KOTA BHARU – Kelantan tidak mempunyai pilihan kecuali menang dalam pertembungan dengan musuh tradisinya Terengganu pada saingan separuh akhir pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.
Bekalan yang selesa di gelanggang sendiri amat penting bagi anak buah Bojan Hodak untuk menempah tempat di perlawanan akhir, seterusnya mengubat kekecewaan mereka selepas terlepas gelaran Liga Super musim ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim menyifatkan kekalahan ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) Rabu lalu tidak merentap semangat para pemainnya dan menganggap ia merupakan lumrah dalam bola sepak.
Beliau berkata, The Red Warriors akan turun beraksi dengan barisan pemain utamanya selepas kesemuanya bebas daripada kecederaan dan penggantungan.
“Dickson Nwakaeme juga sudah pulih dan mampu diturunkan semula dan kesebelasan utama untuk memperkuatkan jentera serangan kita, namun semuanya bergantung kepada Hodak untuk membuat keputusan.
“Saya fikir kita perlu menang dengan selesa, sama ada menang 3-0 atau 5-0 saya tidak berminat untuk memperkatakan kerana ia mungkin memberi tekanan kepada pemain tetapi kita perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, beliau menegaskan, pasukan itu tidak menghadapi sebarang masalah ketika tewas kepada JDT sebelum ini biarpun Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membuat teguran keras terhadap Hodak kerana memilih strategi yang salah.
“Kita dibolosi dua gol dalam tempoh kurang lima minit menyebabkan kita gagal mengimbangi perlawanan. Inilah bola sepak kerana ada ketika anda perlu menerima hakikat bahawa pasukan lawan bermain lebih baik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan