KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 29 Mei 2013

Piala FA 2013: Semi final bikin adrenalin naik - Penyokong
 emel
 dicksonpialaFA2
Tiada apa yang lebih menggembirakan pada tahun ini selain keputusan mendebarkan kemaraan Kelantan ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut, apabila Kelantan mara dengan dua gol penyelamat daripada Obinna dan Dickson hasil dari dua situasi minit-minit akhir berbeza. Jika diteliti keseluruhan perlawanan ini, Terengganu sememangnya layak menang kerana mempamerkan taktikal permainan yang menarik namun apakan daya bolasepak adalah sebuah keputusan hanya layak dihurai setelah perlawanan tamat sepenuhnya.
Kehilangan Effa Owana dan Manaf Mamat pada saat diperlukan dalam tempoh akhir perlawanan memberi kelebihan besar kepada Kelantan meskipun Kelantan masih gagal memanfaatkan sepenuhnya kehilangan dua tonggak utama Terengganu ini.
Badi final Piala FA 2011 kini memihak kepada Kelantan pula, apa yang dirasai oleh seluruh penyokong Terengganu pada petang semalam, sudah dirasai oleh seluruh penyokong Kelantan. Kebangkitan lawan dan kekalahan pasukan kesayangan disaat-saat sudah ingin meraikan kemenangan menjadikan bolasepak memang kejam bagi mereka yang terlampau meminatinya.

Disebalik kerancakan perlawanan di Kuala Terengganu, situasinya amat berbeza di Kuantan apabila perlawanan terus ditangguhkan kerana masalah limpahan penyokong, kekecohan dan kucing berak diatas padang. Insiden ini bukan sahaja merencatkan keputusan perlawanan separuh akhir malahan boleh dianggap insiden amat memalukan dalam sejarah bolasepak dunia, semuanya kerana gara-gara kecuaian pihak pengurusan stadium Darul Makmur Kuantan.
Walaupun demikian apa sahaja yang berlaku di Kuantan, kita menyeru seluruh penyokong Kelantan menjadikan kekecohan ini sebagai satu pengajaran berguna kepada kita semua supaya lebih berhati-hati dan belajar dari insiden ini.
Kini keputusan pasukan mana yang bakal melawan Kelantan di pentas final masih lagi tergantung sehingga mendapat keputusan muktamad daripada pihak FAM selaku penganjur. FOTO MOHD SAUFEE-GAWANG.MY
Bersedialah kita semua untuk ke pentas final. GOMO KELATE GOMO..............AYUH AYUH YU KELATE...

Isnin, 27 Mei 2013

‘Percaturan Bodoh’ Membuahkan Hasil


Bojan Hodak
KOTA BHARU – Bojan Hodak menjawab kritikan pedas yang diterimanya ketika kalah 0-2 kepada Johor Darul Takzim dalam aksi Liga Super Rabu lalu dengan berkata, ‘percaturan bodoh’ dalam perlawanan tempoh hari membawa hasil apabila Kelantan menang 4-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di sini, kelmarin.
Ketua jurulatih Kelantan itu berkata, dia gembira dengan keputusan tersebut kerana telah membuktikan ‘percaturan bodohnya’ sebelum ini akhirnya memberikan kejayaan yang besar kepada mereka.
“Anda boleh lihat bagaimana barisan pemain Kelantan yang diturunkan pada perlawanan ini mempunyai tahap kecergasan yang baik.
“Mereka mampu mempamerkan aksi cemerlang sehingga wisel penamat.
“Saya gembira dengan persembahan yang ditunjukkan barisan pemain dan tidak mudah berputus asa biarpun dikejutkan dengan jaringan awal lawan,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan dikejutkan dengan jaringan Mohd. Asahari Shamsudin pada minit kedua.
Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk jaringan penyamaan menerusi Dickson Nwakaemi.
Asakan Kelantan tidak mampu dibendung pertahanan Terengganu apabila menambah tiga gol menerusi Indra Putra Mahyuddin (m-83), penalti Obinna Nwaneri (m-92) dan Zairo Annuar Zailani (m-93).
Hodak mengakui, kemasukan Nwakeami berjaya mengubah rentak perlawanan sehingga pasukanya mampu menjaringkan empat gol dalam tempoh sepuluh minit terakhir.
Hodak turut memuji penjaga gawang pelawat Mohd. Shamirza Yusoff yang kerap mengagalkan usaha Kelantan untuk mendapat jaringan.

Piala FA: Kelantan Pilih Jumpa Johor DT Di Final


KEMASUKAN Nwakaeme (kanan) banyak mengubah rentak serangan Kelantan pada aksi separuh akhir pertama menentang Terengganu di Kota Bharu kelmarin. Kelantan menang 4-1.
KELANTAN memasang impian untuk bertemu pasukan status bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada final Piala FA musim ini.
Hasrat tersebut diluahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas barisan pemain The Red Warriors menjelmakan kebangkitan yang menakjubkan untuk menumbangkan Terengganu 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Annuar berkata, pada aksi Liga Super minggu lalu, Kelantan tidak berkesempatan untuk mempertaruhkan barisan terbaik pada perlawanan tersebut, sekali gus menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor DT.
Menurutnya, sekiranya Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala FA, beliau mahu The Red Warriors mempertaruhkan barisan terkuat untuk menghadapi saingan pasukan dari selatan tanah air itu.
“Kita harap dapat bertemu Johor DT di pentas akhir sebab baru-baru ini kita tak puas hati kerana tak beraksi dengan skuad terbaik.
“Jadi, kita nak main dengan skuad penuh dan mahu menguji kekuatan dengan Johor DT di gelanggang berkecuali,” katanya di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, beliau tetap mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak berada di zon selesa meskipun memiliki kelebihan empat jaringan sebelum bertandang ke gelanggang lawan esok.
“Perlawanan masih berbaki 90 minit dan kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Terengganu.
“Pemain perlu meneruskan rentak konsisten pada perlawanan separuh akhir kedua nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar menghamburkan pujian kepada barisan pemain Kelantan yang telah menjelmakan kebangkitan pada 10 minit terakhir, sekali gus mengubah keputusan perlawanan bagi membolehkan The Red War- riors meraih kemenangan selesa.
Katanya, beliau gembira dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain Kelantan sepanjang perlawanan tersebut biarpun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat pada minit kedua permainan.
Annuar yang sebelum ini mengkritik keras percaturan taktikal Bojan Hodak yang merehatkan beberapa pemain tonggak ketika tumbang kepada Johor DT, akhirnya bersetuju dengan pendekatan jurulatih berkenaan pada perlawanan dengan Terengganu semalam.
“Malam ini (kelmarin) kita bersetujulah (dengan percaturan Hodak) yang menurunkan pemain-pemain utama.
“Yang saya tidak setuju ialah dia simpan pemain pada aksi menentang Johor DT tetapi selepas mendapat penjelasan daripadanya, kita terima pendekatan yang digunakan,” jelasnya.
Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, Annuar mengecam tindakan jurulatih kelahiran Croatia itu di laman sosial Facebook miliknya sejurus perlawanan di antara Kelantan dan Johor DT tamat.
Bagaimanapun, Hodak mempertahankan tindakannya tidak memasukkan beberapa pemain utama dengan alasan mahu memberi mereka rehat yang secukupnya bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu.
Annuar berkata, teguran yang dilakukan beliau di Facebook bertujuan untuk ‘menyedarkan’ anak-anak buahnya supaya bangkit, selain turut membayangkan mereka bakal menikmati ‘durian runtuh’ jika berjaya melangkah ke final Piala FA nanti.

Ahad, 26 Mei 2013

Piala FA 2013:Belum masanya mendabik dada -TSHAM

dicksonpialaFA
Sebelah kaki Kelantan sudah berada di final Piala FA 2013? Dickson hero perlawanan!
"Kemenangan besar Kelantan 4-1 ke atas Terengganu malam tadi belum boleh mendabik dada kerana Kelantan harus mengharungi 90 minit perlawanan lagi mencabar di tempat lawan" pesan Tan Sri Annuar Musa.
Kehadiran Dikson Nwakaeme dan jaringan gol penyamaannya malam tadi berjaya mengubah rentak perlawanan Kelantan serta membangkitkan semangat juang kemenangan yang tinggi kepada pemain Kelantan lain setelah Ashaari Shamsudin berjaya menghukum Kelantan seawal minit kedua lagi.
Jaringan dua gol Dickson, 1 gol daripada Obinna dan Zairo boleh dijadikan sebagai benteng kukuh untuk dibawa ke Kuala Terengganu selasa ini (28 mei). Kebangkitan pasukan Kelantan malam tadi juga diharap mampu memulihkan kembali semangat pemain dan penyokong dalam menjayakan impian ke final Piala FA.
Jika dilihat pada musim ini Terengganu sebuah pasukan yang sukar dijangka aksi kebangkitan dan kehebatannya. Dengan ini seluruh penyokong dan pemain Kelantan disarankan memberi fokus 100% kepada perlawanan kedua semi final Piala FA nanti, Abaikan dulu fokus pasukan mana lawan Kelantan di pentas final, biarlah 90 minit lagi menentukannya.
Sungguhpun begitu ada juga rasa terkilan dengan sikap cepat tewas di kalangan penyokong Kelantan apabila Ashaari menjaringkan gol awal, ada segelintir penyokong sudah mula mengejek pemain dan kurang yakin walaupun masa perlawanan masih lagi panjang.
Ayuh rakan-rakan Piala FA adalah harapan terakhir kita untuk menyaksikan kehebatan The Red Warriors dalam saingan Piala AFC 2014. Kita perlu melupakan segala kekalahan lalu demi mengejar kejayaan masa depan. GOMO KELATE GOMO

KAFA Dakwa PBNJ Mahu Balas Dendam


Kehadiran JMF Fan Club yang berada ditengah-tengah penyokong Kelantan cukup meragukan.
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) mendakwa kawalan keselamatan yang lemah ketika perlawanan di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Larkin Rabu lepas bagaikan mahu membalas dendam terhadap pasukannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kafa Datuk Ismail Md Noor berkata persatuan itu dukacita dengan layanan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kepada mereka sekali gus menganggap PBNJ gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada dengan baik.
“Kira-kira 1,000 hingga 1,500 penyokong Kelantan berada di Stadium Larkin pada minggu lepas. Mereka bukan sahaja tidak dipisahkan dengan penyokong Johor, malah provokasi yang ditunjukkan penyokong tuan rumah ketika kami tiba sehingga tamat perlawanan menyebabkan ada segelintir penyokong Kelantan cedera dibaling benda keras dan dipukul selepas perlawanan.
“Malah, gendang juga tidak dibenarkan dipalu ketika perlawanan berlangsung menyebabkan moral pemain merosot, selain permainan yang terpaksa ditangguhkan kira-kira 40 minit,” dakwanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya Tuan Aziz Tuan Mat, Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kelantan (KTBSK) Che Yahya Jamada Ali dan timbalannya Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan.
Pada perlawanan di antara kedua-dua pasukan Rabu lepas, provokasi dikatakan bermula apabila ratusan penyokong Johor berada di atas trek padang sehingga mengakibatkan perlawanan tertangguh selama kira-kira 40 minit sebelum berjaya dikawal anggota polis bertugas.
Insiden itu dikatakan berlaku susulan perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Januari lepas yang menyaksikan 200 penyokong JDT terpaksa dibawa masuk ke dalam padang selepas perlawanan kedua-dua pasukan tamat berikutan provokasi penyokong Kelantan yang tidak berpuas hati dengan tindakan Johor membawa beberapa anggota tentera ke stadium.
Ismail yang juga Naib Presiden Kafa berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu minggu ini dan berharap badan induk itu akan menjalankan siasatan terperinci.
Menurutnya, Kafa mempunyai rakaman video dan gambar yang diambil penyokong Kelantan ketika provokasi tercetus sambil menambah, kejadian tersebut tidak pernah berlaku di mana-mana stadium di negeri lain.
“Ketika melayan kunjungan Johor pada awal tahun ini, kita turut sediakan pelan alternatif bagi menangani sebarang insiden buruk yang mungkin tercetus di antara kedua-dua penyokong dan situasi tersebut walaupun sedikit tegang, masih mampu dikawal Kafa.
“Namun, perkara sebaliknya berlaku ketika kunjungan kami ke Johor apabila kawalan keselamatan yang diberikan kepada penyokong Kelantan sangat lemah. Saya lihat mereka umpama ‘lepas tangan’ dalam menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, Che Yahya berkata PBNJ perlu memandang serius perkara berkenaan kerana walaupun ia hanya provokasi, namun boleh menyebabkan perkara lebih besar berlaku pada masa hadapan jika tidak dibendung dari awal.- Bernama

Sabtu, 25 Mei 2013

‘Terus Sokong kami’

Obinna Nwaneri
Kota Bharu: Tonggak penting pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri menuntut penyokong supaya terus yakin dengan kemampuan The Red Warrios (TRW) untuk membenam Terengganu pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Kekalahan mengaibkan kepada musuh ketat Johor Darul Takzim (JDT), 0-2 pada aksi Liga Super, Rabu lalu mengecewakan penyokong dan mereka mengecam percaturan ketua jurulatih Bojan Hodak.
Nwaneri berkata, kekalahan itu bukan noktah perjuangan dan meminta penyokong supaya terus memberi sokongan kepada pasukan.
Katanya, penyokong tidak seharusnya menuding jari kepada jurulatih atau pemain sebaliknya perlu menerima hakikat sama ada menang atau kalah dalam setiap perlawanan.
“Kami turut kecewa namun tidak akan berhenti di situ dan berharap penyokong akan terus bersama kami terutama ketika berdepan Terengganu.
“Kami akui ada kelemahan dan ia bukan salah jurulatih saja kerana kami turut bertanggungjawab,” katanya.
Pemain berusia 31 tahun dari Nigeria itu tetap optimis sasaran mempertahankan Piala FA mampu dicapai ketika peluang menguasai Liga Super semakin tipis namun tetap berjuang untuk berada dalam kelompok empat terbaik.
“Kini kami lebih fokus untuk saingan Piala FA namun itu tidak bermakna kami akan tercicir dalam Liga Super, malah kami akan mengejar kedudukan sekurang-kurangnya empat terbaik.”

Misi Wajib Menang Kelanta

Azman Ibrahim
KOTA BHARU – Kelantan tidak mempunyai pilihan kecuali menang dalam pertembungan dengan musuh tradisinya Terengganu pada saingan separuh akhir pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.
Bekalan yang selesa di gelanggang sendiri amat penting bagi anak buah Bojan Hodak untuk menempah tempat di perlawanan akhir, seterusnya mengubat kekecewaan mereka selepas terlepas gelaran Liga Super musim ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim menyifatkan kekalahan ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) Rabu lalu tidak merentap semangat para pemainnya dan menganggap ia merupakan lumrah dalam bola sepak.
Beliau berkata, The Red Warriors akan turun beraksi dengan barisan pemain utamanya selepas kesemuanya bebas daripada kecederaan dan penggantungan.
“Dickson Nwakaeme juga sudah pulih dan mampu diturunkan semula dan kesebelasan utama untuk memperkuatkan jentera serangan kita, namun semuanya bergantung kepada Hodak untuk membuat keputusan.
“Saya fikir kita perlu menang dengan selesa, sama ada menang 3-0 atau 5-0 saya tidak berminat untuk memperkatakan kerana ia mungkin memberi tekanan kepada pemain tetapi kita perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, beliau menegaskan, pasukan itu tidak menghadapi sebarang masalah ketika tewas kepada JDT sebelum ini biarpun Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membuat teguran keras terhadap Hodak kerana memilih strategi yang salah.
“Kita dibolosi dua gol dalam tempoh kurang lima minit menyebabkan kita gagal mengimbangi perlawanan. Inilah bola sepak kerana ada ketika anda perlu menerima hakikat bahawa pasukan lawan bermain lebih baik,” ujarnya.

Jumaat, 24 Mei 2013

Penyokong Kelantan dibelasah teruk?


belashjdt
Desas desus tersebar di laman-laman media sosial mengatakan seorang penyokong Kelantan ditikam masih belum disahkan oleh mana-mana pihak, diharap semua penyokong Kelantan mendapatkan berita-berita yang sah sebelum berkongsi info-info berkaitan isu ini.
Namun ada video membuktikan seorang penyokong Kelantan menjadi mangsa belasahan beramai-ramai oleh penyokong Johor. Kini video berdurasi 19 saat itu mula tersebar di laman-laman media sosial, pengirim video ini memaklumkan ada sambungan bahagian dua untuk video ini.




Diharap ada pihak tampil menjelaskan kesahihan isu yang digembar-gemburkan ini, demi menjaga keharmonian dan kemashlahatan kedua-dua penyokong. Jelas dalam video ini menunjukkan sikap kurang matang penyokong-penyokong Johor yang sudah sekian maklum lebih 20 tahun tidak pernah melihat keseronokan bolasepak Malaysia. Walaupun demikian, penyokong Kelantan harus menunjukkan kebijaksanaan dalam menangani isu ini supaya tidak berpanjangan.

Sikap Azwan Roya dipuji Penyokong Kelantan



jdt2013
Kekalahan Kelantan malam tadi sememangnya sudah dijangka memandangkan Kelantan merehatkan tonggak utama bagi memberi fokus kepada separuh akhir Piala FA iaitu saingan terakhir untuk Kelantan berpeluang mara ke final Piala AFC pada musim 2014.
Jaringan dua gol kemenangan Johor Darul Takzim, yang dijaringkan oleh Mat Yo dan Nurul Azwan Roya telah berjaya menambah kecewa ribuan penyokong Kelantan yang menyaksikan perlawanan ini dengan penuh harapan dan dendam. Syukur keputusan ini diterima baik oleh seluruh penyokong Kelantan meskipun mereka kini kurang berpuashati dengan percaturan tidak menjadi Bojan Hodak sejak kebelakangan ini.
Seluruh penyokong Kelantan berasa bangga dan mengucapkan terima kasih diatas sikap tidak meraikan gol yang ditunjukkan Nurul Azwan semasa menjaringkan gol terakhir Johor DT malam tadi.
Harapan seluruh penyokong Kelantan supaya Kelantan akan bangkit dan memenangi perlawanan separuh akhir menentang Terengganu 25 dan 28 mei, sekaligus mara ke final. Bojan Hodak dan skuad bimbingannya tiada pilihan lain dalam saingan Piala FA ini setelah Presiden KAFA Tan Sri Hj Annuar Musa juga meluahkan rasa tidak berpuashati dengan keputusan terbaru ini.
AYUH BANGKIT BERSAMA PASUKAN KESAYANGAN KITA....GOMO KELATE GOMO...

Khamis, 23 Mei 2013

Bekas Pemain Jadi Pemusnah



NORSHAHRUL (tengah) menjaringkan gol pertama Johor DT ketika menewaskan Kelantan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
DUA bekas pemain Kelantan muncul wira Johor Darul Takzim (Johor DT) apabila membantu Harimau Selatan menundukkan skuad The Red Warriors 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Nurul Azwan Roya yang mula menyertai Johor DT musim ini masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-65 dan ke-68 untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu membolehkan Johor DT kini melonjak ke tangga kedua liga selepas mengumpul 34 mata, satu mata di belakang pendahulu, Lions XII.
Meskipun perlawanan tertangguh 40 minit gara-gara sedikit kekecohan yang berlaku di antara penyokong Kelantan dan tuan rumah, ia tidak mematahkan semangat kedua-dua pasukan untuk mempamerkan aksi menarik sepanjang perlawanan.
Anak-anak buah Fandi Ahmad bermula garang apabila melakukan beberapa serangan di awal permainan, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Penyerang import, Leonel Nunez melaku- kan cubaan seawal minit kedua, namun tendangannya tersasar sebelum cubaan Nurul Azwan pada minit ke-26 berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.
Penyerang skuad The Red Warriors, Mohd. Haris Safwan turut melakukan cubaan pada minit ke-29, namun rembatan dari dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Muhd. Al-Hafiz Hamzah.
Sebaik babak kedua bersambung, Johor DT menggandakan asakan dengan serangan sebelum gol pertama pasukan tuan rumah diperoleh melalui Norshahrul yang merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-65.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan tewas 0-2 kepada Terengganu hasil sepakan penalti Razman Roslan dan jaringan gol Damion Stewart masing-masing pada minit ke-38 dan ke-50.
Di Stadium Shah Alam, pasukan tuan rumah, Selangor mengalahkan Terengganu 2-0 hasil dua jaringan gol Francis Forkey Doe pada minit ke-24 dan ke-89.
Kedudukan Pahang dan Selangor kekal masing-masing di tangga kelima dan keempat manakala Johor DT memintas ATM di tangga ketiga.

Rabu, 22 Mei 2013

Kelantan Berdepan Misi Sukar



Bojan Hodak
MISI Kelantan untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Larkin, Johor malam ini sedikit terjejas, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Ini kerana, The Red Warriors akan beraksi tanpa dua tonggak utama, Dickson Nwakaeme dan Nik Shahrul Azim Ab. Halim.
Nwakaeme hampir pasti tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan manakala Nik Shahrul Azim digantung dua perlawanan selepas mengumpul enam kad kuning dalam beberapa perlawanan musim ini.
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak perlu mencari ramuan terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan kedua-dua pemain itu sekiranya mahu membawa pulang tiga mata penuh.
Hodak yang mengakui bakal berdepan laluan sukar tetap optimis pasukan itu mampu mencuri mata pada perlawanan tersebut biarpun beraksi di tempat lawan.
Menurutnya, beliau tidak akan mengamalkan corak permainan bertahan tetapi memilih untuk menyerap taktik menyerang bagi memastikan pasukan itu meraih mata.
“Kami akan cuba bermain secara menyerang bagi memperoleh jaringan seterusnya melakar kemenangan. Jika kami bermain secara bertahan, saya bimbang Kelantan akan kalah pada perlawanan tersebut.
“Jadi, saya harap pemain yang diturunkan dapat memberikan aksi terbaik dan kemenangan sangat penting buat Kelantan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Dalam pada itu, Hodak mengakui yang Johor DT bukan lawan mudah dan beraksi di tempat sendiri memberikan kelebihan kepada mereka.
Pengendali berusia 43 tahun itu turut menyenaraikan empat tonggak utama Johor DT yang perlu diberikan kawalan rapi pada perlawanan tersebut iaitu Nurul Azuan Roya, Norshahrul Idlan Talaha, Leonel Nunez dan Andre Francisco William.
Katanya, keempat-empat pemain itu mampu mendatangkan masalah kepada skuad The Red Warriors sekiranya diberikan ruang yang banyak.
“Bagaimanapun, kami telah bersedia untuk menghadapi ancaman mereka dengan menutup setiap ruang yang dimiliki pemain-pemain tersebut,” jelasnya.

Hodak Kecewa Aksi Ahmad Fakri



Ahmad Fakri Saarani
Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menyuarakan kekecewaan terhadap bekas pemain kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC, Ahmad Fakri Saarani yang gagal menyerlah dalam beberapa aksi bersama The Red Warriors (TRW).
Jurulatih berusia 42 tahun dari Crotia itu berkata, beliau tidak mengetahui punca dan tekanan yang membelenggu Ahmad Fakri sehingga gagal memberikan aksi terbaik terutama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri dan yang terbaru ketika menentang Selangor, di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Moral jatuh
Katanya, apa yang beliau lihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini Ahmad Fakri bermula dengan baik tapi moralnya mula jatuh sebaik saja dia melakukan satu kesilapan dan ia lebih ketara apabila beraksi di Kota Bharu.
“Saya tidak pasti apa masalah dia (Ahmad Fakri) sehingga gagal memberikan aksi terbaik. Ia dapat dilihat dengan jelas apabila bermain di sini (Kota Bharu). Saya juga tidak tahu sama ada bermain di hadapan penyokong sendiri memberi tekanan kepada dia.
“Saya perlu bercakap dengan dia menanyakan punca dia gagal memberikan aksi terbaik. Dia bagus ketika latihan dan dapat bermain lebih baik di tempat lawan berbanding di tempat sendiri,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Selangor di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Kesilapan mudah
Dalam perlawanan malam kelmarin, Kelantan hampir diaibkan Selangor di gelanggang sendiri, namun jaringan Zairo Anuar Zalani minit ke-66 menjadi penyelamat kepada TRW untuk mengikat keputusan seri 1-1 dan berkongsi satu mata.
Hodak juga tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan itu yang banyak melakukan kesilapan malah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri.

Ahad, 19 Mei 2013

Kelantan dan Selangor sama hebat


zairo13


Kelantan gagal memanfaatkan bermain di tempat sendiri apabila pemain yang diturunkan hanya mempamerkan kebangkitan setelah ketinggalan 1-0 kepada Selangor, peluang masa selebihnya disia-siakan dengan mempamerkan bukan aksi sebenar mereka.
Gol penyamaan Zairo berjaya menyelamatkan Kelantan daripada keciciran mata. Rata-rata penyokong yang hadir kurang berpuashati dengan aksi yang ditunjukkan kesebelasan pemain Kelantan namun mereka akur mungkin keletihan kedua-dua pasukan yang beraksi dalam saingan Piala AFC masih lagi terasa.
Satu lagi perlawanan menarik pada 22 mei ini Kelantan akan menentang Johor DT di Johor Bahru, kebangkitan barisan pemain Kelantan amat diharapkan oleh seluruh penyokong Kelantan yang melihat perlawanan adalah penebus maruah Kelantan yang kian tercalar.
Ayuh kita beramai-ramai memenuhi Stadium Larkin pada 22 mei, pastikan laungan Gomo Kelate Gomo bergema di bumi Johor. Namun harapan seluruh penyokong Kelantan dan Johor yang cintakan keamanan dan keselamatan, mereka merayu semua penyokong yang hadir mengelakkan sebarang provokasi dan kekacauan. GOMO KELATE GOMO.....Selamanya The Red Warriors

Rabu, 15 Mei 2013

Kelantan tersungkur di Halaman Sendiri




PETRATOS (kiri) terjatuh selepas diasak pemain Kitchee SC pada pusingan kedua Piala AFC 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.



IMPIAN Kelantan untuk mencipta sejarah mara ke pusingan suku akhir buat kali kedua berturut-turut pada Piala AFC tidak kesampaian selepas tumpas 0-2 kepada Kitchee Sport Club (SC) dari Hong Kong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung secara kalah mati itu, pasukan pelawat melakukan asakan awal ke kubu tuan rumah menerusi percubaan menarik Chui Siu Kei pada minit keempat namun rembatan ketua pasukan itu berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan asakan tersebut, Kelantan mula mengatur gerak dan memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-12 tetapi rembatan Dimitrios Petratos sekadar menggegar bahagian tepi jaring gol Kicthee SC.
Tiga minit kemudian, tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat selepas pemain pertahanan skuad The Red Warriors, Lek Kcira tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang rembatan pemain Kicthee SC, Pablo Gonzalez Counago.
Pelawat terus mengasak Kelantan dan hampir berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-20 namun rembatan pemain pertahanan, Cheung Kin Fung berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi.
Kelantan berada dalam situasi tertekan hasil serangan bertali arus pelawat sehingga memaksa barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai Obinna Nwaneri bekerja keras untuk mengelak pintu gol mereka dibolosi.
Peledak berbisa Kitchee SC, Josep menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pasukan itu pada masa tambahan babak pertama, sekali gus memberikan kelebihan sebelum separuh masa kedua bermula.
Pada babak kedua, tuan rumah yang terdesak memburu jaringan membuat pertukaran dengan membawa masuk penggempur berbisa, Dickson Nwakaeme bagi menggantikan Mohd. Faiz Subri untuk menambah sengat di posisi serangan.
Percaturan Bojan Hodak membawa masuk Nwakaeme membuahkan hasil apabila barisan serangan Kelantan berjaya mencipta beberapa gerakan menarik.
Kelantan berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-63 menerusi Mohd. Nor Farhan Mohamad tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil dari Korea Selatan, Lee Min Hu selepas pemain itu berada di posisi ofsaid.
Tuan rumah terus kempunan untuk memperoleh gol apabila jaringan Nwakaeme sekali lagi dibatalkan selepas penyerang Kelantan itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Tuah rumah nyata tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan namun rembatan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-86 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kitchee SC, Wang Zhenpeng dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Selasa, 14 Mei 2013

Bojan Janji Turunkan Skuad Terkuat Jumpa Kitchee



Mohd. Faiz Subri (dua dari kiri) bersalam dengan Low Kuan Yie pada sidang akhbar sempena perlawanan Piala AFC di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU – Kelantan melaungkan keyakinan mampu menumbangkan kelab Hong Kong, Kitchee FC pada pusingan kedua Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.
Pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak berkata, skuadnya berada dalam keadaan terbaik kerana pemain bebas daripada kecederaan atau penggantungan.
Hodak berkata, dia mempertaruhkan barisan terkuat bagi memastikan impian ke pusingan suku akhir buat kali kedua tercapai, selepas melakukannya musim lalu.
“Kita mahu meneruskan rentak kemenangan sebagaimana dilakukan pada perlawanan sebelum ini. Saya gembira semua pemain yang mengalami kecederaan sudah pulih sepenuhnya.
“Namun Kitchee sebuah pasukan hebat dan memiliki jentera tengah kuat serta penyerang berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena perlawanan tersebut di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah pemain sayap Kelantan, Mohd. Faiz Subri serta ketua jurulatih Kitchee FC, Josep Gombaubalague dan pemainnya, Low Kuan Yie.

Ahad, 12 Mei 2013

Annuar: Projek Bina Stadium Baharu Di Kelantan Tetap Diteruskan



Annuar Musa
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) membayangkan hasratnya untuk melihat projek pembinaan stadium baharu di Kelantan diteruskan biarpun Barisan Nasional (BN) gagal mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun pembinaan stadium tersebut termasuk dalam tujuh janji yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya BN berjaya merampas kerajaan Kelantan daripada PAS tetapi beliau akan terus berusaha untuk merealisasikan impian seluruh rakyat Kelantan itu.
“Ketujuh-tujuh perkara yang dijanjikan oleh Perdana Menteri walaupun tidak lagi sebagai satu kemestian kerana BN gagal mendapat mandat rakyat tetapi kita akan cuba menggunakan saluran-saluran tertentu supaya ia dapat dilaksanakan di Kelantan.
“Saya harap sebahagiannya memberi faedah juga kepada kawasan yang saya wakili khususnya dalam soal stadium baharu ini,” katanya yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada PRU-13 lalu.
Tambahnya, projek stadium ini mempunyai pertalian secara langsung dengan beliau yang juga merupakan ‘orang kuat’ KAFA dan beliau akan membuat permohonan dan mengesyorkan supaya stadium tersebut dibuat di kawasan Parlimen Ketereh.
Katanya, pihaknya telah mengemukakan tapak di kawasan Tunjong, dekat Kota Bharu, faktor keluasan tapak yang tidak mencukupi menimbulkan sedikit masalah apabila mengikut piawaian, ia memerlukan tanah seluas 20.2 hektar untuk memuatkan kawasan letak kereta dan akademi bola sepak.
“Kita telah kenal pasti dua tapak iaitu satu di Kok Lanas yang sudah menjadi milik kerajaan iaitu tanah milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dan saya bercadang untuk berjumpa Pengerusinya dalam masa terdekat ini.
“Tapak kedua adalah tapak yang dimiliki oleh Kementerian Pelajaran di Peringat. Jadi, dua tapak ini kita akan cadangkan kepada kerajaan, jika tidak mahu melibatkan proses pengambilan tanah yang besar,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau lebih gemar memilih Kok Lanas dijadikan tapak stadium baharu itu berikutan tanah yang mempunyai saiz yang lebih daripada mencukupi selain sistem aliran trafik yang lebih fleksibel berbanding di kawasan Peringat.
Untuk rekod, kedua-dua kawasan, Kok Lanas dan Peringat berada dalam kawasan Parlimen Ketereh yang diwakili Annuar.

Catatan Popular