghaddar dan Mohamed Shawky yang dilanda kecederaan, nyata memberi kesan kepada skuad 'The Red Warriors' pada perlawanan berkenaan selepas pengendali mereka, Steve Darby hanya menurunkan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan.
    
Kyaw Ko Ko muncul wira pasukan tuan rumah selepas meledak jaringan hatrik pada minit ke-28, 52 dan 89 manakala dua lagi gol disumbangkan penyerang dari Brazil, Emerson Reis Luiz pada minit kelapan dan 45, demikian menurut laman web AFC;www.the-afc.com.
    
Tiga gol Kelantan dijaringkan oleh Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-47 dan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-63 dan 94).
    
Terdahulu, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang, Ahmad Shakir Mohd Ali dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Lee Min Hu dari Korea Selatan kerana melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.
    
Dalam satu lagi perlawanan, pasukan South China dari Hong Kong gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-3 kepada kelab dari Vietnam, XM Vissai Ninh Binh di Stadium Hong Kong.
    
Pada aksi kedua kumpulan 12 Mac ini, Kelantan akan melayan kunjungan South China di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu manakala XM Vissai Ninh Binh berdepan Yangon United di Stadium Ninh Binh.

Tanpa kelibat trio import, TRW tewas

Tanpa kelibat trio import, TRW tewas
Shakir (depan) diasak pemain Yangon dalam aksi yang berkesudahan, TRW tumpas, 3-5, petang semalam.


TURUN tanpa kelibat trio import, Kelantan memulakan langkah sumbang dalam saingan Piala Konfenderasi Bola Sepak Asia (AFC) 2014 selepas tewas 3-5 ditangan Yangon United dalam  aksi sulung Kumpulan G, di Pusat Latihan Belia Yangon,  semalam.


Hadir di tempat lawan tanpa menyenaraikan Francis ForKey Doe, Mohd Ghaddar dan Mohd Shawky yang dihantui kecederaan, corak permainan berat sebelah jelas kelihatan apabila tuan rumah memulakan serangan memburu gol sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan, Lee Min Hu.

Hanya menurunkan benteng kental The Red Warrios (TRW) Obina Nwaneri dan baki selebihnya digalas pemain tempatan Khairul Fahmi Che Mat tidak menunggu lama mengutip bola dalam gawang sendiri apabila Emerson Reis Luiz memastikan gol pertama tuan rumah pada minit ke-8.

Belum sempat anak didik Steve Darby memperkemaskan corak permainan, tuan rumah terus melancarkan serangan memburu gol kedua dan berhasil apabila penyerangnya, Kyaw Ko Ko meledak gol kedua (m-28) sebelum sekali lagi Luiz melebarkan jurang gol ketiga seminit sebelum babak pertama berakhir.

Tempoh rehat sebelum memulakan aksi kedua dimanfaatkan sepenuhnya Darby menurunkan ilmu dan perancangan bagi mengimbangi corak permainan lawan dan ia berhasil apabila gol sulung Kelantan hadir (m-46) melalui pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Namun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila, Ko Ko sekali meledak gol keempat buat pasukan dan kedua dirinya selang enam minit kemudian meletakkan skuad bimbingan Kyaw Lin Htwe selesa di depan.

Enggan menyerah kalah, semangat juang Pahlawan Merah jelas kelihatan di kalangan pemain Kelantan yang memberi tentangan dan berjaya memperolehi gol kedua (m-63) melalui Ketua Pasukan Mohd Badhri Radzi yang berjaya merancakkan permainan.

Kebangkitan corak permainan Kelantan tersentak seketika pada minit 74 apabila Ahmad Shakir Ali dilayangkan kad merah dan kelebihan beraksi seorang pemain digunakan sepenuhnya Yangon untuk terus melebarkan jurang dengan gol kelima melalui ledakan hatrik Ko Ko (m-90) sebelum Badhri sekali lagi merapatkan kedudukan dengan gol ketiga (m93) namun sudah terlambat untuk menafikan tiga mata penuh tuan rumah.

Rabu, 26 Februari 2014

TRW Tempang Tanpa Tiga Awang Import

Gambar dari asiana.my
Gambar dari Asiana.my

Kota Bharu: Kelantan memulakan aksi pertama saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan ‘langkah tempang’ apabila turun tanpa tiga pemain import ketika berdepan Yangon United di Stadium Thuwunna, Myanmar hari ini.
Pasukan kendalian Steve Darby itu kehilangan dua penyerang, Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe serta pemain tengah, Mohamed Shawky Aly yang dibelenggu kecederaan. Ketiga-tiganya tidak dibawa ke Myanmar.
Bagaimanapun, Darby berkata, ketiadaan tiga pemain berkenaan tidak menjejaskan persiapan The Red Warriors (TRW) untuk memulakan aksi pertama di pentas antarabangsa musim ini menerusi saingan AFC.
Katanya, berikutan ketiadaan Ghaddar dan Forkey Doe, beliau menaruh kepercayaan terhadap dua penyerang tempatan, Ahmad Shakir Ali dan Ahmad Fakri Saarani untuk merobek gawang tuan rumah.
“Kami kehilangan dua penyerang dan seorang pemain tengah kerana kecederaan. Saya terpaksa menurunkan pemain lain untuk mengisi kekosongan posisi itu dan saya harap pemain yang diberikan kepercayaan nanti dapat beraksi cemerlang.
“Saya yakin dengan Ahmad Shakir dan Ahmad Fakri kerana mereka sudah mendapat sentuhan jaringan, namun saya berharap pemain ini selesa beraksi dalam saingan AFC,” katanya.
Kelantan meneruskan cabaran dalam saingan AFC buat kali ketiga berturut-turut, termasuk musim ini dengan pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada 2012 ketika di bawah bimbingan bekas jurulatih, Bojan Hodak.

Selasa, 25 Februari 2014

Apek, Piya Dan Fakri Mungkin Sekadar Simpanan

Mohd Badhri Radzi

Kuala Lumpur: Jurulatih sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan melupakan khidmat tiga pemain Kelantan yang beraksi pada Piala AFC esok dalam kesebelasan utama negara apabila turun bertemu Filipina pada aksi persahabatan, Sabtu ini.
Bukan menafikan kemampuan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, kapten Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya serta Ahmad Fakri Saarani, namun Kim Swee berasakan ketiga-tiga pemain itu pasti keletihan sebaik mengharungi tugasan antarabangsa.
Kelantan bertandang ke Yangon, Myanmar untuk turun pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala AFC bertemu Yangon United esok dan hanya akan pulang pada Khamis, dua hari sebelum pertemuan skuad negara dengan Filipina.
“Saya difahamkan pasukan Kelantan akan pulang pada Khamis. Jadi mungkin saya tidak meletakkan mereka dalam kesebelasan utama.
“Mungkin saya hanya turunkan Piya pada separuh masa kedua, begitu juga dengan Fakri sebab mereka berdua sememangnya tonggak utama Kelantan,” katanya.
Bagaimanapun Kim Swee berkata, tiga pemain Selangor yang turut beraksi pada saingan Piala AFC bertemu Arema FC malam ini iaitu penjaga gol Farizal Marlias, S Kunanlan serta Bunyamin Umar berpeluang untuk diturunkan.
Ditanya adakah beliau sudah menemui kombinasi terbaik di bahagian tengah, Kim Swee berkata, dia masih belum menemuinya.
“Mungkin saya perlu mengambil masa dua atau tiga hari lagi untuk melihat keserasian antara pemain di bahagian tengah,” katanya.

Trio Import Kelantan Tak Beraksi

KOTA BHARU – Biarpun beraksi digelanggang lawan, pasukan Kelantan tidak akan menurukan trio importnya dalam aksi menentang Yangon United dalam persaingan Piala AFC, Rabu ini.
Mohamed Ghaddar dan Francis Forkey Doe terpaksa diketepikan pada aksi sulung pasukannya berikutan mereka mengalami kecederaan.
Mohamed Ghaddar dan Francis Forkey Doe terpaksa diketepikan pada aksi sulung pasukannya berikutan mereka mengalami kecederaan.


Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby berkata, Mohamed Ghaddar, Mohamed Shawky Aly dan Francis Forkey Doe tidak akan dibawa ke Myanmar sebaliknya mereka akan meneruskan latihan di Kota Bharu bagi meningkatkan kecergasan dan berada dalam keadaan terbaik.
Beliau berkata, hanya tonggak pertahanan, Obinna Nwaneri sahaja akan menyertai skuad ke Myanmar dalam perlawanan tersebut namun beliau yakin pasukannya masih mantap.
“Jentera serangan kita akan dibarisi Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali.
“Saya yakin dua pemain ini mampu menggalas tugas yang diberikan berdasarkan aksi meyakinkan dalam Liga Super dan Piala FA sebelum ini,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, dia mengharapkan gandingan pemain muda dan lama dapat menghasilkan keputusan positif dalam perlawanan itu dan tetap optimis barisan pemainnya mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan itu nanti.
Katanya, bagaimanapun dia mahu barisan pemainnya memberikan aksi terbaik dan cuba menumbangkan pasukan tersebut.
“Saya tidak mengetahui kekuatan mereka, namun ada membuat kajian berkaitan dengan corak permainan pasukan dari negara berkenaan.
“Kami mahu membuka kempen kali ini dengan langkah kanan dan ini amat penting kepada kami sebagai motivasi untuk mengharungi perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Gandingan 2A Taruhan TRW

Darby menagih ketajaman Ahmad Fakri (kiri) setelah Mohamad Ghaddar (kanan) diketepikan apabila Kelantan bertemu Yangon United FC pada aksi pembuka tirai kempen Piala AFC, Rabu ini.
Darby menagih ketajaman Ahmad Fakri (kiri) setelah Mohamad Ghaddar (kanan) diketepikan apabila Kelantan bertemu Yangon United FC pada aksi pembuka tirai kempen Piala AFC, Rabu ini.


PASUKAN The Red Warriors (TRW) bakal mempertaruhkan gandingan penyerang 2A iaitu Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali bagi menghadapi Yangon United FC pada aksi pembuka tirai Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Asia (AFC), bermula esok.
Pengendali Kelantan, Steve Darby berkata, dua penyerang tempatan itu kini menjadi harapan beliau setelah pasukannya terbang ke Yangon, Myanmar petang semalam tanpa kelibat tiga pemain import mereka.
Menurutnya, khidmat dua penyerang import, Francis Forkey Doe dan Mohamad Ghaddar serta perancang tengah, Mohamed Shawky Aly terpaksa diketepikan pada aksi sulung pasukannya berikutan mereka mengalami kecederaan.
“Kami akan mengharungi 14 perlawanan dalam tempoh 41 hari. Faktor kecederaan memaksa tiga pemain itu disisihkan dan itulah yang perlu kami lakukan (merehatkan pemain) kerana jadual perlawanan cukup padat sepanjang Mac dan April.
“Memang agak mengecewakan biar pun seorang lagi pemain import, Obinna Nwaneri dapat bersama rakan sepasukan lain. Saya harap Ahmad Fakri dan Ahmad Shakir boleh melakukan sesuatu pada perlawanan itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelantan akan berdepan Yangon United FC, skuad yang dibimbing jurulatih kelahiran Australia, Eric Williams pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Latihan Belia, Yangon, jam 4 petang waktu tempatan.
Ini merupakan penampilan ketiga Kelantan di pentas pertandingan antarabangsa di mana tahun lalu kandas pusingan kedua setelah tewas 0-2 kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC dan kalah menerusi agregat 2-6 kepada Arbil FC (Iraq), pada aksi suku akhir musim 2012.
Biar pun membawa skuad tempang, namun pengendali berusia 59 tahun itu tetap positif ketika ditanya peluang pasukannya sama ada mampu melakarkan kemenangan ke atas juara Liga Kebangsaan Myanmar 2013 itu.
“Saya gagal mendapatkan rakaman perlawanan pasukan berkenaan. Namun itu bukan satu alasan, kita akan berusaha mencapai kemenangan biar pun saya tahu ia agak sukar. Begitu pun, jika memperoleh satu mata di sana mungkin sudah memadai bagi kami,” katanya.
Malah, Darby turut menaruh keyakinan betapa gabungan di antara pemain baharu dan senior yang bakal direncanakan beliau nanti mampu membentuk kesebelasan terkuat pasukannya apabila berdepan Yangon United FC.
“Mereka (pemain muda) mempamerkan komitmen tinggi dalam latihan sebelum kami berlepas hari ini (semalam). Malah saya turut gembira apabila Amar Rohidan dan Muhammad Nazri Ahmad kembali menunjukkan perkembangan positif untuk disenaraikan dalam 18 pemain terbaik,” katanya.

Isnin, 24 Februari 2014

Kelantan intai pemain import stabilkan skuad


  • Annuar MusaAnnuar Musa
 1 / 1 
KELANTAN sedang mengintai beberapa pemain import berkualiti untuk memperkuatkan jentera 'The Red Warriors' dalam menghadapi jadual padat musim ini, kata Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.
"Masalah kita ialah untuk menstabilkan kembali pasukan selepas beberapa pemain kita dipancing pasukan lain. Kalau pasukan tidak beraksi cemerlang, maka tiada penaja yang membuat penajaan," katanya, tanpa mendedahkan nama pemain yang diintai.
Annuar dalam pada itu berkata sasaran realistik Kelantan pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini ialah melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir.
"Tahun ini pun kita tahu saingan (Piala AFC) agak mencabar dan saya sedang berbincang (dengan pengurusan pasukan) bagaimana untuk memperkasakan pasukan supaya mereka dapat bersaing di peringkat Asia dan ini bukan satu tugas yang mudah," katanya.
Annuar yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Fiesta Kelantan 2014 dan pengenalan jersi AFC pasukan berkenaan, yang disempurnakan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di ruang legar Bangunan Mara, di Kuala Lumpur, hari ini.
  
Jurulatih Kelantan Steve Darby berkata beliau akan menggunakan strategi penggiliran kepada semua pemainnya termasuk pemain simpanan untuk musim ini.
"Adalah sukar untuk pasukan mara ke hadapan (dalam Piala AFC) ... saya tidak memberi sebarang alasan tetapi jika kita melihat jadualnya, anak-anak buah saya terpaksa berhadapan 14 perlawanan dalam beberapa minggu dan perjalanan yang lama selepas ini.
"Kami kehilangan ramai pemain dan sukar untuk menggantikan mereka kerana kami tidak mempunyai peruntukan mencukupi tetapi saya mempunyai keyakinan pemain-pemain saya akan bermain sebaik mungkin, katanya.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang turut berkongsi pandangan berharap pasukannya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC musim ini selepas sekadar mara sehingga ke pusingan kedua pada musim 2013.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan 'Apek' di kalangan rakan dan peminat sukan turut menyeru rakan sepasukan supaya memberikan persembahan terbaik ketika menentang wakil Myanmar, Yangon United pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Thuwunna, Myanmar, Rabu ini.
"Kalau dapat tiga mata, ia merupakan satu bonus kepada pasukan dan sekiranya hanya dapat satu mata, itu pun sudah dikira agak baik," kata Khairul Fahmi yang juga penjaga gol kebangsaan.
Selain Yangon United, Kelantan bakal dicabar dua pasukan lain dalam kumpulan G iaitu South China dari Hong Kong dan kelab dari Vietnam XM Vissai Ninh Binh.
Untuk rekod, Kelantan pernah melangkah ke peringkat suku akhir Piala AFC pada 2012 namun tewas dengan agregat 2-6 kepada wakil Iran, Arbil SC dan musim lepas mereka sekadar mara ke pusingan kedua sebelum tumpas 0-2 kepada wakil Hong Kong, Kitchee SC.

KAFA terima tajaan RM1 juta letak 'Visit Malaysia' di jersi

KAFA terima tajaan RM1 juta letak 'Visit Malaysia' di jersiPEMAIN pasukan bola sepak Kelantan (dari kiri) Mohd Badhri, Fakri Saarani dan Khairul Fahmi Che Mat memperagakan jersi baharu yang akan digunakan sepanjang kempen Piala AFC 2014 yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Busana Menara Mara di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi pasukan pertama negara ini mendapat tajaan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan. Menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata pasukan bola sepak terbabit yang turut dikenali sebagai The Red Warriors akan membawa logo 'Visit Malaysia' di jersi mereka.

        "Pasukan terbabit layak menerima tajaan itu berikutan kejayaan dalam kejohanan di negara malah turut bermain di luar negara termasuk Piala Asia," katanya selepas merasmikan jersi baru KAFA di Menara Mara di sini, sebentar tadi.

Ahad, 23 Februari 2014

TRW: Sukar Sebelum Mara

Sokongan pemain ke 12 TRW tidak dapat dinafikan.

PENYANDANG juara, The Red Warriors mengharungi detik sukar sebelum mengesahkan slot empat pasukan terbaik yang akan berentap pada perlawanan separuh akhir Piala FA musim ini.
Jaringan penyamaan bintang import sensasi Kelantan, Mohamad Ghaddar memusnahkan impian PKNS FC ketika pasukannya mengikat keputusan seri 3-3 pada aksi suku akhir kedua sekali gus mara dengan agregat 6-5.
Apa pun, pujian seharusnya diberikan kepada skuad The Red Ants yang mempamerkan semangat juang tinggi serta tidak mudah menyerah kalah ketika menyedari Kelantan bertandang ke gelanggang mereka dengan bekalan tipis.
PKNS FC sedikit pun tidak gentar beraksi di hadapan hampir 8,000 penyokong Merah Putih yang membanjiri Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malah mereka lebih bersemangat untuk memberi tekanan kepada anak buah Steve Darby sepanjang perlawanan tersebut.
SAINGAN SENGIT
Skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan mengotakan janji mereka untuk bangkit memberi saingan sengit, biar pun tersingkir namun sekurang-kurangnya menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lain betapa mereka mampu menjadi antara pencabar utama Liga Malaysia musim ini.
Apa pun, tiga gol terhasil menerusi awang import iaitu Patrick Ronaldinho Wleh, Karlo Primorac dan Hamka Hamsah masih tidak cukup buat PKNS FC untuk memadamkan kelebihan awal dimiliki Kelantan yang menang 3-2 pada aksi suku akhir pertama yang lalu.
Jelas nasib tidak menyebelahi PKNS FC dan mereka sebenarnya tidak perlu kecewa di sebalik penyingkiran pada kempen Piala FA. Dalam erti kata lain, mereka tidak kalah dalam perlawanan tersebut.
PENANGAN GHADDAR
Kehadiran penyerang Lubnan itu memberi impak yang cukup besar ketika Kelantan kehilangan Francis Forkey Doe akibat kecederaan, dan jaringan Ghaddar hadir tepat pada masanya ketika pasukannya kini berada di landasan mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga.
Begitu pun, peningkatan prestasi ditunjukkan beberapa pemain tempatan seperti Ahmad Shakir Md Ali dan Ahmad Fakri Saarani membuktikan Kelantan tidak lagi bergantung harap sepenuhnya kepada penyerang import untuk meledakkan jaringan.
Malah sumbangan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi dan Mohamed Shawky Aly yang sanggup bermain selaku pemain gantian meski pun mengalami kecederaan turut membantu kejayaan Kelantan mencatatkan keputusan seri pada perlawanan tersebut.

Saya Tak Hiraukan Kritikan Terhadap Pemilihan Saya – Fakri

Ahmad Fakri Saarani

ENTAH di mana silapnya, penyerang muda negara, Ahmad Fakri Saarani sering menjadi ‘mangsa’ kritikan negatif pelbagai pihak setiap kali dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.
Sering mendapat kepercayaan jurulatih terdahulu iaitu Datuk K. Rajagobal sebelum ini, penyerang Kelantan itu juga kekal dalam radar pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee dalam senarai pelatih kali ini menjelang aksi berdepan Yemen dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai pada 5 Mac depan.
Bagaimanapun, Fakri, 25, percaya fokusnya tidak terjejas biarpun kehadirannya bersama skuad Harimau Malaya seolah-olah tidak ‘direstui’ pemerhati bola sepak dan juga peminat sebelum ini.
“Saya tidak tahu hendak komen apa. Bukan mereka (pengkritik) yang pilih saya.
“Sebagai pemain, saya akan memberikan yang terbaik setiap kali dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Fakri juga bersedia memberikan cabaran kepada penyerang yang lebih berpengalaman seperti Mohd. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha bagi merebut tempat sebagai penyerang utama Harimau Malaya dalam perlawanan itu nanti.
Selain itu katanya, prestasi semasa seorang lagi penyerang, Bobby Gonzales juga pastinya menjanjikan satu persaingan yang sihat dalam usaha memikat hati Kim Swee.
“Buat masa ini, saya juga bebas daripada sebarang kecederaan dan berazam membantu skuad kebangsaan melakar kemenangan ketika berdepan Yemen kelak,” katanya.
Selain itu, Fakri juga enggan menyifatkan kehadirannya bersama skuad Harimau Malaya kali ini sebagai ‘penumpang’ semata-mata.
“Jika diberikan peluang, sudah tentu saya mahu beraksi dalam kesebelasan utama dan bukan sekadar supersub.
“Tetapi itu semua terpulang kepada jurulatih, apa yang pasti saya harus bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa,” katanya.

Jumaat, 21 Februari 2014

Brendan Boleh Wakili Red Warriors

Brendan Gan dijangka boleh beraksi buat Kelantan, April ini.


SELAYANG – Setelah hajat untuk beraksi bersama Kelantan di awal musim Liga Malaysia ini terbantut, Brendan Gan dijangka tiada sebarang masalah untuk menyarung jersi Red Warriors sebaik pintu perpindahan pemain buat kali kedua dibuka pada April nanti.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan perkara itu selepas proses mendapatkan pasport Malaysia buat Brendan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan dia boleh didaftarkan di bawah slot pemain tempatan.
Beliau yang ditemui di Stadium Selayang pada perlawanan PKNS dan Kelantan pada pertemuan timbal balik suku akhir kedua Piala FA, berkata, pemain kelahiran Australia yang berusia 25 tahun itu akan memegang pasport Malaysia selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.
”Brendan baru sahaja selesai menghadiri temuduga dan dia akan didaftarkan sebagai pemain tempatan jika tiada sebarang lagi masalah malahan jika dia hendak bermain untuk Malaysia selepas ini pun di peringkat antarabangsa, tiada sebarang masalah.
”Berdasarkan peraturan baru yang diperkenalkan oleh FAM, kami juga mahu meminjam dua lagi pemain daripada pasukan lain dan kami juga akan melakukan pinjaman dalam beberapa posisi yang difikirkan menjadi kelemahan pasukan Kelantan pada musim ini, ” katanya.
Jelas Annuar, tiada sebarang kekeliruan lagi melibatkan status terbaru Brendan selepas ini memandangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan peraturan mana-mana pemain yang mahu didaftarkan selaku pemain tempatan perlu mempunyai kad pengenalan atau pasport Malaysia.
”Peraturan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang menetapkan setiap pemain yang mahu mendapatkan kerakyatan perlu tinggal dalam tempoh tertentu adalah untuk mengelakkan supaya mana-mana orang luar diberi kerakyatan begitu sahaja.
”Sedangkan Brendan, kesnya berbeza kerana ayahnya adalah orang Malaysia dan dia memilih untuk memegang kerakyatan Australia sebelum ini malahan peraturan liga kita, FAM telah menetapkan syarat yang jelas iaitu perlu ada kad pengenalan atau pasport, ” katanya.
Brendan yang pernah beraksi dengan pasukan Sabah pada musim 2012 selaku pemain import beraksi di bahagian tengah selain turut menganggotai skuad Sydney FC di Liga Australia pada tahun 2008 hingga 2011.

Darby Idam Kecapi Aksi Final Piala FA

Steve Darby


Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Steve Darby mula mengimpikan pasukannya beraksi di pentas final selepas menewaskan PKNS FC menerusi agregat 6-5 sekalipun seri 3-3 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.
Gergasi Pantai Timur itu tekad mempertahankan kejuaraan sebelum berdepan cabaran satu lagi pasukan kelab, FELDA United di separuh akhir 6 Mei ini.
Darby berkata, misi The Red Warriors (TRW) mempertahankan kejuaraan semakin hampir malah lebih yakin apabila anak didiknya sudah mencapai prestasi sebenar mengharungi perlawanan sepanjang musim ini.
Kelantan akan dilabelkan pasukan pilihan kelak tetapi beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin sebaliknya menuntut prestasi cemerlang sehingga tiba hari perlawanan itu.
“Semua pemain sudah menunjukkan keyakinan dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini dan saya rasa kita berpeluang cerah untuk mempertahankan Piala FA.
“Sebagai juara bertahan sudah pasti Kelantan akan menjadi pasukan pilihan namun kekuatan sebenar tidak boleh diukur dengan status berkenaan.
“Saya harap pemain dapat meneruskan rentak cemerlang ini sehingga ke ke pentas final mahupun sepanjang musim,” katanya.
Penyerang Ahmad Shakir Ali mendapat pujian Darby selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan mengutip tiga jaringan peribadi setakat ini.
“Bukan saja Ahmad Shakir, malah semua pemain sudah mula menunjukkan persaingan sihat dengan membentuk kerjasama baik ketika beraksi di atas padang,” katanya.

Khamis, 20 Februari 2014

Gan Bakal Milik TRW

Brendan Gan

Kuala Lumpur: Hajat Kelantan sebelum ini yang kempunan mendapatkan sentuhan pemain kacukan Australia dan Malaysia, Brendan Gan, bakal menjadi kenyataan apabila jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) dibuka sebulan, bermula 23 Mac nanti.
Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata, segala urusan dokumentasi pendaftaran Brendan Gan hampir selesai dan pihaknya hanya menunggu tarikh jendela perpindahan itu dibuka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Segala urusan untuk membolehkannya memiliki pasport Malaysia termasuklah temu duga serta perkara berkaitan, mengikut seperti yang dirancang. Brendan akan memperoleh pasport Malaysia bulan ini dan pendaftaran dengan FAM akan dilakukan pada tingkat perpindahan kedua nanti.
“Apa yang FAM mahukan kita sudah lakukan. Saya harap semuanya dapat diselesaikan dan tidak lagi timbul apa-apa kerumitan selepas ini,” katanya ketika ditemui Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi suku akhir Piala FA, malam kelmarin.
Brendan sebelum ini dihalang FAM daripada didaftarkan sebagai pemain tempatan The Red Warriors (TRW) kerana pihak Jawatankuasa Status FAM lebih memilih taraf kewarganegaraan seseorang pemain berbanding taraf kerakyatan, Disember lalu.
Pemain memulakan karier senior bersama Sutherland Sharks, diikuti Sydney FC untuk tempoh empat tahun dan kemudian menyertai Bonnyrigg White Eagles pada saingan 2011 hingga 2012 sebelum berpindah ke Sabah.

Rabu, 19 Februari 2014

Kelantan Berpeluh Sebelum Mara

Pemain Kelantan, Mohd Shawky Aly (jersi 17) bersaing dengan pemain PKNS, Karlo Primorac (jersi 10) untuk merebut bola di udara dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Selayang malam tadi.

SELAYANG – Kelantan berada pada landasan terbaik untuk memenangi Piala FA buat kali ketiga berturut-turut apabila berjaya membenam PKNS dengan agregat 6-5 selepas mencatat keputusan seri 3-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Selayang malam tadi.
Lawan juara 2012 dan 2013 itu pada separuh akhir nanti adalah pasukan dari Liga Perdana, Felda United yang mengejutkan Sarawak dalam satu lagi perlawanan.
Hadir di Selayang berbekalkan kemenangan 3-2 di Kota Bharu, Kelantan sempat resah apabila The Red Ants hanya memerlukan dua minit sahaja untuk mendapatkan gol pertama melalui Patrick Ronaldinho yang bijak memanfaatkan hantaran Mohd. Nazmi Faiz Mansor.
Namun, kelebihan yang dimiliki oleh PKNS tidak bertahan lama apabila Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan pada minit ke-19 setelah menanduk masuk bola sepakan bebas ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi sekali gus kembali meletakkan Kelantan di hadapan secara agregat 4-3.
Kesilapan Mohd. Fauzan Dzulkifli yang menghantar bola ke dalam kawasan penalti sendiri diambil kesempatan oleh Badhri yang membuka ruang kepada Ahmad Shakir Ali untuk mendapatkan gol kedua melalui rembatan leret pada minit ke-26.
Anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan tidak cepat mengalah dan tindakan Obinna Nwaneri menjatuhkan Ronaldinho di dalam kotak penalti membuka ruang kepada PKNS mendapatkan gol penyamaan.
Ronaldinho mudah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-43 bagi menjadikan kedudukan terikat 2-2 sebelum rehat.
Situasi permainan bertambah menarik apabila bersambung di babak kedua dengan PKNS berjaya memimpin perlawanan sekali lagi menerusi tandukan kencang Hamka Hamsah pada minit ke-71 setelah dia menyambut sepakan bebas Fauzan.
Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun hanya bertahan dua minit apabila Mohamad Ghaddar yang menerima hantaran silang Shakir memadamkan kelebihan yang dimiliki PKNS setelah melepaskan rembatan yang menewaskan Remezey Che Ros di gawang gol untuk menyamakan kedudukan 3-3.
Jaringan itu ternyata membunuh api perjuangan PKNS yang memerlukan dua gol untuk mara ke suku akhir dan pada baki 17 minit permainan, bola hanya berlegar di tengah padang tanpa sebarang gerakan mampu dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

Pahlawan Merah Tepati Ramalan

PERTAHANAN Kelantan, Obina Nwaneri (kanan) dan penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh bersaing pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

KELANTAN menepati ramalan awal apabila mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas menyingkirkan Selangor PKNS.
Bagaimanapun, Kelantan dipaksa bekerja lebih keras sebelum dapat menyambar tiket separuh akhir.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, Kelantan dan PKNS terikat dengan keputusan seri 3-3.
Biarpun sekadar mencatatkan keputusan seri, The Red Warriors tetap berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dengan kemenangan agregat 6-5 selepas menang 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu minggu lalu.
Pada aksi malam tadi, PKNS berjaya mengejutkan Kelantan menerusi jaringan penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh seawal minit kedua.
Begitupun, kelebihan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu tidak bertahan lama apabila Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan buat Kelantan pada minit ke-19.
Skuad The Red Warriors kembali mengasak benteng pertahanan PKNS dan hasilnya, Shakir Ali meledak gol kedua pada minit ke-26.
Pemain kelahiran Kedah itu berjaya memanfaatkan hantaran kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi untuk mudah menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd. Remezey Che Ros.
Kerancakan permainan semakin dirasai apabila penyerang gantian PKNS, Karlo Primorac menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit.
Pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab memberikan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri menjatuhkan Ronaldinho di kawasan kotak penalti.
PKNS kembali menghidupkan peluang mara ke separuh akhir apabila memperoleh gol menerusi jaringan Hamka Hamzah pada minit ke-71.
Namun, Kelantan membalas dengan gol penyamaan hasil jaringan penyerang import, Mohamed Ghaddar berselang seminit kemudian.
PKNS cuba mencari gol tambahan dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan, namun keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Johor Darul Takzim (Johor DT) mengecewakan tuan rumah, Kedah apabila menang 2-0.
Kemenangan itu membolehkan Johor DT mara ke separuh akhir dengan agregat 5-1 selepas Harimau Selatan menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Larkin minggu lalu.
Dalam aksi malam tadi, dua gol Johor DT masing-masing dijaringkan oleh dua penggempur Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Ghaddar Ranap Impian PKNS

 Mohamad Ghaddar

Selayang: Juara bertahan Piala FA musim lalu, Kelantan, berada di landasan tepat bagi mempertahankan gelaran buat kali ketiga berturut-turut apabila meloloskan diri ke separuh akhir dengan keputusan 6-5 secara agregat ke atas PKNS FC selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
The Red Warrios (TRW) hadir ke Selayang dengan kelebihan satu gol dari Kota Bharu ketika menang 3-2 aksi pertama pusingan kedua sebelum ini, menerima tentangan sengit anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang hanya memerlukan satu gol untuk mara dengan syarat tidak dibolosi.
Percaturan Wan Jamak yang mempertaruhkan Patrick Ronaldinho Wleh di bahagian serangan nyata membuahkan hasil dengan tuan rumah berada di depan seawal minit ke-2 apabila penyerang itu mudah menolak masuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang gol.
Tersentak dengan gol awal itu, barisan Steve Darby menyusun rentak memburu gol penyamaan dan selang tujuh minit kemudian, pemain kebangsaan Ahmad Fakri Saarani menanduk masuk sepakan percuma ketua pasukannya Mohd Badhri Radzi pada minit ke-9 untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Pada minit ke-26, bekas penyerang Negeri Sembilan itu merembat padu bagi meletakkan Kelantan mendahului.
Pertahanan Kelantan Obina Nwaneri menghadiahkan PKNS FC sepakan penalti dan pemain gantian Primorac Karlo dengan tenang menyempurnakan sepakannya pada minit ke-43 buat mengikat kedudukan 2-2 sebelum separuh masa pertama ditamatkan.
Bersambung babak kedua, PKNS berjaya di depan hasil jaringan Hamka Hamsah yang bijak membaca hantaran rakan sepasukannya pada minit ke-71.
Penyerang import Kelantan dari Lubnan, Mohamad Ghaddar (gambar, no 22) menghancurkan harapan PKNS dengan gol penyamaan bagi kedudukan 3-3 untuk membawa pasukannya ke separuh akhir dengan agregat 6-5.
Kelantan akan bertemu FELDA United pada 6 Mei ini.

Catatan Popular