KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 23 Mei 2013

Bekas Pemain Jadi Pemusnah



NORSHAHRUL (tengah) menjaringkan gol pertama Johor DT ketika menewaskan Kelantan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
DUA bekas pemain Kelantan muncul wira Johor Darul Takzim (Johor DT) apabila membantu Harimau Selatan menundukkan skuad The Red Warriors 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Nurul Azwan Roya yang mula menyertai Johor DT musim ini masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-65 dan ke-68 untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu membolehkan Johor DT kini melonjak ke tangga kedua liga selepas mengumpul 34 mata, satu mata di belakang pendahulu, Lions XII.
Meskipun perlawanan tertangguh 40 minit gara-gara sedikit kekecohan yang berlaku di antara penyokong Kelantan dan tuan rumah, ia tidak mematahkan semangat kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi menarik sepanjang perlawanan.
Anak-anak buah Fandi Ahmad bermula garang apabila melakukan beberapa serangan di awal permainan, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Penyerang import, Leonel Nunez melaku- kan cubaan seawal minit kedua, namun tendangannya tersasar sebelum cubaan Nurul Azwan pada minit ke-26 berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.
Penyerang skuad The Red Warriors, Mohd. Haris Safwan turut melakukan cubaan pada minit ke-29, namun rembatan dari dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Muhd. Al-Hafiz Hamzah.
Sebaik babak kedua bersambung, Johor DT menggandakan asakan dengan serangan sebelum gol pertama pasukan tuan rumah diperoleh melalui Norshahrul yang merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-65.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan tewas 0-2 kepada Terengganu hasil sepakan penalti Razman Roslan dan jaringan gol Damion Stewart masing-masing pada minit ke-38 dan ke-50.
Di Stadium Shah Alam, pasukan tuan rumah, Selangor mengalahkan Terengganu 2-0 hasil dua jaringan gol Francis Forkey Doe pada minit ke-24 dan ke-89.
Kedudukan Pahang dan Selangor kekal masing-masing di tangga kelima dan keempat manakala Johor DT memintas ATM di tangga ketiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular