MISI Kelantan untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Larkin, Johor malam ini sedikit terjejas, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Ini kerana, The Red Warriors akan beraksi tanpa dua tonggak utama, Dickson Nwakaeme dan Nik Shahrul Azim Ab. Halim.
Nwakaeme hampir pasti tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan manakala Nik Shahrul Azim digantung dua perlawanan selepas mengumpul enam kad kuning dalam beberapa perlawanan musim ini.
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak perlu mencari ramuan terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan kedua-dua pemain itu sekiranya mahu membawa pulang tiga mata penuh.
Hodak yang mengakui bakal berdepan laluan sukar tetap optimis pasukan itu mampu mencuri mata pada perlawanan tersebut biarpun beraksi di tempat lawan.
Menurutnya, beliau tidak akan mengamalkan corak permainan bertahan tetapi memilih untuk menyerap taktik menyerang bagi memastikan pasukan itu meraih mata.
“Kami akan cuba bermain secara menyerang bagi memperoleh jaringan seterusnya melakar kemenangan. Jika kami bermain secara bertahan, saya bimbang Kelantan akan kalah pada perlawanan tersebut.
“Jadi, saya harap pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik dan kemenangan sangat penting buat Kelantan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Dalam pada itu, Hodak mengakui yang Johor DT bukan lawan mudah dan beraksi di tempat sendiri memberikan kelebihan kepada mereka.
Pengendali berusia 43 tahun itu turut menyenaraikan empat tonggak utama Johor DT yang perlu diberikan kawalan rapi pada perlawanan tersebut iaitu Nurul Azuan Roya, Norshahrul Idlan Talaha, Leonel Nunez dan Andre Francisco William.
Katanya, keempat-empat pemain itu mampu mendatangkan masalah kepada skuad The Red Warriors sekiranya diberikan ruang yang banyak.
“Bagaimanapun, kami telah bersedia untuk menghadapi ancaman mereka dengan menutup setiap ruang yang dimiliki pemain-pemain tersebut,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan