Annuar Musa
BOLA sepak negara sejak kebelakangan ini sering diselubungi kontroversi melibatkan banyak perkara.
Jika dilihat pada sudut yang positif,
kekalutan yang melanda memberi sedikit ruang publisiti untuk menarik
semula perhatian peminat bola sepak bagi mengembalikan zaman
kegemilangannya.
Namun, dalam dunia global yang semakin
berubah, bola sepak juga memerlukan satu transformasi yang bukan sekadar
dihebohkan dalam akhbar mahupun televisyen tetapi ia menuntut kesediaan
dan komitmen serta jiwa besar agensi, badan atau individu yang terlibat
dalam pembangunan bola sepak negara.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan
ini, kehebatan Liga Malaysia kembali menjadi tumpuan peminat terutama
melibatkan pasukan kerdil yang kini menjadi gergasi baharu, pasukan yang
dulunya begitu gah mengungguli saingan, kini sudah kehilangan taring,
episod gantung menggantung, ‘curi’ pemain, keganasan penonton dan banyak
lagi terus mewarnai dunia bola sepak tempatan yang semakin diminati
untuk ditelusuri perkembangannya.
Apabila membicarakan mengenai bola sepak
tempatan, nama Tan Sri Annuar Musa sudah tentu tidak boleh dihanyutkan
begitu sahaja dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia, terutama
apabila beliau sering dikaitkan sebagai individu yang sering mencetuskan
kontroversi.
Sehinggakan jawatan Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dimenangi hanya sempat dirasai
selama setahun lapan bulan sahaja sebelum digantung selama dua tahun
setengah kononnya kerana mengkritik prestasi skuad bola sepak
kebangsaan.
Beliau merupakan Timbalan Presiden FAM
yang pertama digantung kerana kelantangannya mengkritik yang pada hemat
sesetengah pihak tertentu sebagai tidak beretika dan beliau tidak berhak
walaupun beliau mendakwa teguran tersebut adalah untuk kebaikan.
Pelbagai kontroversi diharungi beliau
penuh dengan ketenangan sehingga berjaya membawa Kelantan merangkul
gelaran trebel musim lalu sebelum episod kontroversi baharu muncul
apabila beberapa pemain The Red Warriors didakwa ‘dicuri’ oleh pasukan
lain.
Seperti biasa, Annuar keluar dengan
pelbagai kenyataan yang mendakwa pemainnya dibawa keluar menggunakan
‘pintu belakang’ sehingga menimbulkan polemik baharu dalam dunia bola
sepak tempatan sehingga menyebabkan FAM terheret sama dalam isu
berkenaan.
Menurut Annuar, segala isu yang timbul
ekoran daripada masalah pentafsiran undang-undang bola sepak yang
digariskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang gagal
ditafsirkan dengan baik oleh FAM sebagai badan induk bola sepak di
negara ini.
“FAM sendiri tidak ada jabatan
undang-undang, FAM sangat bergantung sepenuhnya kepada individu-individu
tertentu sedangkan peraturan dan undang-undang sukan adalah subjek yang
khusus, mesti diuruskan oleh seorang yang profesional, bukan berstatus
profesional biasa tetapi profesional yang mempunyai pengalaman, dan
kebetulan dalam negara kita juga, aspek undang-undang sukan ini tidak
banyak pihak yang mendalaminya.
ANNUAR
“Sedangkan sukan itu sendiri ada
undang-undang, ada mahkamah sendiri, tribunal sendiri, ada jawatankuasa
rayuan dan implikasi, kerana ia merupakan industri yang bernilai
berbilion ringgit, satu benda yang besar. Jadi, dalam badan induk negara
(FAM), bila tidak ada satu jabatan menyelaraskan, maka kita dapati
banyak berlaku kepincangan daripada segi pentafsiran, aplikasi,
kepincangan macam mana nak selesaikan satu pertikaian sehingga
menimbulkan banyak ketidakpuasan hati,” katanya.
Katanya, apa yang menjadikan masalah
tersebut bertambah rumit apabila persatuan bola sepak negeri juga tidak
mendalami peraturan yang ada kerana ada di antara mereka yang
menguruskan sesebuah pasukan datang daripada latar belakang yang tidak
berkaitan dengan sukan berkenaan seperti guru dan sebagainya yang secara
tiba-tiba atau kebetulan menjadi presiden persatuan ataupun pengurus
pasukan.
“Ahli sukan juga sama, mereka tidak
memahami peraturan. Apabila dia sudah melanggar peraturan dan
sebagainya, tiada siapa peduli atau keadaan itu tidak mendidik dia untuk
mengikuti peraturan dan sebab itu bila kita kata profesionalisme dalam
semua peringkat, pengurusan kena faham peraturan, pemain kena faham
peraturan jadi sekurang-kurangnya bila semua orang faham peraturan maka,
lebih sedikit pertikaian yang timbul, kuranglah perlanggaran.
“Sudahlah kita tidak ada rangka kerja
mentadbir undang-undang secara sistematik, kemudian orang yang terlibat
mentadbir tidak ada pengetahuan. Maka, kesemua perkara berkaitan
peraturan dan undang-undang menjadi satu perkara yang paling tidak
diberi keutamaan, ia cuma berjalan,” ujarnya.
Mengulas mengenai Artikel 88 yang
menyebabkan beliau digantung, Annuar berpendapat bahawa ia adalah suatu
yang tidak relevan malah, pentafsirannya berbeza dengan ‘roh’ dan tujuan
artikel tersebut dibuat apabila ia hanya memperuntukkan hanya dua
individu, Presiden FAM dan Setiausaha Agung FAM sahaja yang boleh
bersuara.
“Tidak munasabah dan saya tengok
undang-undang itu pun tidak diaplikasikan seperti itu. Ada masa
bercakap, tiada tindakan, ada masa kena tindakan maka saya cuba mahu
faham apakah semangat di sebalik Artikel 88.
“Jadi, tidak kiralah bila jatuh sesuatu
hukuman yang kebetulan kena pada saya sendiri, saya mahu tahu lebih
lanjut sebab itu saya lawan. Selepas itu terus tidak boleh merayu, kena
sekat, jadi nak pergi ke peringkat seterusnya tidak boleh. Sepatutnya
proses dalam menentukan keadilan sebelum mahu menghukum mesti ada
siasatan, mesti ikut prosedur, tidak boleh terburu-buru mahu menghukum.
“Harus ada penjelasan kenapa tindakan
disiplin tidak boleh diambil, jadi orang berkenaan mesti jelaskan.
Kemudian, jika jawapan tidak memuaskan hati, terus buat dakwaan secara
rasmi. Dakwaan itu pula perlu cukup tempoh masa, kena ada peluang untuk
bela diri dan bila jatuh hukuman mesti ada ruang untuk merayu,”
jelasnya.
Katanya, walaupun Artikel 88 hanya
tertakluk untuk bola sepak namun, ia perlu diaplikasikan berdasarkan
undang-undang negara, dan jika ia bercanggah sepatutnya undang-undang
negara diguna pakai.
“Adakah Artikel 88 tidak bercanggah
dengan Perlembagaan Negara dalam konteks kebebasan bersuara? Menyekat
secara keseluruhan sehingga keseluruhan komuniti bola sepak hilang
kebebasan bersuara untuk memberikan komen yang adil dan berasas.
“Sebab itu saya ambil pendekatan lain
sedikit sebab undang-undang itu perlu diuji soal interpretasinya, bukan
sebab kita nak lawan tapi saya memikirkan jangka panjang. Kalau
satu-satu pertikaian itu kita tidak ikut prosesnya, kita tidak akan
dapat penjelasannya,” katanya.
Pengurusan yang ketinggalan zaman
Mengulas mengenai senario bola sepak di
Malaysia, Annuar percaya bahawa sistem pengurusan bola sepak di negara
ini masih berada ditakuk lama dengan sistemnya sama seperti 10 atau 20
tahun kebelakang dan masih menggunakan amalan biasa walaupun bola sepak
itu sendiri kini menjadi salah satu industri yang terkedepan.
“Pengurusan liga masih merupakan amalan
biasa, anda uruskan satu pasukan 25 pemain ada jurulatih turun latihan
di padang kemudian mengambil bahagian dalam pertandingan dan biasanya
kos dan pembiayaan datang daripada sumber tertentu yang lazimnya
kerajaan atau satu entiti,” katanya.
Menurutnya, keadaan tersebut tidak
menggambarkan bola sepak di negara ini diuruskan dalam situasi
profesional kerana terlalu banyak kelemahan yang ada pada amalan sistem
yang diterapkan berbanding kaedah yang digunakan oleh kebanyakkan liga
di Eropah malah beberapa liga di Asia seperti A-League di Australia,
J-League di Jepun dan K-League di Korea Selatan termasuk transformasi
yang kian berkembang bagi beberapa liga di Asia Barat.
“Keadaan sekarang ini sedikit sebanyak
menuntut perubahan misalnya pemain-pemain mula bercakap tentang nilai
gaji yang lebih tinggi dan itu memerlukan kapasiti kelab pula untuk
sanggup mengadakan dana dan menguruskan dana yang lebih besar.
“Kalau dulu barangkali RM500,000 atau
RM1 juta cukup untuk uruskan satu pasukan tapi sekarang sampai RM10 juta
misalnya, sudah tentu pengurusan dana yang sebesar itu dari segi
perbelanjaan dan hasil sudah tidak lagi sesuai dengan cara-cara yang
lama atau keupayaan yang lama.
“Jadi, kalau tanya saya pada
keseluruhannya pengurusan bola sepak dari atas sampai bawah berbanding
dengan norma yang dipakai di negara yang maju bola sepaknya, kita sangat
jauh berbeza,” ujarnya.
Annuar tanpa berselindung menggesa FAM
sebagai badan induk dan tunggal bola sepak negara supaya berubah dan
melakukan perubahan dalam usaha untuk mengangkat tahap profesionalisme
di peringkat akar umbi.
Jelasnya, FAM adalah satu-satunya badan
yang diamanahkan oleh FIFA dan bertanggungjawab mencorakkan bagaimana
bola sepak di negara ini dikembangkan dan sudah tentu tugas tersebut
cukup mencabar dan memerlukan pemantauan yang berterusan bagi menentukan
hala tujunya.
Bagaimanapun, melihat kepada apa yang
berlaku di negara ini, beliau nyata kesal apabila bola sepak di negara
ini diuruskan tanpa sebarang perancangan dan ia hanya berjalan mengikut
keadaan tanpa satu pengurusan yang sempurna untuk memacu transformasi
dalam sukan berkenaan.
“Pengalaman saya sekejap secara aktif
dalam FAM, saya dapati kita pergi mesyuarat dan berbincang tanpa ada
apa-apa rujukan. Tidak ada rujukan dan rangka kerja, jadi, macam mana
kita mahu menilai tahap-tahap tertentu sama ada kita di landasan yang
betul atau tidak.
“Semua keputusan kita dibuat secara
ad-hoc, sekali berlaku satu peristiwa, sekali kita perkenalkan satu
program. Program itu pula ad-hoc, jadi, akhirnya perkembangan bola sepak
itu tidak berlaku secara terancang. Saya selalu kata dalam dunia
sekarang ini, champion must be created, no longer born (seorang juara
itu mesti dibentuk bukan lagi lahir semulajadi),” jelasnya.
Kontroversi Mat Yo
Selepas lima tahun mengambil alih KAFA
dan melakukan proses transformasi yang bukan kecil, beliau melihat
kontroversi mengenai isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo)
berlaku sekali lagi kerana keliru dalam mentafsirkan kontrak dan
undang-undang dengan jelas.
FAM, katanya adalah badan yang melakukan
penafsiran tersebut dan bukan sahaja percanggahannya berlaku kerana
pentafsiran, tetapi undang-undang yang digubal oleh badan tersebut juga
mempunyai konflik.
“Bagi FIFA, seseorang pemain yang ada
kontrak dengan mana-mana kelab, dalam tempoh kontrak itu masih berjalan
maka dia mesti ada tuan punya secara asasnya. Dalam tempoh itu, tidak
ada kelab boleh menghubungi secara langsung pemain berkenaan, telefon
pun tidak boleh. Mahu panggil, jumpa, makan, runding semua tidak boleh,
dalam FIFA itu sangat jelas.
“Kedua, kalau mana-mana kelab mahu
mengambil pemain ini, wajib minta kebenaran daripada kelab asal, tidak
boleh ada hubungan langsung kecuali hantar permintaan pada kelab dan
kalau kelab kata tidak setuju berunding, maka tiada apa-apa urusan
berlaku sehingga kontrak pemain terbabit tamat.
“Ini kunci yang diwujudkan untuk menjaga
industri sebab kalau tidak dijaga, maka tidak timbul dalam industri ini
sistem perpindahan pemain. Bila pemain boleh ‘dicuri daripada
belakang’, tidak payahlah bayar yuran perpindahan dan pemain pula boleh
keluar sebegitu mudah. Dalam FIFA, kalau kita ambil di luar peraturan,
pemain dan kelab akan digantung selama empat bulan,” ujarnya.
Proses perpindahan Mat Yo yang kini
menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT) jelasnya, merupakan satu
percanggahan dan melanggar undang-undang malah, lebih mengejutkan,
beliau mendedahkan bahawa terdapat tangan-tangan halus di dalam FAM yang
memainkan peranan membawa keluar Mat Yo dari Kelantan.
“Bila pemain ada masalah dengan kelab,
orang lain jangan campur tangan. FAM tidak boleh campur sebab dia
mahkamah, tetapi dalam kes Mat Yo saya tahu pegawai FAM terlibat supaya
Mat Yo boleh pindah, benda itu sangat salah. Saya tahu ada orang
terlibat secara langsung memberi jalan kepada Mat Yo untuk keluar.
“Dalam undang-undang, FAM adalah seperti
hakim dan hakim tidak boleh beri nasihat terlebih dahulu kepada orang
yang dia akan hukum.
“Sebab itu dalam kes ini, saya merasa
sangat kecewa cara pengurusan tunggang-langgang, saya tahu dia dibayar,
diberi duit poket terlebih dulu, ditawarkan gaji lebih awal. Selepas itu
barulah dia ‘gila-gila’ mahu keluar, sebelum itu dia tidak mahu
meninggalkan Kelantan.
“Kalau dia mahu keluar, tiga bulan
sebelum, dia kenalah beritahu, jadi saya ada masa nak cari pemain lain,
ini tidak, dia hantar surat 30 Oktober 2012 tapi mahu tamat kontrak 1
November 2012, tidak sampai 48 jam.
Macam mana saya nak cari pemain
lain.
“Kami kehilangan empat pemain, S.
Chanturu, Nurul Azwan Roya, Mohamad Ghaddar dan Mat Yo. Empat pemain
ini, kesemuanya ada kes berbeza yang berkaitan dengan undang-undang yang
dalam perancangan kita, mereka tidak sepatutnya pergi pada tahun ini,
mereka lari di luar perancangan kita,” jelasnya dengan nada yang kesal.
Berdasarkan pengalaman kes melibatkan
penyerang kebangsaan itu, Annuar memberitahu, seseorang pemain boleh
menamatkan kontrak, tetapi perlu memberikan tempoh yang cukup, begitu
juga kelab atau pasukan kerana ia melibatkan masa depan kedua-dua pihak
kerana melibatkan beberapa perkara seperti duit, penajaan dan keupayaan
pasukan.