Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menyuarakan kekecewaan terhadap bekas pemain kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC, Ahmad Fakri Saarani yang gagal menyerlah dalam beberapa aksi bersama The Red Warriors (TRW).
Jurulatih berusia 42 tahun dari Crotia itu berkata, beliau tidak mengetahui punca dan tekanan yang membelenggu Ahmad Fakri sehingga gagal memberikan aksi terbaik terutama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri dan yang terbaru ketika menentang Selangor, di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Moral jatuh
Moral jatuh
Katanya, apa yang beliau lihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini Ahmad Fakri bermula dengan baik tapi moralnya mula jatuh sebaik saja dia melakukan satu kesilapan dan ia lebih ketara apabila beraksi di Kota Bharu.
“Saya tidak pasti apa masalah dia (Ahmad Fakri) sehingga gagal memberikan aksi terbaik. Ia dapat dilihat dengan jelas apabila bermain di sini (Kota Bharu). Saya juga tidak tahu sama ada bermain di hadapan penyokong sendiri memberi tekanan kepada dia.
“Saya perlu bercakap dengan dia menanyakan punca dia gagal memberikan aksi terbaik. Dia bagus ketika latihan dan dapat bermain lebih baik di tempat lawan berbanding di tempat sendiri,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Selangor di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Kesilapan mudah
Dalam perlawanan malam kelmarin, Kelantan hampir diaibkan Selangor di gelanggang sendiri, namun jaringan Zairo Anuar Zalani minit ke-66 menjadi penyelamat kepada TRW untuk mengikat keputusan seri 1-1 dan berkongsi satu mata.
Hodak juga tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan itu yang banyak melakukan kesilapan malah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan