KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 26 Mei 2013

KAFA Dakwa PBNJ Mahu Balas Dendam


Kehadiran JMF Fan Club yang berada ditengah-tengah penyokong Kelantan cukup meragukan.
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) mendakwa kawalan keselamatan yang lemah ketika perlawanan di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Larkin Rabu lepas bagaikan mahu membalas dendam terhadap pasukannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kafa Datuk Ismail Md Noor berkata persatuan itu dukacita dengan layanan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kepada mereka sekali gus menganggap PBNJ gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada dengan baik.
“Kira-kira 1,000 hingga 1,500 penyokong Kelantan berada di Stadium Larkin pada minggu lepas. Mereka bukan sahaja tidak dipisahkan dengan penyokong Johor, malah provokasi yang ditunjukkan penyokong tuan rumah ketika kami tiba sehingga tamat perlawanan menyebabkan ada segelintir penyokong Kelantan cedera dibaling benda keras dan dipukul selepas perlawanan.
“Malah, gendang juga tidak dibenarkan dipalu ketika perlawanan berlangsung menyebabkan moral pemain merosot, selain permainan yang terpaksa ditangguhkan kira-kira 40 minit,” dakwanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya Tuan Aziz Tuan Mat, Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kelantan (KTBSK) Che Yahya Jamada Ali dan timbalannya Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan.
Pada perlawanan di antara kedua-dua pasukan Rabu lepas, provokasi dikatakan bermula apabila ratusan penyokong Johor berada di atas trek padang sehingga mengakibatkan perlawanan tertangguh selama kira-kira 40 minit sebelum berjaya dikawal anggota polis bertugas.
Insiden itu dikatakan berlaku susulan perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Januari lepas yang menyaksikan 200 penyokong JDT terpaksa dibawa masuk ke dalam padang selepas perlawanan kedua-dua pasukan tamat berikutan provokasi penyokong Kelantan yang tidak berpuas hati dengan tindakan Johor membawa beberapa anggota tentera ke stadium.
Ismail yang juga Naib Presiden Kafa berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu minggu ini dan berharap badan induk itu akan menjalankan siasatan terperinci.
Menurutnya, Kafa mempunyai rakaman video dan gambar yang diambil penyokong Kelantan ketika provokasi tercetus sambil menambah, kejadian tersebut tidak pernah berlaku di mana-mana stadium di negeri lain.
“Ketika melayan kunjungan Johor pada awal tahun ini, kita turut sediakan pelan alternatif bagi menangani sebarang insiden buruk yang mungkin tercetus di antara kedua-dua penyokong dan situasi tersebut walaupun sedikit tegang, masih mampu dikawal Kafa.
“Namun, perkara sebaliknya berlaku ketika kunjungan kami ke Johor apabila kawalan keselamatan yang diberikan kepada penyokong Kelantan sangat lemah. Saya lihat mereka umpama ‘lepas tangan’ dalam menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, Che Yahya berkata PBNJ perlu memandang serius perkara berkenaan kerana walaupun ia hanya provokasi, namun boleh menyebabkan perkara lebih besar berlaku pada masa hadapan jika tidak dibendung dari awal.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular